- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kaji Keberkesanan Pelaksanaan Projek RMK9

Must read


Satu garis panduan khusus akan diperkenalkan bagi memastikan keberkesanan semua projek sosioekonomi kementerian, jabatan, badan berkanun, pihak pentadbiran negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi mengelak sebarang pembaziran berlaku, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.

Menurut beliau, garis panduan tersebut yang terkandung dalam Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2005 dilihat bertujuan untuk menilai keberhasilan projek dan program pembangunan kerajaan, di samping menilai kesannya serta sejauh mana ia memberi faedah maksimum kepada rakyat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Penilaian Program Pembangunan dan pelancaran Garis Panduan Penilaian Program Pembangunan di Dewan Bangunan Puspanitapuri di Putrajaya baru-baru ini

Dengan adanya garis panduan ini, menurut beliau sekiranya didapati ada projek yang tidak memberi pulangan maksimum, membazir dan dianggap gagal mencapai matlamat maka ia akan diberhentikan bagi membolehkan peruntukannya dipindahkan kepada projek-projek yang lebih berfaedah.

Jelas beliau lagi, garis panduan ini merupakan pendekatan yang sistematik dan berterusan untuk menilai sesuatu projek kerajaan, seterusnya menambah baik atau menggugurkan projek-projek yang gagal mencapai matlamat.

Garis panduan ini adalah susulan daripada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Februari tahun lepas (2005) yang menekankan pentingnya penilaian terhadap projek-projek sosioekonomi kerajaan dan program-program pembangunan bagi mengelakkan sebarang pembaziran peruntukan yang diberikan.

Pada 24 Ogos tahun lepas, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri menyediakan satu garis panduan penilaian pembangunan projek kerajaan yang dikeluarkan sebagai satu pekeliling.

Menjelaskan lebih lanjut tentang garis panduan penilaian tersebut, beliau berkata ia akan dimulakan terhadap program-program yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.

Menurut beliau, proses penilaian yang beliau sifatkan merupakan kerja yang rumit akan memerlukan bantuan luar yang bebas serta tidak menyebelahi mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pihak pelaksana program tersebut.

Sekiranya didapati program tidak berkesan atau gagal, jelas beliau laporan penilaian tersebut akan digunakan sebagai alasan untuk menentu pengagihan peruntukan.

“Itu adalah sebab utama mengapa kita amat memerlukan satu garis panduan yang bertindak sebagai mekanisme menilai projek kerajaan ini,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, prestasi perbelanjaan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang berakhir pada 31 Disember lalu ialah 94 peratus daripada RM170 bilion yang diperuntukan oleh kerajaan untuk melaksanakan 94,838 projek.

Daripada jumlah tersebut, 79,891 projek atau 84.2 peratus telah berjaya disiapkan manakala selebihnya akan diteruskan dalam RMK-9.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article