Pengenalan sistem teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) yang baru iaitu “e-Sistem Ketua Masyarakat” atau e-SKM akan merancakkan lagi pembangunan
dan mempercepatkan urusan pentadbiran Perkhidmatan Awam Negeri.
Sistem yang baru dilancarkan
itu adalah seiring dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk mencapai visi Kerajaan
Elektronik (e-Government) yang tidak
sampai dua tahun untuk direalisasikan.
e-SKM adalah aplikasi dan pangkalan data
bagi pengurusan dan pentadbiran pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di
seluruh Negeri Sarawak.
Penggunaan sistem itu juga
akan memudahkan proses lain yang berkaitan seperti pencalonan, perlanjutan
pelantikan, permohonan peletakan jawatan, penamatan perkhidmatan dan pengesahan
dalam jawatan.
Sistem itu mula diperkenal sebagai pusat pangkalan data bagi
tujuan penyimpanan maklumat dan rekod di peringkat Jabatan Ketua Menteri
Sarawak.
Melihat kepada keberkesanan sistem itu, Kerajaan Negeri
telah mempertingkatkannya dengan memasukkan sistem aplikasi bagi membolehkan
Pejabat Daerah, Pejabat Residen Bahagian dan Jabatan Ketua Menteri Sarawak
berinteraksi dengan mudah untuk tujuan urusan pentadbiran Ketua Masyarakat dan
Ketua Kaum.
Kerajaan Negeri yakin bahawa penggunaan e-SKM akan menyumbang ke arah penambahbaikan, penyampaian dan
kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Selain itu, teknologi tanpa
kertas ini juga akan membantu menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan yang
seterusnya memberi manfaat kepada semua pihak.
Menjangkaui matlamat
utamanya, penggunaan ICT ini juga
boleh menjadi penyelesai dan pemudah cara kepada aktiviti-aktiviti pembangunan
seterusnya membantu kerajaan menangani masalah 'jarak' dan 'masa' ketika
membawa pembangunan ke seluruh pelusok negeri ini.