Rh. Bana, Serakit, terletak di Km. 36 Jalan Bintulu-Sebauh merupakan rumah panjang dan kampung model pertama bagi pembangunan pertanian berkumpulan atau berkelompok di Bahagian Bintulu.
Mereka telah diberi pengiktirafan itu apabila penduduk rumah panjang berjaya mengusahakan kira-kira 35 hektar tanah dengan tanaman koko pada tahun 1987.
Sehingga awal 90-an, rata-rata mereka mampu memperoleh pendapatan sekitar RM900 hingga RM2,000 sebulan bagi setiap hektar tanah yang diusahakan. Malangnya, masalah penurunan harga di pasaran serta serangan penyakit menyebabkan tanaman itu terabai.
Namun, usaha mereka tidak terhenti di situ. Seramai 40 peserta (keluarga) dari rumah panjang itu kemudiannya beralih kepada tanaman cempedak secara berkumpulan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu pada tahun 2001.
Kali ini ia diusahakan di tanah seluas kira-kira 40 hektar berhampiran dengan rumah panjang mereka.
Bermula tahun itu juga Jabatan Pertanian melalui program selama lima tahun di bawah Projek Pembangunan Pertanian (ADP) telah mula menyalurkan pelbagai jenis bantuan yang diperlukan oleh penduduk.
Beralih Kepada Cempedak
Cempedak merupakan antara tanaman buah yang telah lama ditanam penduduk Rh. Bana yang mempunyai kira-kira 280 penduduk.
Pada mulanya mereka hanya menanam cempedak dari jenis tempatan di sekitar tanah kebun mereka. Selain cempedak, mereka juga mengusahakan tanaman getah, lada, padi dan kolam ikan.
Namun, mereka lebih positif terhadap potensi pada tanaman cempedak. Ketika musim buah-buahan, ramai pembeli tempatan termasuk dari Brunei datang untuk membeli cempedak mereka. Aktiviti itu sahaja mampu memberikan mereka pendapatan antara RM1 hingga RM3 sebiji.
Berikutan itu mereka berusaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertanian. Akhirnya projek itu dimulakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) melalui Projek Pembangunan Pertanian secara berkelompok Jabatan Pertanian.
Projek itu disertai oleh 40 keluarga yang mana setiap keluarga mempunyai tenaga kerja antara tiga hingga lapan orang.
Setiap keluarga juga telah memperuntukkan seluas satu hektar tanah bagi tanaman cempedak yang diusahakan secara bergotong-royong.
Menurut Encik Senelus Maja, Penguasa Pertanian Sebauh, pihak Jabatan Pertanian amat mengagumi kerjasama yang telah diberikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh. Bana untuk menjayakan projek itu sejak mula lagi.
Kerana itu katanya pihak Jabatan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyalurkan pelbagai jenis bantuan termasuk kewangan yang sehingga kini berjumlah kira-kira RM156,400.
Begitu juga dengan sambutan dan komitmen yang ditunjukkan ketika penganjuran kursus in-situ yang melibatkan para pegawai dari Ibu Pejabat Jabatan Pertanian dan Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu yang telah datang memberi ceramah dan latihan praktikal pada tahun 2003.
Tiga baka cempedak telah disarankan oleh Jabatan Pertanian untuk ditanam di situ iaitu jenis CH 28, Cempedak Durian dan Nanchem (kombinasi Nangka dan Cempedak).
Kejayaan
Ketika ini tanaman cempedak di Rh. Bana mampu menjana hasil sehingga 40 tan bagi setiap hektar dalam masa setahun. Setiap hektar ditanam dengan kira-kira 123 pokok cempedak.
Bilangan itu mampu memberi pendapatan sehingga RM40,000 bagi tiap hektar setahun jika harga pasaran ialah RM1 sekilogram.
Namun, di sini buah cempedak yang diberi gred A dengan berat 9 kg ke atas mampu dijual dengan harga RM4 sekilogram.
Tiga jenis baka cempedak yang diusahakan itu juga akan mencapai kematangan pada tahun keenam hingga kelapan selepas ditanam.
Di samping itu, ia juga mampu mengeluarkan hasil selepas satu setengah tahun ditanam sehingga mencapai usia 30 tahun.
Selain menjual buah segar, penduduk Rh. Bana juga memproses isi cempedak yang dijadikan ‘leking’ iaitu buah kering dan ‘cucur temedak’ iaitu campuran buah dengan tepung.
Perancangan
Ketika ini Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang dalam proses untuk menyalurkan bantuan bagi membuat rumah pengumpulan dan pemprosesan cempedak yang terletak berhampiran rumah panjang.
Buat masa sekarang hasil cempedak yang dihasilkan tidak mempunyai masalah pemasaran, sebaliknya tidak dapat memenuhi keperluan pengguna.
Hasil buah itu ada yang dijual terus kepada penjual di Sebauh, Bintulu dan ladang berhampiran, dibeli oleh Pertubuhan Peladang Bintulu, dijual oleh wakil pengedar di Brunei dan baru-baru ini ialah kerjasama daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
FAMA telah memulakan pembelian buah cempedak pada harga RM2 sekilogram untuk pasaran di luar Bintulu.
Kejayaan cemerlang projek berkelompok tanaman cempedak itu memang harus dihargai. Justeru, kejayaannya merangkul tempat kedua projek pertanian berkelompok sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2005 bukanlah di luar dugaan.
Kerana itu kejayaannya dalam mencapai matlamat untuk meningkatkan pendapatan petani turut menjadikannya model kejayaan projek pertanian di Bahagian Bintulu untuk dijadikan panduan oleh pihak yang ingin menceburi bidang pertanian berkelompok.