oleh Siti Mariam Mahdar
Layakkah kita digelar penjawat awam yang berwibawa dan
menerima gaji setimpal dengan usaha yang telah kita jalankan?
Jawapannya ada pada diri sendiri,
bukan pada kertas atau pandangan manusia semata-mata.
Jika selama ini kita bekerja hanya
untuk mendapatkan gaji pada hujung bulan dan buat asal ada, berubahlah segera.
Perubahan kepada perkara yang baik
menjadi tuntutan kerana ia mampu membentuk keperibadian penjawat awan yang
berfikiran positif dan menerima tugasan dengan hati terbuka.
Berubah dari segi pemikiran,
memikirkan bahawa setiap individu dalam organisasi sangat penting walau
mempunyai jawatan paling rendah. Ramai orang beranggapan bahawa hanya bos atau
ketua jabatan merupakan orang penting yang menentukan elok atau gagalnya
sesuatu pentadbiran.
Inilah anggapan yang nyata salah
dan perlu diubah kepada tanggapan benar bahawa semua orang dalam pentadbiran
sesuatu jabatan bergantung kepada semua ahlinya.
Memang tidak dapat dinafikan ada
sesetengah penjawat awam yang memegang sesuatu jawatan bagai melukut di tepi
gantang, ada atau tidak sama sahaja. Orang sebeginilah perlu disedarkan dan
berubah kerana mereka inilah yang banyak membazirkan sumber kerajaan dan wang
rakyat.
Jika seorang budak pejabat selama
ini memikirkan dia hanyalah orang suruhan semata-mata, ianya salah sama sekali.
Berubahlah dengan pemikiran positif bahawa seorang budak pejabat atau Pembantu
Am Rendah boleh menjadi aset penting dalam sesuatu jabatan. Kerjanya sebagai
penghantar surat bakal memastikan sistem penyampaian maklumat kerajaan dapat
digerakkan.
Walaupun dalam zaman kecanggihan
teknologi ini, penjawat awam banyak didedahkan dengan penggunaan email, namun
terdapat sesetengah maklumat atau perkara memerlukan serahan tangan. Inilah
sumbangan seorang yang bergelar budak pejabat. Selain menghantar pada tempat
yang dikehendaki sikap amanah merupakan tonggak utama kerana beliau turut
memastikan kesinambungan penyampaian maklumat kerajaan.
Profesor Dr. Hamka dalam bukunya
yang bertajuk Mutiara Perjuangan terbitan Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun
1973 mengatakan …”tidak semua orang akan menjadi gabenor, tidak semua orang
akan jadi menteri, tidak semua orang akan menjadi ketua jabatan. Tetapi semua
orang yang satu menolong kepada yang lain, yang lain berkait dengan yang satu.
Malah kadang-kadang di samping mustahaknya seorang Menteri, terdapat pula
mustahaknya seorang pemandu yang membawa kereta Yang berhormat Menteri. Di sini
nampaklah bahawa pembawa kereta itupun mustahak adanya dalam satu negeri”.
Kadang-kadang ada orang yang
berasa hina dengan pekerjaannya, kerana memikirkan dirinya seorang kuli. Secara
peribadi seorang tukang kebun pejabat yang menyapu dan membuang sampah adalah
mulia kerana tanpa beliau walau dalam tempoh sehari setiap orang akan menerima
bahana.
Justeru, walau di mana kedudukan
seseorang yang berkhidmat di jabatan kerajaan sama ada pembuat dasar, golongan
professional, sokongan mahir atau sebaliknya perlu sedar dan memikirkan dengan
pandangan positif bahawa setiap orang penting untuk menggerakkan sistem penyampaian
maklumat kerajaan.
Mantan Ketua Setiausaha Negara,
Tan Sri Samsudin bin Osman dalam ucapannya di Majlis Anugerah Kualiti
Perkhidmatan Awam dan Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan
Tahun 2004 mengatakan…”Maju mundurnya sesebuah negara banyak bergantung pada
kualiti tenaga manusia yang dimilikinya. Harus kita akui bahawa walau sebanyak
mana pun usaha yang telah kita curakan, atau sebanyak mana pun program atau
projek yang telah kita perkenalkan, namun akhirnya tenaga manusialah yang menjadi
penentu sama ada usaha yang telah kita laksanakan selama ini berjaya. Kemahiran
dan kompetensi seseorang anggota Perkhidmatan Awam adalah asas yang
menggerakkan sesuatu tugasan”.
Justeru itu, walau secantik
manapun dasar dan etika kerja yang kita cipta di atas kertas, jika penggeraknya
iaitu penjawat awam gagal mengaplikasikan peranan masing-masing maka ianya
umpama beruk mendapat bunga.
Sekiranya kita ingin
memperbetulkan sistem penyampaian kerajaan, setiap penjawat awam haruslah
memperbetulkan, menilai dan muhasabah diri sendiri. Sejauh mana masa yang kita
habiskan selama lapan jam setiap hari menyumbang kepada pembangunan negara atau
sebaliknya. Perubahan yang membawa erti harus disertakan dengan niat dan tidak
dilakukan secara mendadak, supaya ianya terus berkekalan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Mohd. Sidek bin Haji Hassan menyatakan “bahawa dalam apa jua keadaan anggota
perkhidmatan awam perlu bertindak dengan adil dan saksama serta denga penuh
integriti untuk kepentingan orang ramai”.
Sebelum penilaian dibuat melalui
kaca mata orang atasan dan masyarakat umum, biarlah kita yang bergelar penjawat
awam menilai dan menaksir diri sendiri, sejauh mana kita memikul tugas dan
sedia bertugas untuk menjadi lebih baik.
Sesungguhnya penjawat awam di
Malaysia ini sangat bertuah dan berada pada zon selesa. Kerajaan sentiasa
bersikap tolak ansur dan berusaha memenuhi apa jua keperluan demi memastikan
kedua-dua pihak dapat menjalankan tugas dengan selesa. Jadi sebagai balasannya,
jalankan tugasan dengan ikhlas dan penuh dedikasi dan berintergriti.
Setiap penjawat awam perlu berubah dan bijak
menerima perubahan! Inilah yang akan memastikan kesinambungan kecekapan
perkhidmatan awam yang bukan sahaja memberi faedah kepada negara tetapi
kepuasan terhadap diri sendiri.