Taman Negara Bako salah satu taman Negara terkecil
di Asia Tenggara namun ia juga merupakan sebuah taman yang menarik dan mudah
dikunjungi. Dengan jarak yang hanya 37 km dari Kuching, taman ini
memperkenalkan pengunjung dengan pemandangan yang unggul tentang hutan
semulajadi Sarawak dan hidupan liar di Borneo.
Daya tarikan utama yang memashyurkan Bako adalah
kepelbagaian spesis tumbuhan dan haiwan yang terkandung di dalamnya.
Taman ini yang termsuk bahagian hujung Muara Tebas, dilitupi oleh hutan diterocsrp, hutan bakau, tumbuhan halus
di tebing tinggi dan banyak lagi. Hampir semua jenis tumbuhan yang
terdapat di Borneo boleh ditemui di sini.
Bagi peminat hidupan liar, Bako adalah unik bagi
mereka. Taman ini merupakan taman tertua di Sarawak dan menjadi tempat
terkawal semenjak tahun 1957.
Monyet Long-tailed
macaque, silver leaf monkeys.
Cicak besar dan tupai sering dijumpai meronda di kawasan Ibu Pejabat
Taman.
Hutan bakau Bako campuran tempat tinggal kepada porboscis monkey, spesis yang boleh
ditemui di pulau Borneo. Selain daripada itu, hutan bakau ini juga
merupakan tempat yang paling sesuai untuk melihat berbagai jenis burung.
Lebih daripada 150 spesis burung ada direkod di sini,
termasuk beberapa jenis yang luar biasa.
Itu antara fakta yang ramai di kalangan kita yang
mengetahuinya. Malah ramai juga di kalangan pelancong asing yang amat
mengetahuinya.
Namun tahukah anda bahawa untuk ke Taman Negara Bako kita
perlu singgah di pangkalan bot penambang Kampung Bako? Atau dalam lain
perkataan, kita akan melalui Kampung Bako terlebih dahulu sebelum sampai ke
Taman Negara Bako?
Tahukah anda di Kampung Bako ini terdapat produk makanan ringan
(kerepek keladi dan kerepek pisang) yang enak yang setanding malah mungkin
lebih baik daripada Pringles’?
Itulah kenyataannya kini.
Pengunjung malah mungkin penduduk Kuching dan Sarawak amnya lebih
mengetahui tentang Taman Negara Bako namun amat sedikit pengetahuan kita
tentang kewujudan kampung ini.
Malah mungkin ramai yang terkejut jika mengetahui bahawa Kampung
Bako adalah salah sebuah daripada lima (5) buah kampung di negeri ini yang
mendapat geran daripada UNDP dalam usaha melaksanakan pembangunan yang mapan
dan mesra alam.
Kampung Bako sejak Januari 2006 telah mendapat geran daripada UNDP
bagi melaksanakan kegiatan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan tropika di
Kampung Bako dan kawasan sekitarnya.
Tuan Haji Wahid Sani (52), pengerusi Jawatankuasa program
ini memberitahu, program ini adalah diusahakan oleh Persatuan Bot Penambang
Taman Negara Bako.
“Matlamat program
ini adalah untuk memelihara hutan dan alam sekitar terutamanya di Kampung Bako
dan kawasan sekitarnya,” tambah Haji Wahid.
Beliau seterusnya menjelaskan : “ Hutan persekitaran di luar
Taman Negara Bako juga harus dijaga kerana jika berlaku sebarang kerosakan atau
ketidakseimbangan alam kawasan berhampiran terutamanya kawasan hutan bakau,
ianya pasti akan menjejaskan ekologi di Taman Negara Bako khasnya dan kawasan
persekitarannya amya.”
“Selain itu, sebenarnya dari hutan kita boleh mendapat
banyak sumber pendapatan jika digunakan dengan cara yang betul,” tambah beliau
lagi.
Haji Wahid merujuk kepada usaha yang akan dilakukan oleh
jawatankuasa program ini iaitu untuk membina Taman Herba di tapak bekas Sekolah
Rendah Kebangsaan Bako.
Antara yang akan dibina di tapak itu ialah pondok
persinggahan dan juga laluan untuk kembara hutan yang mana di pondok
persinggahan itu kelak, para pengunjung akan berpeluang melihat panorama indah
kawasan sekitar dari atas bukit selain dapat mempelajari tentang
tumbuhan-tumbuhan herba yang terdapat di kawasan sekitar Kampung Bako dan Taman
Negara Bako. Manakala laluan kembara
hutan pula akan membawa pengunjung melihat secara lebih dekat lagi kehidupan
asal tumbuhan-tumbuhan herba berkenaan.
Menurut Haji Wahid lagi, jawatankuasa program ini merancang
kira-kira 18 aktiviti untuk pelaksanaan sepanjang tempoh dari Januari 2006
hingga Jun 2007 yang mana penekanan adalah lebih kepada usaha suntikan untuk
membuka minda masyarakat agar menghargai, memelihara dan memulihara alam
sekitar.
Selain itu aktiviti-aktiviti berkaitan peluang-peluang
keusahawanan yang boleh diperolehi daripada hasil hutan (tanpa mengeksploitasi
hutan secara rakus) dan eko-pelancongan juga akan dilakukan dilakukan.
Apabila ditanya tentang sambutan dan penglibatan penduduk
kampung tentang program ini, Haji Wahid dengan yakin menyatakan bahawa penduduk
kampung dalam beberapa bulan pelaksanaan program ini, telah menunjukkan minat
untuk turut serta dalam aktiviti yang dijalankan.
“Ini kerana mereka kini telah mula nampak akan potensi dan
peluang yang boleh mereka dapat dengan menyertai program ini,” jelas Haji
Wahid.
Haji Wahid juga menambah bahawa kerjasama erat antara
masyarakat kampung dengan agensi kerajaan juga merupakan faktor utama yang
membolehkan Kampung Bako mendapat geran bantuan daripada UNDP ini.
Beliau menyatakan bahawa keprihatinan pegawai dari Sarawak
Forestry Corporation (SFC) tentang penglibatan langsung masyarakat terutama
penduduk Kampung Baro dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di
sekitar Taman Negara Bako, adalah punca kepada inisiatif untuk memohon bantuan
ini.
“Maklumat tentang geran bantuan ini datangnya daripada
pegawai SFC dan merekalah yang bersungguh-sungguh menyakinkan kami akan
kebaikan usaha ini dan mereka juga yang membantu kami menyediakan kertas
cadangan dan merangka program bagi tujuan ini.
Kami amat berterima kasih di atas sokongan dan bantuan mereka ini dan
kerjasama erat sebegini harus diteruskan.”
Dalam perancangan aktiviti-aktiviti lain, menurut Haji
Wahid, seberapa yang boleh jawatankuasa program ini akan melibatkan agensi
kerajaan yang berkaitan. Ini kerana
jawatankuasa program ini percaya bahawa agensi kerajaan adalah sumber utama
pengetahuan yang berguna yang boleh mereka timba untuk menjayakan program ini.
Seharusnya usaha yang diusahakan di Kampung Bako
ini menjadi teladan kepada kampung-kampung lain dan dalam masa yang sama
penglibatan proaktif agensi kerajaan dalam membantu membangunkan masyarakat juga
seharusnya mengambilkira keperluan dan kesesuaian setempat yang mana pada
jangka masa panjang ianya akan menjadi landasan kepada pembangunan mapan dan
seimbang.