- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Definisi Perkhidmatan Awam

Must read


Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Perkhidmatan Awam terdiri daripada:

  • Perkhidmatan Awam Am Persekutuan;
  • Perkhidmatan Awam negeri-negeri;
  • Perkhidmatan Awam Bersama;
  • Perkhidmatan Pendidikan;
  • Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan;
  • Pasukan Polis; dan
  • Angkatan Tentera.


Dari segi pemakaian, perkhidmatan Badan-badan Berkanun dan Penguasa Tempatan juga diterima sebagai termasuk dalam istilah Perkhidmatan Awam. Ini adalah disebabkan dua jenis badan yang berautonomi ini menyerupai Perkhidmatan Awam dalam pelbagai segi disebabkan ianya menerima-pakai prosedur Perkhidmatan Awam tentang lantikan, terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan, serta sistem saraan. Di samping itu, anggota-anggotanya menerima pencen dan faedah-faedah persaraan yang serupa dengan anggota Perkhidmatan Awam.

Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan konsep pengasingan di bawah Sistem Saraan Baru yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1993, terdapat beberapa buah agensi awam yang diasingkan daripada dasar dan prosedur yang seragam tersebut. Agensi-agensi ini, yang menjalankan aktiviti berbentuk perniagaan dan mempunyai kemampuan kewangan yang kuat, telah dibenarkan menentukan sendiri dasar dan prosedur dalam hal lantikan, terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan masing-masing.

Agensi-agensi Awam

Agensi-agensi awam terdiri daripada agensi-agensi dalam Perkhidmatan Awam pada peringkat Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan.

Agensi-agensi Persekutuan terdiri daripada Kementerian, Jabatan-jabatan Persekutuan, Badan-badan Berkanun Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Perbandaran Labuan. Kementerian diketuai oleh seorang Menteri dan ketua eksekutifnya digelar Ketua Setiausaha. Jabatan Perdana Menteri adalah sebuah Kementerian. Sebuah Kementerian bertanggungjawab kepada beberapa Jabatan di bawahnya dan mungkin juga satu atau lebih badan berkanun. Ketua Eksekutif Jabatan biasanya digelar Ketua Pengarah manakala sebuah badan berkanun diketuai oleh seorang Pengerusi yang dilantik dan Ketua Eksekutif biasanya digelar Pengurus Besar yang terdiri daripada pegawai awam. Terdapat juga Badan Berkanun di ketuai oleh Pengerusi Eksekutif yang juga menjalani tugas Pengurus Besar contohnya KWSP.

Agensi Negeri terdiri daripada Jabatan-jabatan Negeri dan Badan-badan Berkanun Negeri. Kerajaan Tempatan terdiri daripada Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Istilah Perkhidmatan Awam tidak merangkumi institusi-institusi khas seperti Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan, Suruhanjaya Pilihanraya, institusi kehakiman dan sebagainya yang mana ahli-ahlinya dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong. Namun demikian, organisasi yang memberikan khidmat sokongan atau keurusetiaan kepada institusi-institusi tersebut adalah agensi awam dan kakitangannya adalah terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam. Perkhidmatan Awam juga tidak termasuk agensi-agensi Luar Belanjawan seperti badan-badan Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat atau Akta Pertubuhan yang tidak menerima-pakai dasar dan prosedur pengurusan personel sektor awam.

Sektor Awam

Sektor awam adalah satu istilah umum yang biasanya merujuk kepada semua aktiviti yang terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan atau dibiayai oleh Kerajaan. Ia merangkumi Perkhidmatan Awam dan juga institusi-institusi khas yang dibiayai dengan wang awam.

Dasar dan Prosedur Pengurusan Personel Sektor Awam

Dasar dan prosedur pengurusan personel seluruh Perkhidmatan Awam di Malaysia adalah seragam. Keseragaman ini disebabkan tanggungjawab penggubalan dasar dan prosedur pengurusan personel untuk seluruh sektor awam di Malaysia diberikan kepada sebuah agensi sahaja iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam. Ini bererti semua agensi awam yang terdiri daripada semua agensi atau perkhidmatan-perkhidmatan yang disebutkan di atas mesti menggunakan dasar dan prosedur yang sama.

Sumber : Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article