- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pembangunan Modal Insan

Must read

Dalam konteks ekonomi, kepentingan sumber manusia dilihat secara perbandingan, iaitu dengan sumber semula jadi lain seperti tanah, hasil galian, dan pelbagai sumber kekayaan semula jadi lain lagi.

Semua ini hanya akan berfungsi dan bermakna, sekiranya usaha manusia dilibatkan secara langsung dalam mengendalikannya untuk mendapatkan hasil yang akan memberikan manfaat kepada semua pihak.

Manusia atau usaha manusia itu dilihat sebagai suatu jenis ´modal´ yang umumnya kita fahami sebagai ´modal insan´, iaitu sebagai suatu ´aset tenaga´ yang penting kepada kegiatan pembangunan ekonomi, negara, dan bangsa.

Oleh yang demikian, modal ini perlu dibangunkan dan diuji bagi menentukan kemampuannya.

Untuk itu tumpuan yang lebih perlu diberikan kepada pembangunan bidang pendidikan. Ini kerana bidang pendidikan berperanan sebagai ´jambatan yang mampu membawa´ pengetahuan, latihan, potensi, minat, kemahiran dan segala kualiti yang ada pada manusia – yakni modal insan – ke suatu tahap lain.

Seperti yang pernah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi :

Adalah penting sekali untuk mengimbangkan pencapaian kebendaan dengan kerohanian yang luhur, sekiranya kita ingin mencapai matlamat Wawasan 2020. Sehubungan ini, pembangunan modal insan akan terus menjadi agenda utama dan usaha-usaha akan ditumpukan ke arah pembentukan individu yang berketrampilan di tempat kerja dan dalam masyarakat. Rakyat Malaysia perlu menghayati nilai jujur, berintegriti, cemerlang dan bertanggungjawab serta memiliki pemikiran kelas pertama seiring dengan infrastruktur kelas pertama yang dimiliki sekarang. Rakyat Malaysia juga perlu terus berusaha untuk menjadi sentiasa relevan, berdaya tahan dan kompetitif. Kita perlu menyemarakkan semangat pembelajaran sepanjang hayat, senantiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan melaksanakan kerja yang terbaik dan berkualiti. Kita harus mempraktikkannya budaya kerja cemerlang. Tugas kita untuk memastikan negara terus berada di landasan pertumbuhan ekonomi yang kukuh adalah besar dan mencabar. Namun, saya yakin kita akan mampu menjadi sebuah negara yang benar-benar maju dan kaya dengan nilai-nilai murni, jika kita mempunyai iltizam dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.”

Bagi tujuan ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM29 bilion atau satu perlima daripada peruntukan Bajet 2006 untuk memberi pendidikan dan latihan kepada 5.7 juta pelajar.

Kesan dari pembangunan modal insan, bukan saja dapat dilihat pada tahap ekonomi, tetapi melangkaui ke bidang-bidang lain yang mana ianya boleh diibaratkan sebagai tapak asas kepada sesuatu binaan, yang darinya pula boleh dibina struktur-struktur lain.

Bagi kita dalam perkhidmatan awam, perkara ini harus kita berikan perhatian serius. Ini kerana sebagai penjawat awam, kita adalah adalah aset pembangunan yang menjadi pengerak, penterjemah atau pelaksana polisi dan program pembangunan yang dirancang oleh kerajaan melalui perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.

Dalam masa yang sama, setiap individu dalam perkhidmatan awam (sama ada di dalam Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan) kita mesti sentiasa melengkapkan diri kita dengan ilmu serta kemahiran baru dan terkini.

Apabila kita menggunakan dan menerima pakai ilmu dan kemahiran baru, bermakna kita telah berubah ke tahap baru dan ini akan membantu kita melaksanakan tugas yang diperanggungjawabkan dengan lebih berkesan yang mana secara langsung akan dapat meningkatkan keupayaan kita untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih bermutu dan cekap kepada pelanggan kita (iaitu masyarakat secara amnya).

Dalam situasi global yang penuh dengan cabaran, pembangunan modal insan yang mantap dan berterusan terutama bagi kita di dalam perkhidmatan awam amat penting kerana jika kita masih berada di takuk lama, besar kemungkinan kita tidak lagi relevan dan apabila kita sudah tidak lagi relevan, maka lambat laun akan berlakunya kepincangan dan kekacauan dalam pentadbiran negeri dan negara kita.

Pada ketika itu, semua pihak akan kerugian dan pada itu juga kita (anggota perkhidmatan awam) akan dipersalahkan kerana menjadi punca segala kepincangan dan kekacauan itu. Sudah pasti kita tidak mahu keadaan ini berlaku.

[dipetik dari State Secretary's View-RAKAN Sarawak -Mac 2006]

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article