- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

JTS Sasar 10,000 Lot Kediaman SPK dan SPS

Must read

Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) yang meneraju pengurusan dan pentadbiran tanah di Sarawak.

Bidang kuasa JTS yang telah wujud sejak 105 tahun lalu meliputi urusan-urusan yang berkaitan dengan pembangunan tanah, perancangan, penilaian, survei dan penguatkuasaan undang-undang Kanun Tanah Sarawak.

Bertepatan dengan slogan, ‘Agensi Pemudah Pembangunan’, JTS terlibat secara langsung sebagai pemudah pelaksanaan pembangunan fizikal yang dijalankan oleh agensi-agensi lain.

Setiap kawasan yang hendak dibangunkan memerlukan kerja-kerja ukur dan survei tanah, kenal pasti pemilik tanah termasuk urusan pampasan tanah yang merupakan peranan utama JTS.

Pelaksanaan Projek Pembangunan

Dalam pembangunan fizikal, projek-projek yang dilaksanakan JTS merangkumi Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS), projek jalan bandar, pusat perkhidmatan dan projek pembaharuan bandar.

Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, YBhg Datu Abdullah bin Julaihi

Projek SPK dan SPS adalah bidang pembangunan yang diberi fokus utama oleh JTS. Pada tahun 2022, JTS melaksanakan 575 buah projek secara keseluruhan dengan peruntukan RM1.5 bilion yang mana 17 daripadanya adalah projek SPK dan SPS dengan peruntukan RM435 juta.

Untuk tahun 2023, sebanyak 729 keseluruhan projek dilaksanakan dan 61 daripada jumlah tersebut adalah projek SPK dan SPS dengan peruntukan RM954 juta daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.7 bilion.

Menurut Pengarah JTS, YBhg Datu Abdullah bin Julaihi, tiga (3) projek utama yang sedang rancak berjalan termasuk yang akan dilaksanakan ialah pembangunan bandar Darul Hana di Kuching, pembangunan Kampung Datu dan pembangunan bandar baharu kawasan Kemuyang, Sibu.

Skim Penempatan Semula (SPS) Darul Hana, Kuching

Dari segi pelaksanaannya, JTS berperanan dalam memastikan tanah-tanah di kawasan yang terlibat disediakan untuk dibangunkan manakala Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) yang juga merupakan agensi di bawah MUDeNR pula bertindak sebagai pelaksana projek.

Bagi jumlah 61 projek SPK dan SPS untuk tahun 2023 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pelaksanaannya melibatkan seluruh bahagian di Sarawak.

Sebanyak 7,000 lot kediaman akan disediakan di Bintulu memandangkan bahagian berkenaan disasar untuk dijadikan hab teknologi dan petrokimia yang mana keperluan perumahan akan menjadi perkara pokok yang perlu diselesaikan, ujar beliau.

Projek-projek pembangunan tanah di bawah SPK dan SPS bertujuan untuk menyediakan rumah kediaman dengan menyasarkan pada kumpulan isi rumah B40 dan M40.

Kerajaan Sarawak juga telah menambah baik skim berkenaan, iaitu selain membina rumah kediaman, infrastruktur yang lengkap seperti kemudahan jalan berturap, sistem perparitan yang ditambah baik dan kemudahan utiliti turut disediakan.

Menurut Datu Abdullah, projek-projek SPK dan SPS adalah selari dengan keterangkuman sosial di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang turut menekankan infrastruktur asas sebagai satu (1) daripada tujuh (7) pemboleh ubah untuk mencapai Sarawak maju menjelang 2030.

Kesemua projek SPK dan SPS juga dilengkapi dengan kemudahan sosial seperti tadika, kemudahan riadah dan rumah ibadat.

Selain itu, rumah kediaman ditawarkan kepada pemilik lot SPK dan SPS yang layak. Rumah kediaman ini juga memenuhi ciri-ciri rumah yang selesa dan baik dengan tiga (3) buah bilik.

“Melalui SPK dan SPS, kerajaan dapat memastikan rakyat disediakan dengan kemudahan kediaman yang selesa dan terancang dari segi kemudahan utiliti dan sebagainya kerana rumah yang baik menghasilkan keluarga dan pendidikan yang baik,” ujar beliau.

