Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan rasa yakinnya
bahawa tanaman nipah mampu menjadi satu produk asas tani yang memberi
pulangan lumayan jika pengusahanya bijak mengkomersialkannya, beliau
dipetik daripada BERNAMA sebagai berkata demikian ketika melawat Pusat
pengumpulan dan pemprosesan nira nipah di Terengganu 1 Ogos 2006 yang
lalu.
Perdana Menteri berkata pokok nipah bukanlah satu tanaman baru, namun
selama ini hanya airnya sahaja digunakan sebagai minuman sedangkan
terdapat banyak produk yang boleh dikomersialkan serta dihasilkan
daripada pokok itu yang mampu menjana pendapatan.
Pusat pengumpulan dan pemprosesan nira nipah itu diusahakan oleh KRM
Builders and Trading dengan kerjasama Koperasi Pekebun Nipah Marang
Berhad dengan mempunyai 16 pekerja. Ia diwujudkan hasil cetusan idea
Perdana Menteri sendiri yang amat menggemari air nira nipah.
Perdana Menteri melahirkan rasa bangga kerana kilang yang diwujudkan
itu bukannya dibina oleh orang kaya dari luar tetapi diusahakan oleh
syarikat koperasi tempatan dengan melibatkan tenaga kerja penduduk
kampung.
Beliau berkata Terengganu mempunyai banyak pohon nipah di tebing
sungai, dan jika diteroka dengan lebih serius, ia mampu menghasilkan
lebih banyak produk lain selain air nira.
Katanya gula merah, cuka dan ais krim yang boleh dihasilkan daripada
air nipah boleh dijadikan produk keluaran negeri itu untuk dipasarkan
dengan lebih meluas.
"Dalam keadaan harga gula pasir yang tidak menentu pada masa kini,
Terengganu seharusnya merebut peluang tersebut dengan menghasilkan
lebih banyak gula nira nipah untuk dijadikan alternatif kepada gula
pasir," kata Datuk Seri Abdullah.
Beliau juga meminta masyarakat agar tidak memperlecehkan bidang
pertanian kerana sektor itu sebenarnya boleh melahirkan ramai golongan
usahawan yang berjaya.