- Advertisement -spot_img
4,805
published news
and counting

Pusat Khidmat Kewangan PKS

Must read


Sarawak kini mempunyai sebuah Pusat Khidmat Kewangan SME Bank yang diwujudkan untuk meningkatkan tahap kesedaran usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan terhadap peranan, perkhidmatan serta produk-produk pembiayaan yang disediakan dalam usaha meningkatkan pembangunan PKS di negeri ini.

Pusat yang terletak di Jalan Satok Kuching itu dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud pada Februari lalu.

Ia merupakan kejayaan besar Sarawak kerana telah mempunyai sebuah bank khas untuk pembangunan PKS, iaitu tidak sampai setahun selepas idea penubuhannya diumumkan oleh YAB Perdana Menteri awal tahun 2005.

Menurut Ketua Menteri, PKS memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara iaitu kira-kira RM75 bilion setahun bagi dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Ketika ini terdapat kira-kira 613,000 PKS di seluruh negara dan maklumat daripada 350,000 pengusaha terbabit, kira-kira 30 peratus daripadanya terlibat dalam sektor pertanian, pengeluaran dan perkhidmatan.

Kira-kira 81 peratus menggaji sekurang-kurangnya lima pekerja dan sebab itu perhatian akan diberikan kepada pembinaan kapasiti.

Justeru menurut beliau, maklumat dan pengetahuan perlu ditingkatkan oleh usahawan dan bukan setakat berterusan mencari modal.

“Untuk membesar dan menggiatkan PKS sekarang bukan sahaja dengan memberi modal tetapi mengemas dan meningkatkan keupayaan sektor ini dengan memberi latihan”, jelasnya.

“Orang yang mula masuk tidak ada jaringan dan pengalaman”, tambahnya. Sebab itu katanya, nasihat, maklumat dan tunjuk ajar juga diperlukan.

Dengan merujuk kepada SME Bank dan pelbagai agensi kerajaan yang lain, Ketua Menteri menjelaskan bahawa dahulu usahawan perlu mencari pekerja dan pasaran sendiri.

Sekarang, kerajaan bersedia memberi nasihat dengan cara profesional berdasarkan maklumat dan pengalamannya.

Sungguhpun demikian, pengusaha itu sendiri perlu tahu dari agensi mana untuk mendapatkan bantuan, bagaimana untuk menggunakan bantuan dan bantuan yang bagaimana diperlukan.

Hanya dengan cara itu, para usahawan akan mampu meningkatkan jaringan perniagaan mereka serta usahasama dengan orang lain seterusnya dapat membantu meningkatkan kepesatan ekonomi di negara ini dan Sarawak khususnya.

RM132 juta untuk PKS di Sarawak

Sejumlah RM132 juta dijangka akan diluluskan oleh Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Berhad (SME Bank) daripada permohonan syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak pada tahun ini berbanding sejumlah RM61.94 juta yang telah diluluskan pada tahun lalu (2005).

Pada tahun lalu, jumlah pinjaman yang diluluskan di seluruh negara adalah sebanyak RM1.6 bilion. Bagi tahun 2006, SME Bank mensasarkan pinjaman berjumlah RM2 bilion.

Daripada jumlah itu, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk PKS di Sarawak hanya kira-kira 4 peratus pada tahun lalu. Namun, angka itu dijangka akan meningkat kepada hampir 7 peratus tahun ini berikutan keyakinan kerajaan terhadap kepesatan ekonomi negeri Sarawak ketika ini.

Jangkaan itu turut dipengaruhi oleh kewujudan Pusat Khidmat Kewangan (PKK) SME Bank Kuching yang telah memulakan operasinya awal tahun ini. Sebuah lagi pusat yang serupa turut akan diwujudkan di Bandar Raya Miri tidak lama lagi.

Kerajaan pusat juga telah mengambil langkah awal dengan meluluskan rangka pelan tindakan bagi pembangunan PKS sepanjang tahun depan (2007) melalui peruntukan sebanyak kira-kira RM3.79 bilion.