Datu Abdullah menambah, JTS bersama-sama LCDA dan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) selaku agensi pelaksana di bawah MUDeNR mengendalikan skim tersebut dengan konsep 3 dalam 1, iaitu merangkumi lot tanah, rumah kediaman dan kemudahan pinjaman kewangan yang ditawarkan oleh Mutiara Mortgage and Credit Sdn. Bhd.

JTS dan agensi-agensi pelaksana menyasar untuk mewujudkan 10,000 lot kediaman SPK dan SPS bermula 2023.

Cabaran yang Dihadapi

Dalam melaksanakan tanggungjawabnya, JTS sudah pasti berdepan cabaran. Namun demikian, cabaran yang dihadapi tidak dilihat sebagai satu masalah.

Begitulah pandangan Datu Abdullah yang sentiasa mengingatkan warga JTS tentang hal tersebut. Jelas beliau, setiap cabaran, terutama di lapangan seharusnya diambil sebagai peluang untuk warga jabatan berkomunikasi dan bersama-sama mencari penyelesaiannya.

‘Komunikasi, komunikasi, komunikasi’ adalah kata kunci atau apa yang beliau ungkapkan sebagai ‘mantera’ kepada kakitangan jabatan apabila berdepan cabaran dan masalah.

“Komunikasi hendaklah bersertakan fakta dan angka, berkomunikasi dengan baik dan bersefahaman dan komunikasi yang disusuli dengan tindakan inovatif,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, cabaran yang dihadapi menurut beliau perlu difahami secara komprehensif dan sebab itulah komunikasi memerlukan pengumpulan fakta, memerlukan ‘mutual understanding’ atau kesepakatan sebelum diambil tindakan.

Tambah beliau, limpahan projek pembangunan merupakan cabaran yang paling besar untuk dihadapi yang beliau tekankan sebagai peluang yang baik kepada JTS untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan jabatan.

Memandangkan banyak perkara yang perlu diteliti, bermula dari pengumpulan data hingga ke peringkat pelaksanaan yang turut melibatkan agensi-agensi pelaksana yang lain termasuk komuniti sesuatu kawasan yang dibangunkan, limpahan projek pembangunan menuntut pegawai-pegawai JTS supaya memberi keutamaan kepada pengurusan projek yang lebih efisien dan produktif.

Pengurusan Alam Sekitar dan Tadbir Urus

Amalan baik dalam pengurusan alam sekitar dan tadbir urus merupakan perkara asas yang paling utama dalam setiap projek yang dilaksanakan oleh JTS bermula dari proses kenal pasti tapak projek.

Mengikut prosedur, projek yang hendak dilaksanakan sudah tentu memerlukan kelulusan pertapakan daripada Majlis Perancangan Negeri yang juga tertakluk pada undang-undang di bawah bidang kuasa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.

Dalam proses tersebut, JTS akan merujuk pada Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, 1993 dan kontraktor lantikan mesti mematuhi peraturan dan regulasi yang termaktub dalam undang-undang sedia ada, iaitu Natural Resources and Environment (Prescribed Activities) Order 1994.

Pihak kontraktor juga diwajibkan untuk melantik perunding alam sekitar yang berdaftar dengan NREB bagi tujuan penyediaan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang akan diluluskan oleh pihak NREB.

Kontraktor hendaklah selalu memantau keadaan alam sekitar di tapak pembinaan dan mengikut nasihat daripada perunding yang dilantik agar syarat-syarat yang ditetapkan di dalam EMP dapat dipenuhi.

Laporan Pengurusan Alam Sekitar (EMR) juga hendaklah dihantar kepada pihak NREB pada setiap suku tahun bagi tujuan pemantauan dan rekod oleh pihak berkuasa.

Selain itu, pihak NREB turut akan melawat tapak projek dari semasa ke semasa bagi memastikan ketetapan dalam EMP sentiasa dipatuhi oleh pihak kontraktor.

