- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Kontrak Pemasaran FAMA

Must read


Kontrak pemasaran yang diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kepada petani atau inidividu yang terlibat dalam pengeluaran pertanian di negeri ini dilihat memainkan peranan yang besar dalam mengatur bekalan yang berkualiti, berterusan dengan spesifikasi yang memenuhi kehendak pasaran domestik atau luar negara.

Ia ternyata mampu meningkatkan hasil produk tani yang berkualiti serta mencapai standard bagi tujuan eksport ke luar negara.

Mungkin agak sukar bagi usahawan tani memasarkan produk mereka secara bersendirian,namun dengan bantuan FAMA ia berjaya menempatkan produk tani usahawan ini standing dengan produk-produk pertanian lain di pasaran.

Jika ditinjau dari sudut positifnya,kontrak pemasaran yang dilaksanakan FAMA dengan para peserta menguntungkan kedua-dua dan dalam masa yang sama memberikan kelebihan kepada para petani memandangkan pemindahan teknologi tanaman boleh dilakukan dalam masa yang singkat di samping mendedahkan para petani tentang pelaksanaan peraturan hasil-hasil pertanian dari segi penggredan, pembungkusan dan perlabelan yang lebih baik dan bermutu.

Di samping itu, melalui usaha ini pengguna boleh mendapatkan bekalan yang boleh diyakini dan berterusan pada spesifikasi yang memenuhi kehendak pasaran.

Pihak FAMA menggunakan segala kepakaran mereka terutama pembekalan benih,bantuan kewangan malah ia turut member jaminan tanaman atau buah-buahan yang diusahakan dapat dipasarkan kesemuanya.

Apa yang pasti, ia secara langsung mampu mewujudkan lebih ramai usahawan tani yang berdaya maju.
Secara asasnya, kontrak pemasaran yang dilaksanakan FAMA merupakan satu konsep merangkumi kontrak bekalan dan kontrak jualan.

Ia adalah satu ikatan persetujuan di antara pengeluar dan FAMA di mana pengeluar bersetuju untuk mengeluarkan produk pada kualiti, kuantiti, jenis, variety, pembungkusan,gred dan masa yang dipersetujui manakala di pihak FAMA pula, mereka bersetuju untuk menjamin pasaran pada harga yang dipersetujui di antara kedua-duanya.

Dalam Perjanjian Kontrak Pemasaran (PKP) antara perkara yang ditekankan ialah jaminan pasaran mengikut peraturan, jaminan pasaran seratus-peratus dan konsep perkongsian modal.

Sasaran peserta kontrak pemasaran meliputi petani individu, petani berkelompok, petani komersil dan petani Pertubuhan Peladang kawasan/Jabatan Pertanian.

Kerjasama strategik antara FAMA dengan peserta terlibat dapat disaksikan baru-baru ini apabila FAMA telah menandatangani perjanjian kontrak pemasaran di antara peserta kelompok tanaman “Rambutan Anak Sekolah” (R191) bagi kawasan Rapak dan Siga/Tekalong di Sri Aman dan tanaman “Betik Eksotika” di Kampung Semilang dan Beradek di Samarahan.

Mengikut perjanjian tersebut, FAMA menjangkakan akan mengendalikan 200 tan metric Rambutan Anak Sekolah (R191) untuk dipasarkan ke seluruh negara teramsuk dieksport ke beberapa buah negara Eropah. Ia adalah bagi musim pengeluaran (tuaian) bulan Disember lepas 2006 hingga Februari tahun ini (2007).

FAMA Sarawak akan memasarkan R191 yang melibatkan seramai 41 orang petani dengan keluasan 62 hektar di dua kawasan berkenaan.

Sebelum ini (bagi tahun 2005), FAMA Berjaya mengendalikan sebanyak 41 metrik tan rambutan yang dipasarkan di seluruh Sarawak termasuk Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Melalui kerjasama perjanjian kontrak pemasaran (ketika itu), FAMA telah memasarkan R191 keluaran hasil pertanian di kawasan berkenaan yang berkeluasan 103 hektar dengan disertai oleh 76 peserta.

