- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Kerajaan Prihatin Sumbangan Anggota Awam

Must read


Dewan Rakyat pada 18 Disember 2008 yang lalu telah
meluluskan Akta Pencen (Pindaan) (No.2) 2008 yang bertujuan meminda Akta Pencen
1980 (Akta 227) iaitu undang-undang yang mentadbirkan urusan persaraan dan
pencen bagi pegawai-pegawai perkhidmatan awam persekutuan dan negeri.

 

Akta Pencen (Pindaan) (No.2) 2008 secara khususnya ialah
untuk melaksanakan beberapa dasar baru mengenai skim faedah persaraan dan faedah
terbitan yang telah pun diluluskan kerajaan pada 2008 yang merangkumi :

  1. pemansuhan syarat permastautinan di Malaysia bagi pemberian pencen terbitan
    melebihi 12 setengah tahun dan pemberian pelarasan pencen yang berkuat kuasa
    mulai 1 Januari 2008 yang lalu.
  2. peningkatan tempoh perkhidmatan maksimum yang dimasuk kira bagi penghitungan
    pencen daripada 25 tahun kepada 30 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2009
  3. pembayaran pencen terbitan atas kadar penuh bagi seumur hidup penerima
    iaitu tanpa susutan kepada 70% selepas 12 setengah tahun daripada tarikh
    persaraan atau kematian dalam perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari 2009; dan
  4. pemberian opsyen semula kepada pegawai tetap perkhidmatan awam yang telah
    memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai Skim Faedah
    Persaraan untuk memilih Skim Pencen yang mana pemilihan semula ini akan mula
    berkuat kuasa pada 1 Februari 2009.

 

Dalam pemansuhan syarat permastautinan di Malaysia bagi pemberian
pencen terbitan melebihi 12 setengah tahun dari tarikh persaraan atau kematian pegawai
dalam perkhidmatan dan penyelarasan pencen telah diputuskan oleh kerajaan
setelah mengambil kira bahawa ramai pesara dan penerima pencen telah berhijrah
dan tinggal di luar negara.

 

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz ketika membentangkan usul pindaan
akta berkenaan menyatakan bahawa
terdapat seramai
657 balu atau duda yang bermastautin di luar Malaysia dan telah berhenti
menerima pencen terbitan. Manakala seramai 1,332 pesara bermastautin di luar Malaysia
dan menerima pencen asal iaitu tanpa unsur penyelarasan.

 

Menurut beliau, dari sudut perbelanjaan kerajaan pula,
pemulihan pembayaran pencen terbitan kepada pemastautin di luar Malaysia akan melibatkan
perbelanjaan tambahan sebanyak RM8 juta setahun.

 

Bagi penyelarasan pencen pesara yang bermastautin di luar
Malaysia, perbelanjaan tambahan adalah sebanyak RM24 juta setahun. Ini bermakna
bahawa keseluruhan tambahan perbelanjaan kerajaan untuk dasar ini adalah
sebanyak RM32 juta pada tahun 2009.

 

Dasar pembayaran pencen terbitan atas kadar penuh bagi
seumur hidup kepada penerima pencen iaitu tanpa susutan kepada 70% selepas 12
setengah tahun adalah berasaskan pertimbangan bahawa pencen atau pencen
terbitan adalah merupakan defeat self
iaitu gaji pegawai yang dibayar dalam bentuk pencen semasa dalam persaraan.
Dengan kemampuan kewangan kerajaan ketika ini adalah dirasakan bahawa balu,
duda atau anak wajar menerima pencen terbitan daripada perkhidmatan gemulah
tanpa ada sebarang unsur susutan.

 

Dasar baru ini akan melibatkan seramai 141,116 orang
penerima pencen serta peruntukan tambahan sebanyak RM316 juta.

 

Dato’ Seri Mohamed Nazri turut memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan juga telah bersetuju untuk menghitung semula
pencen mengikut formula berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan sehingga
maksimum 30 tahun iaitu 360 bulan bagi semua pesara dan penerima pencen berkuat
kuasa 1 Januari 2009.

 

Ketika ini tempoh maksimum hanyalah 25 tahun iaitu 300
bulan. Pertambahan lima tahun ini ialah untuk menyahut seruan daripada golongan
pesara yang meminta supaya tempoh perkhidmatan sebenar semasa mereka berkhidmat
diambil kira dalam pengiraan pencen.

 

Dasar ini juga akan merangkumi pesara dan penerima pencen
yang telah bersara sebelum dari tarikh kuat kuasa 1 Januari 2009. Dasar ini
akan melibatkan seramai 115,000 pesara dan penerima pencen serta peruntukan
kewangan tambahan sebanyak RM718 juta.

 

Pindaan ke atas Akta Pencen 1980 (Akta 227) juga
melibatkan beberapa penambahbaikan skim pencen dan juga mengambil kira keluhan
dan rungutan ramai anggota sektor awam yang pernah memilih Skim KWSP dan kini
telah bertukar fikiran dan menganggap bahawa Skim Pencen yang lebih lumayan sekiranya
dibandingkan dengan Skim KWSP.

 

Kerajaan bersetuju untuk bayaran tempoh sebulan mulai 1
Januari 2009, mereka diberi peluang membuat opsyen semula untuk memilih skim
pencen.

 

Pada hakikatnya kedua-dua skim ini mempunyai keistimewaan
yang tersendiri. Walau apa pun pilihan yang dibuat oleh anggota, mereka
hendaklah bijak dalam menguruskan kewangan peribadi masing-masing. Dasar baru
pemberian semula opsyen ini belum dapat dianggarkan implikasi kosnya kerana
ianya bergantung kepada jumlah anggota yang memilih Skim Pencen. Walau
bagaimanapun, pemilihan Skim Pencen akan dapat mengurangkan beban kewangan
kerajaan bagi caruman KWSP untuk anggotanya dan pengurangan beban ini diimbangi
dengan tambahan perbelanjaan bayaran ganjaran dan pencen pada masa hadapan.

 

Untuk itu, Dato’ Seri Mohamed Nazri  memaklumkan bahawa pembiayaan pelaksanaan dasar-dasar baru itu melibatkan peningkatan perbelanjaan
Kerajaan Persekutuan sebanyak hampir RM1 bilion untuk tahun

2009 sahaja.

 

Dasar-dasar baru ini dinikmati oleh semua pesara dan
penerima pencen termasuk mereka yang pernah berkhidmat di semua negeri.

 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article