Taman Trafik Shell Kapit yang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap suku pertama tahun ini bakal menjadi tumpuan para penduduk khususnya golongan muda dari sekitar Bandar Kapit untuk meningkatkan pengetahuan mereka kepada peraturan lalu lintas.
Projek itu telah dirancangkan oleh Majlis Daerah Kapit untuk dibina berhampiran dengan SMK Kapit No. 2.
Dengan peruntukan sejumlah RM1.2 juta bagi tujuan pembersihan tapak dan pampasan tanah, taman itu yang dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 33 ekar akan menyediakan tempat beriadah yang selesa untuk orang awam. Turut dibina ialah trek untuk aktiviti jogging serta pelbagai bentuk replika hiasan.
Membezakan taman itu berbanding taman lain di sekitar Bandar Kapit ialah terdapatnya prasarana untuk pembelajaran lalu lintas atau Taman Trafik Shell yang merangkumi kawasan seluas kira-kira lima ekar. Prasarana itu akan menyediakan lapangan tetap bagi acara tahunan Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Shell (SETG) diadakan.
SETG mula diperkenal di Sarawak pada tahun 1960-an, sentiasa mendapat penyertaan yang memberangsangkan dari pihak pelajar serta sekolah di negeri ini dan tidak ketinggalan di Peringkat Bahagian Kapit saban tahun.
Tahun lalu, sebanyak 12 buah sekolah menengah dan rendah sekitar Bandar Kapit telah menyertai pertandingan itu serta hampir semua sekolah menghantar lebih dari satu pasukan.
Sehubungan itu, trek trafik yang bakal siap akan memudahkan penganjuran SETG di Bandar Kapit di samping membantu golongan muda meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mereka terhadap peraturan dan etika lalu lintas.