- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Berbudi Pada Tanah

Must read

Siapa kata anda tidak boleh mendapat pendapatan lumayan dengan melibatkan diri dalam sektor pertanian. Tanggapan mengenai sektor pertanian suatu masa dahulu yang dikaitkan dengan usaha yang kurang menguntungkan ternyata meleset melihat kepada kejayaan peserta yang mengikuti program Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu atau Integrated Agricultural Development Project (IADP) di Kalaka-Saribas.

Junaidi Haji Ajis, salah seorang pesertanya telah menikmati usaha penat-lelahnya apabila berjaya mendapat jualan mencecah RM18,000 semusim pada tahun lepas hasil daripada penanaman tembikainya.

“Ketika itu, keseluruhan hasil yang terjual adalah sebanyak 25 tan dengan harga sebiji buah tembikai sekitar 60 ke 80 sen.”, jelas peserta dari Kampung Kabong ini.

Dia yang hanya mengusahakan tanah seluas 3.24 ha (8 ekar) untuk tujuan tersebut kini menunggu musim kedua untuk menuai hasil tanaman tembikainya.

Malah menurutnya lagi, dengan amalan pertanian yang sistematik beliau berjaya mencapai tiga (3) kali tuaian dalam setahun pada tahun lepas dan yakin dapat meningkatkan sasaran ke empat (4) kali tuaian pada tahun ini (2006).

Mengenai pasaran, menurutnya dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk memasarkan buah tembikai kerana terdapat pemborong tetap dari Sarikei yang akan datang ke kebunnya

Kejayaan program ini turut dirasai Omar Bin Mohd dari Kampung Alit yang membangunkan seluas 10 ekar tanah untuk tanaman nanas. Menariknya mengenai Omar, dia membahagikan setiap 0.81 ha (dua ekar) tanah untuk diuruskan oleh anaknya, Latifah, Masagus, Mahathir dan menantunya, Maslawati Mahdi.

Tindakan demikian menurut Omar dilakukan agar dapat memberikan lebih tumpuan kepada penjagaan dan kualiti nanas.

Menurut anaknya, Masagus, 30, dengan hanya menjual sulur nanas sahaja, dia boleh memperoleh pendapatan RM70,000 (jualan pertama) dan RM40,000 (jualan kedua).

Katanya, itu tidak termasuk, hasil jualan daripada nanas RM 7,000 hingga RM10,000 (daripada keluasan tanah 0.81 ha (dua ekar).

Abu Samad Bin Jeli, dari Kampung Nyabor, antara peserta skim penanaman mangga turut mempunyai kisah kejayaannya sendiri.

Kini, Abu Samad boleh berbangga apabila memperolehi hasil lumayan kira-kira RM20,000 untuk satu musim, iaitu hasil pertamanya pada Julai tahun lepas (2005)

“Kira-kira 4,000 kg diperolehi dengan purata RM5 sekilo pada tahun lepas,” jelas Abu Samad yang mula menyertai skim tersebut sekitar tahun 2002.

Jelas Abu Samad lagi, cuma seluas 1.62 ha (empat ekar) tanah diperuntukkan bagi skim tersebut yang dahulunya adalah bekas kawasan tanaman jagung.

Dia berterima kasih dengan sokongan IADP Kalaka-Saribas yang membantunya pada awal penglibatannya dalam program ini .

Demikianlah perubahan sosio-ekonomi yang dapat disaksikan di kalangan peserta yang mula menyertai skim penanaman buah-buahan melalui IADP Kalaka-Saribas sejak empat (4) tahun yang lepas.
Konsep IADP ialah menumpukan pemusatan segala usaha perancangan dan perlaksanaan aktiviti-aktiviti pertanian bagi sesuatu kawasan sedia-ada atau in-situ, yang mengutamakan integrasi segala usaha dan aktiviti pelbagai jabatan/agensi yang berkaitan di bawah dan di luar Kementerian Pertanian Malaysia.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article