Bagi pengurusan projek secara umum, JTS akan merujuk pada manual dan garis panduan seperti Manual Perolehan Perkhidmatan Perunding, Tatacara Perolehan Negeri Sarawak termasuk JKR Sarawak Form of Contract dan JKR Sarawak General Conditions of Contract.

Walau bagaimanapun, perkara asas yang disimpulkan oleh Datu Abdullah dalam hal tersebut ialah selain mengambil kira kepentingan sesuatu projek supaya tidak menjejaskan alam sekitar, pemahaman sebenar hubungan di antara manusia dengan persekitaran juga amat penting.

Dalam konteks ini, beliau memberikan contoh, ilmuan terkenal Ibnu Khaldun menekankan tiga (3) perkara, iaitu hubungan di antara manusia sesama manusia, hubungan dengan alam sekitar dan hubungan dengan pencipta.

Berkenaan dengan tadbir urus, Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) JTS telah dilancarkan dalam usaha meningkatkan integriti jabatan.

Pelan tersebut menggariskan misi yang menyumbang kepada keberkesanan usaha JTS membanteras rasuah dengan memperkukuhkan tadbir urus, integriti dan anti rasuah warga jabatan melalui pematuhan undang-undang, peraturan dan arahan yang dikuatkuasakan.

Dari sudut pelaksanaan projek, OACP JTS telah menetapkan strategi untuk mempertingkatkan nilai integriti dalam tadbir urus perolehan serta memperkasa kecekapan dan keberkesanan pengurusan projek.

Pegawai-pegawai yang terlibat dalam pengurusan perolehan adalah tertakluk untuk mematuhi tata cara perolehan berhubung dengan kerahsiaan maklumat dan mengguna pakai ‘Integrity Pack’ yang telah dikuatkuasakan.

Inisiatif berkenaan telah mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam mencegah kebocoran maklumat berkaitan dengan projek pembangunan yang melibatkan pihak dalaman dan luaran.

Selain itu, jawatankuasa penilaian juga ditubuhkan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga (3) ahli.

Salah seorang daripada ahli mestilah dilantik dari cawangan lain yang merangkumi Jawatankuasa Penilaian Tender, Jawatankuasa Penilaian Perunding, Jawatankuasa Sebut Harga, Jawatankuasa Perolehan Terus dan sebagainya.

Menerusi OACP JTS, akauntabiliti dan kredibiliti jabatan dalam proses perolehan dan pengurusan projek dapat ditingkatkan.

Datu Abdullah menekankan, peringkat pengurusan perlu lebih tegas dalam meningkatkan nilai integriti jabatan.

Situasi apabila seseorang kakitangan hanya pandai bercakap tetapi tidak mengambil tindakan tidak boleh diterima sama sekali, tegas beliau.

Pada masa yang sama, prosedur yang boleh membuka ruang kepada salah laku dan rasuah serta undang-undang yang berkaitan perlu diperketatkan, tegas beliau.

Beliau juga menekankan bahawa setiap kakitangan harus mempunyai pemikiran dan perancangan strategik dan disertakan dengan perasaan kepunyaan, akauntabiliti, kepimpinan, sikap tidak suka berlengah-lengah serta komunikasi yang baik dan berkesan.

Bagi meningkatkan motivasi, kecemerlangan dan kejayaan yang dicapai oleh jabatan harus diraikan, tambah beliau.

Penambahbaikan Proses Kerja dan Pembudayaan Inovasi

Penambahbaikan proses kerja merupakan salah satu (1) indeks prestasi utama (KPI) dalam scorecard JTS.

Setiap tahun secara amnya, JTS melaksanakan lapan (8) hingga 10 proses kerja daripada semua cawangan yang disemak semula dan ditambah baik bersesuaian dengan keadaan semasa, khususnya melalui penggunaan Land and Survey Information System (LASIS).

Datu Abdullah menunjukkan ciri-ciri yang terdapat pada LASIS

Penambahbaikan dilakukan bertujuan untuk memastikan pelanggan yang terdiri daripada rakyat secara amnya, pemilik tanah, pemegang taruh termasuk kepimpinan kerajaan menerima penyampaian perkhidmatan yang pantas, tepat dan berintegriti daripada JTS.

