- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Randau #DigitalSarawak Promosi Perkhidmatan Digital dan Dalam Talian Kerajaan Negeri

Must read

Program Randau #DigitalSarawak telah dianjurkan di Rumah Nyuka, Lubok Lemba, Ulu Sarikei pada 29 Mac 2022.

Program sehari anjuran Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sarikei adalah satu inisiatif keterangkuman digital Kerajaan Sarawak dalam usaha mengurangkan jurang digital di antara masyarakat bandar dengan luar bandar.

Melalui penganjurannya juga, masyarakat luar bandar didedahkan dengan perkhidmatan digital dan dalam talian yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuk institusi kewangan dan perbankan.

Program tersebut dianjurkan buat kali kedua selepas Rh Johnson, Kampung Seduku Panjai di Lingga, Sri Aman pada November tahun lepas.

Menurut Pengarah UPPN, Encik Michael Ronnie Langgong, program kali ini disertai lebih banyak agensi kerajaan.

Pengarah UPPN, Encik Michael Ronnie Langgong

“Program ini dianjurkan buat kali kedua yang menghimpunkan lebih banyak jabatan dan agensi kerajaan, iaitu sebanyak 13 kesemuanya.”

“Lebih banyak lagi perkhidmatan kerajaan yang kita boleh bawa dan promosikan kepada masyarakat luar bandar,” ujar beliau.

Jelas Encik Michael, program berkenaan turut memberi penerangan kepada masyarakat luar bandar yang mempunyai kemusykilan terhadap perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) selain kemusykilan mengenai perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan perbankan.

Program Randau #DigitalSarawak di Rh Nyuka, Lubok Lemba, Ulu Sarikei

Beliau walau bagaimanapun tidak menjangkakan impak yang besar daripada penganjuran program tersebut, namun berharap penganjurannya cukup sekadar satu pengenalan kepada masyarakat luar bandar, khususnya penghuni Rh Nyuka untuk bersedia dalam dunia digital.

“Saya tidak menganggap program ini memberi impak yang besar tetapi cukup sebagai pengenalan untuk menjadikan masyarakat kita lebih bersedia ke arah digitalisasi untuk masa lima hingga 10 tahun akan datang.”

“Seperti yang kita adakan hari ini, kita sama-sama mendidik, mendedahkan kepada masyarakat luar bandar yang ketinggalan dari segi penggunaan perkhidmatan dalam talian dan perkara yang berkaitan dengan internet dan sebagainya.”

Salah seorang penduduk mendapatkan perkhidmatan dalam talian kerajaan pada Program Randau #DigitalSarawak di Rh Nyuka

“Cukup sekadar mereka tahu yang dunia hari ini adalah berbentuk global dan tiada sempadan dan mereka ada akses ke negara-negara luar,” tambah beliau.

Jelas Encik Michael lagi, penduduk Rh Nyuka yang juga merupakan sebuah pusat inap desa (homestay) seharusnya mengambil peluang untuk mempromosi perkhidmatan inap desa di rumah panjang itu dengan menggunakan platform digital sedia ada.

“Sebagai contoh, di sini ada homestay, penduduk di sini boleh mempromosikannya menggunakan platform digital sedia ada.”

“Jadi, kesedaran seperti ini cukup untuk mereka memahami betapa besarnya digitalisasi ke arah membantu di mana sahaja kita berada,” jelas beliau.

Menurut Encik Michael lagi, pihak UPPN merancang untuk meneruskan program tersebut di Bahagian Mukah dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

Antara agensi kerajaan dan institusi kewangan yang menyertai Program Randau #DigitalSarawak di Rh Nyuka adalah seperti Pustaka Negeri Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) Sarikei, S Pay Global, Sarawak Information Systems (SAINS), MAIS, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), AgroBank dan lain-lain lagi.

Program Randau #DigitalSarawak bertujuan merapatkan jurang digital di antara masyarakat bandar dengan luar bandar

Turut diadakan sesi taklimat dan perkongsian maklumat oleh wakil-wakil daripada agensi-agensi yang terlibat dan sesi interaktif bersama komuniti.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article