- Advertisement -spot_img
4,771
published news
and counting

Randau Q…Tingkatkan Pembangunan Kualiti

Must read

Program Randau Kualiti atau singkatnya Randau Q akan dilaksanakan pada tahun hadapan (2006) bagi meningkatkan keberkesanan program pembangunan kualiti di negeri Sarawak, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain.

Menurut beliau, ia sebagai menyahut saranan ke arah meningkatkan sistem penyampaian kerajaan yang lebih berkesan. Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Pelancaran Program Randau Q Untuk Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak di Sri Aman pada 14 November 2005.

Randau Q akan menjelajah dari daerah ke daerah, dan akan dijadikan forum untuk menilai usaha-usaha kualiti yang telah dan sedang dilaksanakan dalam Perkhidmatan Awam Negeri.

Jelas beliau lagi, melalui pendekatan Randau Q ini, diharap amalan budaya kualiti boleh dihayati dan difahami oleh agensi-agensi pelaksana dan seluruh penjawat awam sehinggalah ke ketua-ketua masyarakat di peringkat akar umbi.

Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), menurutnya telah banyak memberi manfaat kepada Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak kerana melalui pelaksanaannya lahirlah program seperti Sistem Cadangan Q, Sistem Maklumbalas Q, Sistem Pemeriksaan Q, Sistem Proses Q, Sistem Maklumat Q, Slogan Q dan Hari Q.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut beliau lagi, perkhidmatan awam negeri Sarawak telah menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan program pembangunan kualiti di negeri ini.

Antaranya pelaksanaan Balance Score Card yang telah berjaya dilaksanakan secara perintis di Jabatan Perbendaraan Negeri, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) dan Pejabat Residen Bahagian Mukah.

Bagi pensijilan ISO pula, setakat November 2005, 14 buah agensi Kerajaan Negeri telah mendapat pensijilan MS ISO 9000:2000, manakala 111 buah agensi lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan seperti peringkat dokumentasi, audit dan pematuhan. Sebanyak 91 buah agensi kerajaan di negeri ini telah memperolehi pensijilan MS ISO 9000: 1994.

Kerajaan Negeri dengan sokongan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) juga secara aktif telah menganjurkan Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) sejak tahun 2000.

Randau Q
Program Randau Q adalah inisiatif Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti (HRDQ), Jabatan Ketua Menteri yang diyakini boleh dijadikan forum berkesan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pembangunan kualiti.

Melalui pelaksanaan Randau Q, usaha-usaha peningkatan produktiviti dan kualiti dapat dibincang, dinilai dan dikaji semula bersama dengan agensi pelaksana.

Hasil daripadanya, amalan budaya kualiti akan mudah dihayati secara berkesan dengan adanya dialog di antara agensi pelaksana di peringkat akar umbi dan pengurusan atasan di peringkat negeri.
Antara objektif utama Randau Q diadakan ialah :

  • Mempromosi dan menyebarkan tentang usaha-usaha peningkatan produktiviti dan kualiti yang sedang dan akan dilaksanakan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
  • Membincang, menilai dan mengkaji semula usaha-usaha kualiti dan produktiviti yang telah, sedang dan akan dilaksanakan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak
  • Mewujudkan kesedaran dan penghayatan amalan budaya kualiti di kalangan agensi-agensi pelaksana di peringkat akar umbi dalam Perkhidmatan Awam Negeri
  • Menyediakan saluran bagi dialog dan kualiti di antara pengurusan atasan di peringkat negeri dan agensi-agensi pelaksana.
  • Menyediakan forum bagi agensi-agensi pelaksana di peringkat akar umbi untuk mengenalpasti halangan-halangan dan jurang ke arah penambahbaikan sistem pengurusan kualiti mereka.

Beberapa pengisian seperti ceramah kualiti dan lawatan ke agensi-agensi di peringkat akar umbi akan diadakan semasa Randau Q.

Selain itu, turut diadakan nanti adalah dialog dan berkongsi rahsia kejayaan dengan agensi-agensi yang pernah memenangi anugerah kualiti di peringkat Kebangsaan di samping meninjau secara dekat usaha-usaha produktiviti dan kualiti di agensi yang dilawati.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article