Pada tahun 2005, FAMA telah menandatangani satu lagi perjanjian kontrak pemasaran dengan peserta kelompok di kawasan Rapak, Pantu, Sri Aman seramai 21 petani dengan keluasan tanah 17 hektar.
Sementara itu, bagi Betik Eksotika pula, FAMA mengikat kontrak dengan 20 orang petani dalam kawasan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Samarahan iaitu di Kampung Beradek dan Kampung Semilang dengan keluasan sebanyak 29 hektar.

Projek tanaman betik eksotika telah dimulakan Projek IADP Samarahan pada tahun 2005.

Kesemua peserta yang terlibat dalam tanaman betik eksotika ini dijangka mampu membekalkan sebanyak 4 tan metrik betik setiap bulan kepada FAMA dengan harga RM700 satu tan.

Sebelum peserta ini terlibat dalam PKP ini, FAMA telah memainkan peranannya dengan member kursus dan khidmat nasihat sebagai persediaan bagi meningkatkan pengetahuan dan pengalaman peserta.

Persetujuan tersebut juga akan meningkatkan lagi peranan FAMA dalam memperkenalkan komoditi dan produk baru, menyediakan dan menyebarkan maklumat pasaran, pembangunan petani kontrak pemasaran, pelaksanaan peningkatan mutu pengeluaran dan perkhidmatan mengatur pasaran.

Pada majlis tersebut (ketika itu), PKP di antara FAMA (Timbalan Pengarah, Paza Dan) dan perserta berkelompok tanaman R191 ditandatangani oleh Sepitson Anak Apa bagi peserta dari Kampung Rapok dan Jefri Lai dari Kampung Tekalong.

Manakala PKP di antara FAMA dan peserta berkelompok tanaman betik eksotika ditandatangani oleh Haji Bolhassan Ibrahim bagi peserta Kampung Beradek dan Pauzi Ameng bagi Kampung Semilang.

Selain pendekatan PKP atau perladangan kontrak, FAMA di negeri ini telah berusaha untuk meningkatkan lagi “akses” pasaran kepada usahawan tani melalui platform pemasarannya antara yang terkini mewujudkan lebih banyak Pasara Tani Mega, mewujudkan Bazar Buah-Buahan Bermusim serta banyak lagi pesta dan promosi buah-buahan tempatan.

Usaha tersebut sejajar dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), di mana Kemnterian Pertanian dan Asas Tani melalui agensi-agensi pelaksana akan mewujudkan lebih banyak pasar borong, pusat pengumpulan, peladangan kontrak dan Pasar Peladang.

Malah kerajaan turut menggalakkan warga tani beralih kepada penggunaan teknologi maklumat (ICT) bagi tujuan meluaskan lagi pasaran produk mereka.


Info Pemasaran Kontrak


Terdapat 4 pendekatan bagi melaksanakan kontrak bekalan seperti berikut:-

Cara Pertama : Konsep Jaminan Pasaran Ikut Peratus

  • Pengeluar menggunakan modalnya sendiri dalam sesuatu projek tanaman.
  • Belian FAMA tidak melebihi 50% dari jumlah hasil yang dikeluarkan. Perkiraan 50% berdasarkan hari kutipan sebagai contoh, tuaian pertama 100% pengeluaran dijual kepada FAMA dan tuaian kedua 100% dijual kepada pembeli lain atau sebaliknya sehingga habis tuaian.
  • Belian FAMA berdasarkan kuantiti, gred, varieti, kualiti dan spesifikasi yang ditetapkan.
  • Kaedah ini sesuai dilaksanakan kepada pengeluar komersial yang telah mempunyai pasaran sedia ada tetapi ingin meningkatkan pengeluaran serta menambah luang pasarannya.

Cara Kedua : Konsep Jaminan Pasaran 100%

  • Pengeluar menggunakan modalnya sendiri untuk mengusaha ladang dan semua kos adalah ditanggung oleh pengeluar.
  • FAMA bertanggungjawab untuk membeli semua hasil keluaran mengikut gred, kuantiti, varieti, kualiti dan spesifikasi yang dipersetujui bersama sahaja.
  • Pengeluar tidak boleh menjual hasil kepada pembeli lain.
  • Kaedah ini sesuai dilaksanakan kepada petani atau pengeluar yang berkeupayaan dan mempunyai modal tetapi tiada luang pasaran.