Jelas Datu Abdullah, ketika pandemik COVID-19 mula melanda pada 2020, JTS tetap komited untuk menambah baik perkhidmatannya.

Sebagai contoh perkhidmatan ‘One Day Registration’ telah ditambah baik kepada ‘Same Day Registration’ yang melibatkan penambahbaikan tempoh pendaftaran surat cara daripada satu (1) hari kepada pendaftaran pada hari yang sama.

Langkah yang diambil tersebut dianggap sebagai kejayaan yang memberi makna yang besar kepada jabatan dalam usaha untuk mempergiatkan amalan dan budaya kualiti berterusan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

“Dalam sesebuah organisasi, komponen Manusia, Proses dan Prosedur, Rangka Kerja Undang-undang dan Teknologi merupakan empat (4) teras utama yang perlu ditambah baik”, tegas beliau.

Oleh yang demikian, untuk meningkatkan perkhidmatan, JTS perlu menambah baik keempat-empat teras tersebut kerana kesemuanya saling berkait rapat dan penting dalam operasi jabatan.

Antara lain, digitalisasi merupakan prinsip dalam penambahbaikan perkhidmatan JTS yang berhasrat untuk mendigitalisasikan kesemua proses kerja manual.

Sebagai contoh, Land And Survey Information System (LASIS) yang merupakan salah satu sistem pentadbiran tanah yang paling lengkap di dunia kerana ia telah memenuhi semua kriteria dalam Perspektif Pentadbiran Tanah Global di mana komponen yang meliputi pemilikan tanah, nilai tanah, guna tanah dan pembangunan tanah digabungkan menjadi satu platform berpusatkan GIS.

Penggunaan LASIS ini membolehkan JTS memperkenalkan eLASIS dan Mobile LASIS yang merupakan transformasi berterusan kepada sistem penyampaian perkhidmatannya untuk memenuhi keperluan pihak berkepentingan dan pelanggan.

Aplikasi eLASIS dan Mobile LASIS telah mewujudkan Pejabat Maya Sehenti yang mengubah sistem penyampaian perkhidmatan JTS secara digital dengan misi ‘membawa pejabat ke setiap pintu.’

Ia juga terbukti cekap dan berkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19. Pengguna berdaftar meningkat 108 peratus daripada 17,668 kepada 36,738.

Urus niaga dalam talian menunjukkan peningkatan sebanyak 42 peratus daripada 180,770 kepada 257,421 dan seterusnya kutipan hasil dalam talian meningkat sebanyak 147 peratus iaitu daripada RM3.2 juta kepada RM7.8 juta pada 2021.

Datu Abdullah turut berkongsi tentang pembudayaan inovasi dalam jabatan. Kesemua warga JTS digalakkan untuk membudayakan inovasi melalui penubuhan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Sepanjang tempoh 2019 hingga 2021, sebanyak 39 idea telah diketengahkan melalui KIK jabatan. Tajuk-tajuk KIK yang dihasilkan memfokus pada inovasi yang memberi impak kepada rakyat.

Menurut Datu Abdullah, idea bermula dari aduan dan maklum balas awam yang kemudiannya akan disalurkan dalam bentuk penyelesaian yang turut memberi impak kepada perkhidmatan JTS.

Melihat perspektif yang lebih luas, JTS menumpukan pada usaha transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatannya selain berperanan dalam penyediaan infrastruktur asas bagi mencapai PCDS 2030.

Penggunaan LASIS yang jelas memudahkan urusan dalaman dan luaran jabatan di samping pembudayaan inovasi adalah bukti komitmen JTS meningkatkan penyampaian perkhidmatannya berasaskan data dan teknologi selari dengan misi Sarawak maju seperti yang digariskan di bawah PCDS 2030.

Beberapa kejayaan dalam usaha tersebut juga telah dicapai JTS dan yang terkini ialah Anugerah Pencapaian Khas (SAG) menerusi penggunaan Geographic Information System (GIS) pada Persidangan Pengguna ESRI 2022 di San Diego, California, Amerika Syarikat pada Julai 2022.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article