- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Model Pertama di Malaysia

Must read

Teringatkan tentang rawatan pesakit
psikiatri (mental) mungkin membayangkan kita dengan prosidur rawatan yang ketat
dengan pintu serta tingkap berpalang besi dan peralatan hospital yang terkawal
penggunaannya.

Namun, semua itu mungkin berubah
apabila kita mengunjungi Unit Psikiatrik & Kesihatan Mental Hospital Miri.
Unit itu yang mempunyai dua wad (lelaki dan wanita) dengan 16 buah katil
merupakan model yang pertama seumpamanya di negara ini.

Demikian menurut
Encik Omaramiyah bin Hj Mejah, Pembantu Perubatan Kanan Unit Psikiatrik &
Kesihatan Mental Hospital Miri.

Ia dikatakan berbeza
kerana rekabentuk bangunan, kemudahan infrastruktur dan sokongan serta kaedah
pemulihan yang lebih menitikberatkan penglibatan ahli keluarga dan komuniti
sekitar seperti pertubuhan bukan kerajaan. Antara yang aktif membantu dalam
usaha itu ialah Miri Mental Health
Association
.

Suasana yang ada di
wad juga membuatkan pesakit seolah-olah berada di rumah sendiri ataupun berada
di hotel. Keadaan itu membantu pesakit dan ahli keluarganya berasa selesa di
samping memberi kesan positif kepada proses pemulihan.

Wad itu mula
beroperasi pada Januari 2005 dan dirasmikan pada April 2006 oleh Timbalan
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Latiff
Ahmad. Ia merupakan sebahagian daripada program pembangunan di bawah Rancangan
Malaysia Kelapan (RMK8) yang melibatkan kos kira-kira RM5.3 juta.

Ketika
ini unit itu mempunyai seramai 27 orang kakitangan yang turut terlibat dengan
kemudahan
pusat jagaan harian kepada pesakit.

Klinik pakar unit
berkenaan dibuka dua hari seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Jumaat.

“Lawatan ke
rumah-rumah pesakit ataupun komuniti servis juga diadakan dua hari seminggu,
pada hari Selasa dan Khamis”, kata Encik Omaramiyah.

Menurutnya, langkah
itu bertujuan mengelakkan masalah pesakit yang sukar ataupun tidak mahu datang
ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Di samping itu, unit
berkenaan turut menerima rujukan dari hospital-hospital serta klinik-klinik
pakar dari zon utara seperti dari Bintulu, Marudi, Limbang dan Lawas. Taklimat
penyeliaan turut diberi kepada hospital-hospital berkenaan sekali dalam setahun
yang bertujuan memberi maklumat terkini kepada kakitangan di hospital-hospital
terbabit.

Pengetahuan dan
kemahiran kakitangan unit itu sendiri juga sentiasa dipertingkat. Untuk tujuan
itu, pakar psikiatri dari Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sentosa Kuching
sentiasa mengadakan lawatan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu ke Unit
Psikiatrik & Kesihatan Mental Hospital Miri.

Baru-baru ini, Unit
Psikiatrik & Kesihatan Mental Hospital Miri telah berjaya membimbing
sekumpulan ahli keluarga pesakit yang bertujuan melatih mereka cara untuk
menjaga pesakit ketika berada di rumah.

Sambutan yang baik ke atas
program ini membolehkan pihak hospital merancang program yang serupa untuk
kumpulan yang lain pada masa akan datang.

Sebuah program
pemulihan yang dikenali sebagai ‘reality
orientation’
juga dilaksanakan bagi mempercepat dan menjadikan proses
pemulihan lebih efisyen.

Ia dilaksanakan
dengan membawa pesakit melawat tempat-tempat tertentu bagi melihat
tindakbalasnya terhadap persekitaran. Program itu diperkenal oleh unit ini
kerana terdapat pesakit yang kelihatan normal apabila dibawa ke wad hospital
tetapi adalah sebaliknya apabila berada di luar.

Melalui usaha-usaha
berkenaan, pihak Hospital Miri berharap tahap kesedaran dan kualiti kesihatan
mental masyarakat di negeri ini dapat dipertingkat pada masa-masa hadapan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article