- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Koperasi Perlu Transformasi Untuk Terus Untung

Must read

Semua koperasi di
Sarawak terutama yang telah lama bertapak perlu mentransformasikan kegiatan
mereka dengan terlibat dalam aktiviti yang lebih menjurus kepada usaha
memperoleh dan meningkatkan keuntungan.

Antara aktiviti itu
ialah pelancongan, perkhidmatan insuran, kesihatan, hartanah, pendidikan,
konsultasi, pinjaman, pemprosesan makanan, perkilangan, pemasaran dan
sebagainya.

Transformasi
sedemikian perlu memandangkan persaingan dalam pasaran pengguna ketika ini
sebenarnya adalah satu desakan dan dorongan bagi pihak koperasi untuk
menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien bagi ahli-ahlinya.

Untuk itu, semua pengurus
koperasi perlu mengkaji persekitaran pasaran, keperluan ahli dan pelanggan
serta persaingan dengan sektor swasta yang menyediakan perkhidmatan dan
barangan yang lebih kompetitif serta berkualiti.

Koperasi juga perlu
mengadakan kerjasama dengan koperasi lain supaya mereka dapat bersaing dengan
lebih baik dalam pasaran terbuka. Misalnya dengan menggembleng tenaga dan
sumber kewangan mereka bagi membolehkan mereka meneroka perniagaan yang lebih
besar dan mencabar.

Di seluruh negara, terdapat 4,651 koperasi dengan
keanggotaan seramai 5.4 juta orang yang memiliki saham berjumlah kira-kira RM6
bilion dengan pemilikan aset yang dianggarkan mencecah kira-kira RM26 bilion.

Manakala di Sarawak (sehingga pertengahan),
terdapat kira-kira 458 koperasi berdaftar dengan keahlian seramai 264,300 orang
dengan pemilikan aset berjumlah kira-kira RM235.2 juta dan pegangan saham
berjumlah kira-kira RM28.6 juta dicatatkan sehingga pertengahan 2005.

Pergerakan koperasi
di Sarawak mencatatkan pertumbuhan keahlian sebanyak 1.5 peratus setiap tahun.
Ia menunjukkan kesedaran masyarakat kepada faedah menyertai koperasi kian
meningkat.

Walau bagaimanapun,
terdapat kira-kira 138 buah koperasi sama ada tidak aktif mahupun berdepan
dengan masalah kekurangan sokongan daripada ahli dan pengurusan yang lemah.

Masalah itu perlu
ditangani sebaik mungkin dengan membuat transformasi kepada perkhidmatan dan
kegiatan koperasi yang boleh memenuhi keperluan dan kehendak ahlinya.

Jika dapat
dilaksanakan, akan berlaku kemungkinan untuk peserta beralih arah dengan
menyokong aktiviti serta perkhidmatan koperasi yang mereka sertai kerana setiap
ahli telah sedia maklum bahawa asas kepada penubuhan koperasi itu sendiri
adalah untuk kebajikan serta keuntungan mereka sendiri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article