Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 631 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak sebagai persediaan menghadapi bencana banjir yang mungkin berlaku akibat musim Monsun Timur Laut yang berlaku dari November 2021 dan dijangka berakhir sehingga Mac 2022.
Menurut laporan berita Unit Komunikasi Awam Negeri Sarawak (UKAS), Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Jaul Samion telah melawat ke dua buah PPS di Kuching, iaitu Dewan Masyarakat Stapok dan Sekolah Menengah Min Lit, Batu Kawa pada 28 Disember lepas bagi meninjau sendiri keadaan semasa dan tahap kesiapsiagaan agensi-agensi terlibat yang akan membantu mangsa-mangsa banjir kelak.
YB Datuk Amar Jaul memberitahu, kesemua PPS tersebut sudah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir yang berkemungkinan akan berlaku.
Jelas beliau, pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Residen dan Daerah serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bekerjasama dalam memastikan kelancaran persiapan menghadapi bencana tersebut.
Tumpuan agensi-agensi yang terlibat ialah menyediakan PPS di kawasan-kawasan yang berkemungkinan mendapat purata hujan yang lebih besar berbanding dengan kawasan-kawasan lain serta kawasan yang berisiko tinggi.
Berikutan monsun timur laut yang berlaku pada November tahun ini hingga Mac 2022, hujan lebat dan rebut petir dijangka akan berlaku di mana-mana tempat.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya bersiap sedia dan mengambil tindakan awal yang perlu dengan memastikan kelengkapan peribadi dan dokumen-dokumen penting berada dalam simpanan yang selamat.
Yang turut menyertai lawatan tersebut ialah Pengarah JKM Sarawak, Puan Noriah binti Ahmad, Pengarah UKPN, YBhg Datuk Dr. Chai Khin Chung dan Pengarah JBPM Sarawak, YBhg Datu Khirudin bin Drahman.
Menurut Puan Noriah, pihak JKM juga sudah membuat persediaan dengan segala kemungkinan yang akan berlaku sejak pertengahan tahun ini dengan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) tetap dipatuhi bagi mengelakkan penularan COVID-19 dalam kalangan mangsa-mangsa banjir di PPS.
Dari segi pecahan, Kuching memiliki PPS terbanyak, iaitu 155 buah diikuti Sri Aman (59), Samarahan (50), Serian (43) dan Betong (34) bagi Zon Selatan.
Manakala di Zon Tengah pula, Sibu memiliki 40 PPS diikuti Mukah (36), Sarikei (31) dan Kapit (28).
Seterusnya di Zon Utara, Miri memiliki jumlah PPS terbanyak, iaitu 95 buah diikuti Bintulu (27) dan Limbang (25).
PPS yang terdiri daripada kemudahan di sekolah, dewan terbuka, dewan masyarakat dan pusat komuniti setempat mampu menampung keperluan kira-kira seramai 188,360 mangsa.
Sementara itu, Datu Khirudin memaklumkan, JBPM telah mengenal pasti 349 lokasi di negeri ini sebagai kawasan yang mudah dilanda banjir.
Kawasan-kawasan tersebut ialah di Sibu 90, Miri (78), Kota Samarahan (61), Kuching (54), Limbang (30), Sri Aman (23) dan Bintulu (13).
Bagi penduduk-penduduk yang terjejas akibat banjir, Bilik Gerakan JKM Sarawak boleh dihubungi di talian 082-311554 dan Bilik Gerakan Operasi Banjir di talian 082-442998 untuk tujuan tindakan susulan.