- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

PBT Diberi Dua Tahun Peroleh MS ISO

Must read


Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman telah mengarahkan
semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini untuk mendapatkan
sijil MS ISO 9001:2000 bagi memastikan sistem pengurusan kualiti yang
berkesan di samping dalam masa yang sama berupaya meningkatkan sistem
penyampaian pentadbiran kerajaan kepada rakyat.

Arahan itu juga meliputi semua pejabat daerah dan tanah.

Tan Sri Samsudin Osman telah menetapkan tempoh masa dua (2) bagi pihak terbabit untuk memperoleh pensijilan itu.

Menurut KSN, tindakan mendapatkan sijil berkenaan adalah sebahagian
usaha menambah baik keseluruhan proses kerja pada peringkat daerah dan
membolehkan pejabat daerah dan tanah serta PBT memainkan peranan yang
berkesan pada peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat pembangunan di
Pejabat Tanah Daerah Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini (Julai).

Setakat ini, menurut KSN, ada beberapa pejabat daerah dan tanah yang
telah memiliki sijil MS ISO dan konsep itu perlu diperluaskan ke
seluruh negara.

Beliau juga menggesa agensi kerajaan yang telah memperolehi sijil
berkenaan bagi versi 1994 agar melakukan penelitian semula serta
memperbaharui dan melengkapkan semula pensijilan berkenaan dengan
ciri-ciri terkini supaya perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai
lebih berkesan.

Setakat ini, katanya, beliau berpuas hati dengan keseluruhan sistem
penyampaian pada peringkat daerah tetapi menegaskan masih ada ruang
untuk proses itu diperbaiki agar lebih cekap dan berkesan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Mampu Datuk Yaacob Hussin dalam ucapan
aluannya pada Seminar Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan
Melalui Pelaksanaan MS ISO 9001:2000, bagi peringkat pentadbiran daerah
dan tanah serta pihak berkuasa tempatan, di Kuala Lumpur, 13 Julai 2006
yang lalu, mendedahkan sehingga Jun lepas, hanya 201 agensi kerajaan
memperoleh sijil Standard MS ISO versi 2000, daripada 781 yang
disasarkan.

Daripada jumlah itu, menurut beliau lagi, hanya tiga pejabat daerah,
satu pejabat tanah dan 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang memperoleh
sijil MS ISO versi 2000.

Datuk Yaacob Hussin seterusnya menambah, terdapat sejumlah 416 agensi
kecil secara bersendirian di luar sasaran seperti hospital, pejabat
kesihatan daerah, maktab perguruan dan politeknik, telah memperoleh
sijil MS ISO 9001:2000.

Datuk Yaacob Hussin berkata dua sebab utama sebahagian besar agensi
kerajaan masih belum melaksanakan ISO 9001:2000 ialah kerana arahan
pelaksanaannya tidak diikuti dengan sesi pendedahan dan kefahaman yang
terancang.

Selain itu kurangnya komitmen agensi berkaitan untuk mendapatkan
peruntukan kewangan bagi melantik perunding swasta, mereka juga
sentiasa mengharapkan Mampu memberi khidmat perundingan dan mengaudit
untuk persijilan tersebut juga merupakan faktor utama keadaan ini
berlaku.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article