Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipetik daripada BERNAMA pada
hari Selasa (1 Ogos 2006) mengarahkan agensi kerajaan memastikan
masalah birokrasi yang menghalang usaha mempercepatkan projek
pembangunan ditangani dengan segera.
Perdana Menteri berkata kelambatan sesuatu projek itu dimulakan
disebabkan masalah birokrasi akan turut mempengaruhi usaha kerajaan
dalam menarik pelaburan ke negeri-negeri.
Sambil memberi contoh proses kelulusan permohonan tanah dan kelulusan
Sijil Menduduki (CF) yang terlalu lama, beliau berkata keadaan itu
boleh menimbulkan kesulitan kepada pihak yang memohon.
Mengenai kelambatan kelulusan CF, Perdana Menteri berkata perkara itu
dapat diatasi sekiranya jurutera dan arkitek sesuatu projek itu
menandatangani surat perakuan bahawa sesuatu projek yang hendak
dilaksanakan itu adalah mengikut maklumat yang diberikan semasa memohon
projek terbabit.
"Bila mereka sudah tandatangani dengan perakuan undang-undang dan
peraturan, maka berasaskan maklumat diberikan, tidak payahlah tanya
mereka (jika projek itu bermasalah) kerana dengan tandatangan itu,
mereka bersedia menghadapi apa juga tindakan sekiranya berlaku penipuan
(semasa projek itu dilaksanakan)," katanya.
Perdana Menteri turut mengulas mengenai sikap pihak tertentu yang terlalu bergantung kepada pekerja asing.
Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata perkara itu boleh diatasi
sekiranya mereka membuat perancangan rapi sebelum sesuatu projek itu
beroperasi.
Datuk Seri Abdullah menambah antara langkah yang boleh diambil ialah
dengan memberikan latihan kepada pekerja-pekerja tempatan supaya
apabila sesuatu projek atau kilang itu beroperasi, tenaga-tenaga
pekerja tempatan itu boleh digemblengkan.
Beliau berkata dengan langkah itu akan dapat mengurangkan penggangguran
di kalangan anak-anak muda di negara ini sekaligus dapat mengurangkan
kebergantungan kepada pekerja asing.
Bagi latihan melahirkan pekerja tempatan yang mahir dan berpengetahuan
itu, perlu beri peluang kepada anak muda atau pencari kerja yang
tinggal berdekatan dengan projek yang hendak dilaksanakan sebelum
dibuka kepada pencari kerja dari kawasan lain, katanya.
Perdana Menteri turut mencadangkan pihak-pihak berkaitan supaya mencari
jalan terbaik untuk menarik lebih banyak rakyat tempatan bekerja di
setiap projek pembangunan, daripada mengambil pekerja asing.