Berlatarbelakangkan bentuk muka bumi
yang kaya dengan cabaran, Malaysia khususnya Sarawak menjadi pilihan kepada
banyak penganjur aktiviti lasak serta mencabar dari dalam dan luar negara.
Pendedahan tanpa batas menerusi informasi maklumat
dan rantaian persatuan serta kelab-kelab yang berhubung antara satu sama lain
mengenai aktiviti masing-masing turut memperluaskan skop sukan mencabar secara
global.
Aktiviti ini mewujudkan 'audience' atau pengikutnya yang tersendiri khususnya penglibatan
secara serius kalangan generasi muda melalui penganjuran program yang teratur
dan profesional.
Pendedahan aktiviti seperti berkayak, mendaki gunung,
berakit di arus deras dan sebagainya telah menyusupi jiwa kembara segenap
lapisan masyarakat.
Luncur air, jet
ski, motocross, ekuestrian, rali,
memanjat menggunakan tali, berbasikal, menyelam, skuba, snokeling, memancing dan pelbagai lagi cabaran baru terus
disambut penuh cabaran.
Cetusan aktiviti sebegini terus melahirkan pelbagai
kegiatan lasak yang diketengahkan melalui pertandingan-pertandingan yang
diadakan peringkat antarabangsa atau tempatan dari masa ke masa.
Penganjuran sukan rekreasi dan lasak ini kini menjadi
penyumbang pada industri pelancongan negara.
Sebagai cabang baru pendapatan industri pelancongan,
ia wajar diberi perhatian oleh agensi-agensi pelancongan dan pengembaraan,
perkhidmatan, pengangkutan dan hospitaliti yang perlu mengubahsuai keperluan
pelanggannya agar menepati bentuk aktiviti dan percutian mereka.
Begitu juga dengan pembekal makanan yang wajar tahu
diet dan selera pemakanan, cara pembungkusan selain selera yang menjadi penentu
hidangan mereka terus diterima.
Pakej-pakej untuk kumpulan seperti ini seharusnya
dilakukan secara profesional kerana kumpulan ini kadangkala memerlukan
pakej-pakej khas untuk ke destinasi tertentu.
Seperti ke puncak Kinabalu, meneroka terowong di Gua
Mulu, menduga karang di sekitar ribuan pulau di Malaysia, kemudahan bot untuk
pemancing di laut dalam, pakaian dan peralatan skuba untuk mereka yang gemarkan
hidupan marin dan sebagainya.
Pastinya, senarai aktiviti lasak dan mencabar ini
akan terus bertambah, maka sektor penyedia kemudahan penginapan juga perlu
lebih peka kepada kehendak kumpulan ini.
Begitulah cabaran yang perlu diatasi bagi
menjayakan pembangunan sukan lasak serta industri pelancongan keseluruhannya di
Malaysia agar ia bukan sahaja terus mencabar dan menarik tetapi akan menjadi
destinasi popular dikalangan pelancong luar negara.