Sebuah portal yang mengandungi segala maklumat berkaitan PKS juga akan diwujudkan sebagai langkah proaktif mempromosikan serta memajukan industri itu yang memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

PKS di Sarawak

Di Sarawak, kira-kira 90 peratus syarikat PKS yang ada tergolong dalam sektor pengeluaran yang menyumbang kira-kira 33 peratus kepada ekonomi negeri.
Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian telah memperuntukkan kira-kira RM629.5 juta bagi melaksanakan estet dan projek perindustrian berorientasikan PKS di seluruh negeri.

Sehingga kini, kementerian berkenaan telah mewujudkan 10 estet perindustrian manakala agensi-agensi di bawahnya bertanggungjawab mewujudkan enam estet lagi.

Peruntukan yang berjumlah RM2 bilion untuk pembangunan PKS di seluruh negara merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan oleh usahawan PKS di negeri ini untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Begitu juga dengan penubuhan PKK SME Bank di negeri ini seharusnya akan membantu memudahkan urusan mereka untuk mendapatkan pembiayaan dan khidmat nasihat.

SME Bank

Penubuhan SME Bank adalah selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri yang diumumkan pada Januari 2005 untuk diwujudkan sebuah bank khas untuk menggalakkan pembangunan perniagaan PKS di samping sebagai maklum balas terhadap keperluan segera dana untuk sektor itu.

Sehubungan itu, SME Bank diwujudkan dengan objektif utama untuk membantu menggembleng perniagaan usahawan-usahawan PKS yang berdaya maju dengan memberi segala jenis bantuan yang sewajarnya.

Ketika ini terdapat kira-kira 615,000 syarikat PKS di seluruh negara dan mereka telah memberikan sumbangan besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Ia meliputi pelbagai bidang perniagaan termasuk makanan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

Berdasarkan kajian ke atas 350,000 PKS sebelum ini, industri itu mempunyai kira-kira 1.6 juta pekerja iaitu kira-kira 30,000 dalam bidang pertanian, 543,000 dalam pembuatan) dan sejuta pula berkecimpung dalam perkhidmatan.

Angka ini menunjukkan bahawa industri PKS menyumbang kira-kira 15 peratus pekerjaan daripada jumlah tenaga kerja dan menyumbang 38 peratus kepada ekonomi negara.

Pewujudan PKK SME Bank telah mensasarkan untuk menjadi ‘Pusat Perkhidmatan Kewangan dan Pembangunan Perniagaan PKS’ sepenuhnya menjelang tahun 2010.

Untuk mencapai sasaran itu, SME Bank akan terus menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk di peringkat negeri di samping institusi kewangan yang lain untuk menawarkan perkhidmatan pembiayaan dan khidmat nasihat perniagaan secara lebih menyeluruh.

Setakat ini, antara organisasi yang telah mengadakan kerjasama strategik dengan SME Bank ialah Kumpulan CIMB dan Bumiputera-Commerce Bank Berhad, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Perbadanan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEC), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Dengan usaha dan kerjasama seperti itu, jaringan yang komprehensif untuk pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat dan khidmat rundingan, dari permulaan sehingga perkembangan komersil perniagaan usahawan PKS akan dapat dilaksanakan.

Justeru, pembukaan PKK SME Bank merupakan langkah yang tepat pada masanya ekoran daripada persaingan ekonomi dunia yang tidak mengenal batasan dan pelaksanaan pasaran terbuka yang semakin dirasai kesannya khusus oleh pengusaha PKS tempatan.

Melalui skim-skim pembiayaan yang disediakan serta khidmat perundingan dan penyebaran maklumat secara professional, diharapkan lebih ramai pengusaha PKS tempatan akan menceburkan diri dalam sektor itu dan membangunkan perusahaan atau perniagaan mereka sehingga menembusi pasaran antarabangsa.

PKK SME Bank
Lot 212 Seksyen 11, Jalan Satok, 93748 Kuching Sarawak
Tel: 082-259955 Faks: 082-243181
Laman web: http://www.smebank.com.my

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article