Cara Ketiga : Konsep Perkongsian Modal

  • FAMA akan melaburkan modal hanya bagi pembiayaan benih sahaja.
  • Tugas petani atau pengeluar adalah menanam dan menjaga tanamannya bagi menghasilkan keluaran bermutu dan FAMA bertanggungjawab untuk membeli hasil yang dikeluarkan mengikut gred, kualiti dan spesifikasi yang dipersetujui bersama.
  • Jenis dan varieti tanaman akan ditentukan oleh FAMA.
  • Petani tidak boleh menjual hasil keluaran kepada pembeli lain.
  • Petani akan mendapat lebihan pendapatan setelah ditolak kos benih yang dibekalkan oleh FAMA.
  • Kaedah ini sesuai dilaksanakan kepada petani atau kumpulan petani yang berpengalaman sahaja dan memiliki tanah tetapi kekurangan modal serta tiada saluran pasaran. Bagi petani yang akan menyertai kontrak bekalan FAMA dan projeknya dibiayai melalui pinjaman Bank Pertanian atas budi bicara, Pegawai FAMA Negeri boleh mengeluarkan surat perakuan pemasaran

Cara Keempat : Konsep Pajakan Bermusim

  • FAMA bersama petani atau pengeluar menetapkan harga pajakan hasil di ladang pada awal musim pengeluaran bermula. Konsep ini hanya boleh dilaksanakan dalam keadaan sayur-sayuran yang ditanam belum dituai dan boleh dituai dalam jangka masa tujuh hari lagi
  • Pajakan akan berdasarkan kuantiti pengeluaran pada harga yang dipersetujui bersama.
  • FAMA bertanggungjawab ke atas semua pengeluaran yang dihasilkan dari segi pemasaran.
  • Petani bertanggungjawab bagi mempastikan pokok-pokok dijaga dengan baik bagi mendapatkan nilai hasil pajak yang dipersetujui.
  • Petani tidak boleh menjual hasil keluaran kepada pembeli lain.
  • Kaedah ini sesuai dilaksanakan bagi tanaman seperti labu manis, ubi keledek dan ubi keladi yang mana kutipan hasil boleh dibuat sekali tuaian.

INFO


Mengenai penetapan harga, ia adalah melalui perundingan yang dipersetujui bersama di antara FAMA dan pengeluar. Harga belian FAMA adalah mengikut harga pasaran semasa.

Terdapat dua (2) kaedah pembiayaan yang dibolehkan bagi perlaksanaan kontrak bekalan adalah seperti berikut iaitu pembiayaan benih dan pendahuluan wang tunai

Pembiayaan benih hanya boleh dilaksanakan bagi cara ketiga : Konsep Perkongsian Modal sahaja. Kaedah perlaksanaannya ditentukan seperti berikut:-

  • Perkongsian modal FAMA hanya terhad kepada perbelanjaan benih sahaja. Pemberian wang tunai tidak dibenarkan.
  • Input yang dibekalkan hendaklah diambil kira sebagai jualan kepada petani. Ini bererti petani berkenaan dikira sebagai siberhutang FAMA. Invois jualan hendaklah dikeluarkan.
  • Serahan benih hanya boleh diberi setelah penyediaan tanah selesai.
  • Had maksimum pelaburan benih tidak melebihi RM5,000 bagi setiap peserta.

Pendahuluan wang tunai hanya boleh dilaksanakan bagi cara keempat, Konsep Pajakan Bermusim sahaja. Kaedah perlaksanaannya ditentukan seperti berikut:-

  • Pendahuluan kepada petani tidak melebihi 20% daripada jangkaan hasil tanaman atau maksimum RM5,000 mengikut terendah.
  • Pendahuluan boleh dikeluarkan 7 hari lebih awal daripada tarikh belian FAMA.
  • Petani dikehendaki menandatangani pengesahan penerimaan pendahuluan.

