- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Keberkesanan Pemantauan Jayakan Projek

Must read


Perdana Menteri, Datuk Patinggi Haji Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan sesuatu projek supaya membuat pemantauan berterusan bagi memastikan tidak berlaku masalah projek terbengkalai.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi terhadap projek kerajaan yang mempunyai masalah penyeliaan dan pelaksanaan terutamanya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Katanya, projek kerajaan yang tidak dilaksanakan dengan baik bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah membazirkan peruntukan, masa dan tenaga.

Bagi menangani masalah itu, kerajaan akan terus melaksanakan sistem dwi pemantauan iaitu masing-masing oleh pihak perunding dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Demikian rumusan yang dapat dibuat terhadap lawatan kerja selama dua hari, Perdana Menteri ke Sarawak pada April lalu.

Ketika berada di sini, beliau telah dibawa melihat tiga projek pembangunan kerajaan persekutuan iaitu naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), pembinaan kem Pasukan Gerak Am di Batu Kawa dan projek Penjara Baru Kuching.

Projek naik taraf LTAK bernilai RM620 juta kini berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya pada 2008. Bangunan terminalnya yang dijadualkan pelaksanaan dalam tempoh selama 32 bulan telah disiapkan dalam tempoh 15 bulan kerana adanya sistem pemantauan dan pelaksanaan yang berkesan.

Begitu juga dengan pembinaan kem Pasukan Gerak Am yang berjalan dengan baik kerana dipantau oleh dua pihak, perunding dan JKR. Projek bernilai RM313 juta itu dimulakan pada September 2005 dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan sebelum Mac 2008.

Walau bagaimanapun, tinjauan beliau ke projek membaik pulih dan menyiapkan Penjara Baru Kuching bernilai RM165 juta yang dilaksanakan sejak 1997 nyata berlainan daripada dua projek tadi.

Projek di kawasan seluas kira-kira 48 hektar yang bertujuan menangani masalah kesesakan di Penjara Pusat Kuching yang digunakan sejak tahun 1882 itu dijadualkan siap pada tahun 2000.

Namun, kepincangan dari segi pemantauan dan pelaksanaan pembinaan serta reka bentuk yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan telah menyebabkan projek itu belum dapat disiapkan.

Kontraktor baru yang mengambilalih pembinaannya menjangkakan projek itu dapat disiapkan menjelang September 2007.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article