Kerajaan Negeri
menetapkan lima (5) teras utama dalam pelaksanaan RMK9 bagi Sarawak yang antara
lainnya untuk memastikan kualiti hidup yang lebih baik, untuk mengimbangi
ketidaksamaan antara wilayah dan kumpulan serta peningkatan kemahiran perlu
dijadikan panduan berguna bagi kakitangan awam untuk menjayakannya.
Demikian kata YAB
Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada ucaptamanya di
"Majlis Perjumpaan dengan YAB Ketua Menteri – Perancangan Malaysia
Kesembilan: Peranan Kakitangan Perkhidmatan Awam”, di Petra Jaya pada Mei lalu.
Menurutnya, usaha itu
amat perlu memandangkan hanya tinggal 15 tahun sahaja lagi untuk negara
menjayakan Wawasan 2020.
Manakala peruntukan
berjumlah RM25.1 billion untuk pembangunan negeri di bawah RMK9 perlu
dibelanjakan dengan sebaik mungkin untuk manfaat semaksimum mungkin kepada
penduduk negeri ini.
Ketua Menteri juga
menegaskan bahawa sasaran kerajaan bukan sahaja kepada pembangunan fizikal
malah perlu diiringi dengan peningkatan kualiti hidup.
Malah katanya,
perancangan yang dilaksanakan juga perlu memenuhi keperluan masyarakat supaya
masyarakat sentiasa turut serta dalam pembangunan negeri.
Sementara itu,
Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Datuk Amar Haji Abdul Aziz Dato Haji Husain
dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa kakitangan awam seharusnya dapat
melaksanakan tugas dengan berkualiti, cekap serta efisyen sungguhpun berhadapan
dengan sumber yang terhad.
Kerana itu mereka
perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan bersedia dengan keperluan
untuk berubah.
Mereka juga perlu
menjalankan tugas dengan amanah dan cekap yang menjadi teras pembangunan modal
insan perkhidmatan awam negeri.
Beliau memberi contoh
bahawa terdapat kira-kira 29,356 jawatan dalam pelbagai jabatan, agensi dan
badan berkanun Kerajaan Negeri. Namun ketika ini hanya kira-kira 22 ribu sahaja
jawatan yang diisi.
Begitu juga dengan
ketiadaan pertambahan daripada segi peruntukan untuk perkhidmatan awam pada
tahun ini berbanding tahun lalu.
Sehubungan itu
katanya, penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) akan diperluas dan tugas-tugas seperti kerja pemantauan dan
penyampaian perkhidmatan akan dibuat secara elektronik.
Beliau turut menggesa
supaya kualiti kepimpinan dalam organisasi dipertingkat bagi membolehkan
organisasi mencapai visi dan misinya.
Jika semua itu dapat
diusahakan, sudah tentu RMK9 akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin
dengan kesan sosioekonomi yang maksimum untuk Negeri Sarawak.