- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Kerjasama Media – Kerajaan …

Must read


Tingkat Pembangunan Negeri

Pengetahuan dan maklumat perlu bagi masyarakat untuk berhadapan dengan peluang dan cabaran dalam persekitaran sosioekonomi dan teknologi yang sering berubah. Tetapi dalam usaha menjadikan pengetahuan dan maklumat itu berguna, peranan pihak media amat dituntut khususnya untuk menyampaikan maklumat tentang pembangunan luar bandar kepada masyarakat di situ.

Namun, menulis berita mahupun rencana berhubung dengan pembangunan di kawasan luar bandar bukan mudah kerana tanpa kerjasama daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan adalah mustahil untuk maklumat yang terkini dan tepat disebarkan.

Banyak isu dan cabaran juga yang terpaksa ditempuh bagi menghasilkan tulisan yang bukan sahaja bertujuan memudahkan masyarakat memahami dan menerimanya tetapi juga perlu dapat membantu kerajaan dalam usaha atau program yang dilaksanakan.

Masalah kos, logistik dan kepekaan tentang apa yang berlaku merupakan cabaran asas yang perlu dilalui media untuk membuat liputan di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, maklumat yang tepat dan terkini daripada pegawai kerajaan yang berkenaan, khususnya dalam isu yang dilapor atau dibincangkan adalah perlu untuk membantu media dan tidak seharusnya dipandang mudah.

Kerjasama seperti ini merupakan kunci kepada kejayaan hasil tulisan pihak media yang mampu menyedarkan, disebarkan serta difahami oleh semua pihak terutamanya masyarakat kita di luar bandar tentang program dan aktiviti kerajaan.

Kesannya bukan sahaja akan memenuhi keperluan pihak media dan kerajaan, malah masyarakat di kawasan luar bandar itu sendiri tanpa perlu berasa ragu-ragu untuk melibatkan diri dengan program dan aktiviti kerajaan.

Sungguhpun demikian, pandangan daripada golongan sasarannya sama ada berjaya mendapat manfaat atau sebaliknya daripada pembangunan itu pula tidak harus diabaikan kerana mereka ini yang menerima kesan daripada program dan projek pembangunan itu.

Pandangan mereka ini perlu diambil kira sebagai langkah menambahbaik program dan aktiviti yang dilaksanakan kerajaan. Selalunya pandangan masyarakat inilah yang dikenalpasti menjadi daya tarikan pembaca kerana melibatkan elemen kemanusiaan di dalam hasil tulisan.



Bengkel Untuk Media

Usahasama yang diadakan antara Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak serta badan korporat seperti Shell Malaysia, Persatuan-persatuan wartawan di Sarawak serta beberapa Kementerian dan Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam penganjuran “Rural Development Reporting Workshop” yang dihadiri 22 wartawan pada penghujung tahun lalu di Kuching perlu diteruskan dan dijadikan pentas permulaan kepada kerjasama itu.

Bengkel selama dua hari itu telah diadakan dengan tiga objektif. Pertama, untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan pengamal media tentang isu dan cabaran ketika membuat liputan di kawasan luar bandar, kedua, untuk menggalakkan pihak media menulis lebih banyak berita dan rencana berkaitan pembangunan di kawasan luar bandar di negeri ini dan yang ketiga, dijadikan tempat pertukaran input dan pengetahuan berkaitan isu pembangunan negeri.

Selain pembentangan kertas kerja daripada beberapa Kementerian dan Jabatan Kerajaan tentang perkembangan terbaru program serta projek di luar bandar, para wartawan juga telah dibawa melawat ke Ladang Kelapa Sawit di Bau, Kilang Tebaloi di Sadong Jaya dan Kilang Arang di Kota Samarahan.
Melalui siri lawatan itu, pihak media telah diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana program kerajaan di kawasan luar bandar telah membantu masyarakat di luar bandar meningkatkan pendapatan seterusnya taraf sosioekonomi mereka.

Media juga berpeluang melihat masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan dalam memastikan usaha mereka itu mencapai kesan yang optimum untuk membantu penduduk dan bukannya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

Mereka juga berpeluang menemubual masyarakat setempat yang telah berkecimpung dengan projek atau program yang dilaksanakan oleh kerajaan di tempat mereka.

Harapan

Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu ak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Menteri Pembangunan Infrastuktur dan Komunikasi Sarawak serta Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam ucapan penutupnya pada bengkel itu telah menegaskan bahawa pihak media selama ini telah memainkan peranan yang amat penting dan boleh dianggap sebagai ‘rakan’ dalam menyampaikan maklumat dan aktiviti kerajaan di Sarawak.

Kerana itu media perlu sentiasa dapat mengenalpasti potensi perkembangan di luar bandar untuk dijadikan bahan berita dan mungkin juga boleh dijadikan berita penting.
Agensi serta pegawai kerajaan pula perlu sentiasa bersedia membantu memberikan maklumat yang diperlukan bagi memastikan kredibiliti berita yang dihasilkan.

Di Sarawak, terdapat kira-kira 5,000 kawasan petempatan di kawasan luar bandar. Setiap satunya sudah pasti mempunyai potensi serta bahan cerita yang boleh ditinjau dan dikhabarkan kepada masyarakat umum.
Misalnya kesuburan tanah, keunikan dan kekayaan sumber alam semulajadi yang boleh dikomersilkan, program kerajaan yang unik di luar bandar dan banyak lagi cerita masyarakat boleh dijadikan cerita yang mampu menarik perhatian pembaca.

Jika media mampu meletakkannya pada sudut pandangan yang positif, sudah pasti ia akan juga membantu membawa para pelabur ke kawasan luar bandar.

Dengan cara ini, pembangunan ekonomi dan sumber manusia di situ dapat dikembangkan dan dibantu pula oleh pelbagai program dan rancangan pembangunan kerajaan.

Dalam situasi ini, sudah tentu harapan semua pihak ialah bagaimana masing-masing dapat saling bekerjasama dalam meningkat serta memantapkan pembangunan negeri serta penduduknya ke peringkat taraf hidup yang lebih baik.

rsnews-03.06

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article