Sejarah berkembang dari hanya sebuah pekan kecil, kini Bintulu telah bertukar wajah menjadi bandar perindustrian yang terkenal di rantau ini. Pembangunan di Bintulu sudah menjadi begitu pesat dan maju dalam pelbagai bidang.
Bintulu mula bertukar wajah. Banyak bangunan yang lama telah diganti dengan bangunan yang baru dan moden. Kampung Dagang sudah menjadi pusat kommersil. Keadaan di sekeliling juga dibersihkan untuk memberi keselesaan kepada penduduk di sini.
Pelbagai pokok dan bunga ditanam di pembahagi jalan, di tepi-tepi jalan dan bulatan jalan untuk mengindahkan lagi persekitaran.
Jalan raya berkembar dibina untuk menghubungkan bandar Bintulu dan Tanjung Kidurong. Lampu jalan didirikan di sepanjang jalan raya utama untuk mengindahkan lagi suasana pada waktu malam.
Rumah-rumah kediaman dan hotel-hotel disediakan untuk pengunjung dari luar. Seperti bandar-bandar lain, pusat membeli-belah tumbuh di serata tempat untuk memenuhi permintaan penduduk.
Bintulu boleh dianggap sebagai sebuah bandar kosmopolitan. Terdapat juga ramai pekerja-pekerja asing di sini. Kedatangan mereka ini secara langsung menambahkan jumlah penduduk.
Dari sebuah daerah, Bintulu telah diisytiharkan menjadi Bahagian pada 1 Januari 1987. Seterusnya Jabatan dan agensi-agensi kerajaan juga ditingkatkan ke taraf Bahagian.
BDA (Lembaga Kemajuan Bintulu) telah menjadi agensi utama kerajaan untuk menggerakkan pembangunan Bintulu.
Era baru bermula pada tahun 1978 dimana projek-projek raksasa mula dibina seperti : Loji Gas Cecair Asli Malaysia yang menelan belanja RM3,000 juta, Pelabuhan Air Dalam Bintulu (RM560 juta), Loji Baja ASEAN (RM739 juta), bekalan air (RM150 juta) dan Universiti Pertanian Malaysia (RM621 juta) yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia.
Di samping itu, disediakan juga tapak-tapak perindustrian di kawasan Kidurong untuk menempatkan industri ringan dan berat. Tapak yang turut dimajukan ialah Estet Perindustrian Kemena bagi menempatkan industri-industri berasaskan kayu.
Beberapa tempat peranginan telah dimajukan seperti pantai Similajau dan Pusat Rekreasi Tanjung Batu, Taman Botanikal, Taman Hidupan Liar, Tapak Perkhemahan dan Padang Golf.
Bintulu juga berpotensi menjadi pintu masuk ke Belaga menerusi Tubau disamping menjadi pintu masuk perjalanan ke Gua Niah, Taman Negara Lambir dan Bukit Setiam dengan jalan darat.
Rumah-rumah panjang Iban dan Orang Ulu yang terletak di pedalaman serta perkampungan tradisional seperti Kampung Kuala Nyalau, Kampung Kuala Segan, Kampung Jepak dan seumpamanya, sering menjadi tumpuan pelancong luar negeri.
Pembangunan yang pesat dalam tempoh dua dekad yang lalu telah menjadikan Bintulu dikenali di seluruh dunia. Penukaran wajahnya akan berterusan pada masa akan datang.