Daerah Lawas merupakan daerah yang paling utara di negeri Sarawak. Daerah ini mempunyai satu keunikan iaitu bersempadan dengan dua (2) sempadan antarabangsa iaitu Daerah Temburong, Negara Brunei Darusalam di bahagian selatan dan Daerah Kalimantan Timur (KALTIM) di bahagian timur.
Selain itu, Daerah Lawas juga bersempadan dengan negeri Sabah di bahagian utara dan Wilayah Persekutuan Labuan di bahagian barat.
Namun begitu, situasi ini tidak menghalang Daerah Lawas dari menikmati pembangunan selari dengan daerah-daerah lain di Sarawak.
Berdasarkan pencapaian kewangan sehingga 28 Disember 2005, sejumlah RM2.629 juta telah dibelanjakan iaitu 77% dari peruntukan diluluskan.
Peratusan ini dijangka akan meningkat sehingga 99.5% menjelang tarikh berakhir tahun kewangan 2005. Manakala dari segi pelaksanaannya pula, 188 projek telah disiapkan setakat 28 Disember 2005 iaitu 81.7% dari bilangan projek yang telah diluluskan (230 projek).
Menjelang berakhirnya tahun kewangan semasa, semua projek akan disiapkan kecuali Projek Mengganti Pagar Jenis Barbwire kepada Chainlink di SK Long Semodoh.
Bagi tahun 2006 pula, Pejabat Daerah Lawas akan terus memperkasakan jentera pentadbiran agar projek dan program yang diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat.
Selain dari itu, diharap dalam tahun 2006 ini sasaran melaksanakan 100% projek dan program yang diluluskan akan tercapai
Program & Projek Pembangunan Daerah Lawas 2005
Nama Projek | Bilangan Projek Dilulus | Peruntukan Dilulus (RM) |
Program Bantuan Rumah (PBR) | 12 | 156,240 |
Projek Jalan Kampung (PJK) | 37 | 1,020,000 |
Projek Ameniti Sosial | 10 | 205,000 |
Projek Penyenggaraan Infrastruktur Awam | 49 | 1,213,993.70 |
MRP Negeri | 84 | 512,340 |
Projek-Projek Kecil Persekutuan (Khas UPP) | 9 | 130,000 |
Peruntukan Ahli Parlimen | 25 | 156,800 |
Program Latihan dan Pendidikan (PLP) | 3 | 28,000 |
Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) | 1 | 8,000 |
Jumlah | 230 | 3,430,373.70 |