Cara Pembayaran Balik

Pengeluar atau petani yang telah mendapat pembiayaan FAMA melalui pembiayaan benih atau pendahuluan wang tunai perlu membayar balik sepenuhnya kepada FAMA.
Cara pembayaran balik adalah seperti jadual di bawah:-

Belian Hasil

Peratusan Pembayaran / Minima Potong

Kali Pertama

30% daripada nilai invois belian
(70% dikembalikan kepada petani)

Kali Kedua

30% daripada nilai invois belian
(70% dari nilai invois belian dikembalikan kepada petani)

Kali Ketiga

40% daripada nilai invois belian
(60% dari nilai invois belian dikembalikan kepada petani)

Kali Keempat dan seterusnya

40% daripada nilai invois belian
(60% dari nilai invois belian dikembalikan kepada petani)


Keutamaan Kawasan

Disebabkan FAMA sudah mempunyai infrastruktur pemasaran yang lengkap, ladang-ladang kontrak akan diasaskan berdekatan dengan Kompleks Bilik Sejuk (KBS), Pusat Pemasaran Pertanian (AMC) dan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL). Kontrak bekalan perlu mengutamakan projek TKPM, Ladang Berkelompok, Ladang Organik dan petani individu.

Dengan adanya program kontrak bekalan ini, kemudahan-kemudahan bilik sejuk, lori, rumah pembungkusan dan khidmat sokongan seperti kursus-kursus lepas tuai akan difokuskan ke program kontrak bekalan yang telah dipilih.

Peranan dan Tanggungjawab FAMA Negeri Dalam Pengurusan Kontrak Bekalan

  • Pegawai FAMA mengadakan lawatan ke ladang kontrak untuk mempastikan kualiti sayuran yang dikeluarkan oleh petani seperti dikehendaki oleh FAMA.
  • FAMA Negeri bertanggungjawab memaklumkan kepada petani dari segi pembungkusan yang sesuai bagi tujuan pemborongan.
  • FAMA Negeri akan sentiasa menyemak invois belian daripada petani yang terlibat dan mempastikan potongan kutipan balik modal pelaburan FAMA dibuat mengikut jadual.
  • Pihak FAMA Negeri akan melapor segera ke Ibu Pejabat sekiranya berlaku kegagalan projek atau peserta tidak mampu membuat bayaran balik.
  • Pejabat FAMA Negeri bertanggungjawab mempastikan benih yang sesuai dijual kepada petani.
  • Pihak FAMA Negeri akan sentiasa berdamping dengan Jabatan Pertanian jika projek tersebut di bawah bimbingan Jabatan Pertanian. Segala masalah yang dihadapi oleh FAMA hendaklah dirujuk kepada Jabatan Pertanian secara bersurat.
  • FAMA Negeri akan sentiasa berusaha mewujudkan hubungan baik dengan peserta projek yang terlibat dengan kontrak bekalan. Perbincangan tentang pemasaran hendaklah dibuat dari semasa ke semasa. Seorang pegawai khas hendaklah dilantik bagi menyelia kontrak bekalan yang dijalankan di setiap negeri.
  • FAMA Negeri juga bertanggungjawab memberi khidmat nasihat pemasaran kepada peserta projek berhubung dengan amalan lepas tuai seperti maklumat harga, maklumat pasaran dan sebagainya. Penekanan perlu diberi dalam aspek kualiti, penggredan dan pembungkusan.
  • Penjadual tanaman perlu disemak kepada kalendar pengeluaran dan dimaklumkan kepada Ibu Pejabat.

Sumber : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

Info Ringkas Mengenai Ladang Kontrak

Konsep Ladang Kontrak dibawah “High Impact Project” (HIP) telah dirangka oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani bagi membantu Pengeluar/Pengusaha Bidang pertanian berskala kecil dan sederhana memasarkan hasil pertanian melalui FAMA
Perkembangan dan kemajuan Ladang Kontrak ini akan dipantau secara terus oleh Nationsl Implementation Directorate (NID) di bawah Pejabat Perdana Menteri.
Ladang Kontrak ini akan dilaksanakan melalui MoA Inc dan melibatkan beberapa buah agensi seperti FAMA, Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Bank Pertanian Malaysia (BPM) dan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP). Konsep ini adalah satu kerjasama erat dapat terjamin supaya aktiviti dan pelaksanaan projek dapat dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.



Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article