- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pembangunan ICT

Must read

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan
(RMKe-8), pelbagai program dan langkah dilaksanakan bagi memastikan jentera
pentadbiran Kerajaan yang cekap dan berkesan untuk pertumbuhan ekonomi dan
pembangunan yang berterusan.

Usaha ini meliputi inisiatif dalam
bidang seperti pengurusan kualiti, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),
akauntabiliti dan keutuhan pengurusan serta pengurusan sumber manusia.

Langkah-langkah telah diambil untuk
meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan termasuk usaha mengurangkan
kerenah birokrasi dengan mempermudah dan memperkemas sistem dan prosedur kerja
serta mengukur prestasi berasaskan Petunjuk Utama Prestasi (KPI).

Dalam tempoh Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMKe-9) pula, sejajar dengan prinsip kedua (kerajaan yang adil dan beramanah) dan
keenam (kehidupan berkualiti) Islam Hadhari, usaha
akan diambil untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan bagi
meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat Malaysia.

Usaha ini termasuk menambah baik sistem
pentadbiran di semua peringkat, menyediakan pelbagai saluran hubungan antara
agensi Kerajaan dengan pelanggan yang cekap dan berkesan, mengkaji semula dan
memperkemas undang-undang serta syarat kawal selia dan pelesenan, memanfaatkan
ICT serta menggalakkan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi untuk
menyokong sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

Adalah tidak dinafikan bahawa penggunaan
ICT di Sarawak berkembang dengan baik semenjak 15 tahun kebelakangan
ini. Visi dan hasrat Kerajaan untuk melahirkan masyarakat berilmu (knowledge
society
) merupakan dorongan dan cabaran kita semua untuk menambahbaikkan (value-add)
apa juga sistem, proses mahupun pangkalan data manual kepada pendekatan
elektronik di mana pengurusan maklumat dapat dibuat secara mudah, cepat dan
efisien.

Dalam era ICT dan globalisasi,
Kerajaan tidak ada pilihan lain tetapi berusaha ke arah mewujudkan Kerajaan
Elektronik (e-Government). InsyaAllah kita telah menetapkan tahun 2008
untuk merealisasikan visi ini.

Seperti yang kita sudah sedia maklum,
Kerajaan Elektronik yang diperkenalkan dalam awal tahun 90-an telah membuktikan
bahawa ianya boleh mempertingkatkan operasi dalaman Kerajaan di samping menjana
maklumat dan seterusnya memberi penyampaian perkhidmatan yang efisien kepada
rakyat.

Kerajaan Negeri Sarawak sememangnya
mempunyai perancangan strategik bagi memastikan Negeri Sarawak mencapai status
negeri maju sejajar dengan perkembangan arus modenisasi di peringkat nasional
dan juga antarabangsa.

Sebagai contoh, Kerajaan Negeri telah
menubuhkan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd atau (SAINS) dan
PUSTAKA Negeri sebagai langkah awal untuk menerokai dan memperluaskan
penggunaan ICT kepada semua lapisan masyarakat.

Pustaka Negeri Sarawak atau PUSTAKA
merupakan pusat sumber maklumat utama yang berperanan sebagai “hub” bagi
perkhidmatan maklumat bagi sektor awam dan swasta.

Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri kita
dalam pembentangan RMK-9 di Parlimen telah menegaskan bahawa Kerajaan tetap
akan terus mengambil langkah untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi
pilihan bagi pelaburan berkaitan ICT.

Projek
e-SKM

Untuk merancakkan lagi pembangunan dan
mempercepatkan lagi urusan pentadbiran, Perkhidmatan Awam Negeri telah memperkenalkan
sistem ICT yang baru iaitu e-Sistem Ketua Masyarakat atau e-SKM. e-SKM
adalah aplikasi dan pangkalan data bagi pengurusan dan pentadbiran pelantikan
Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di seluruh Negeri Sarawak serta proses lain
yang berkaitan seperti:

Pencalonan

Perlanjutan pelantikan

Permohonan peletakan jawatan

Penamatan perkhidmatan

Pengesahan dalam jawatan

Pada peringkat awalnya, sistem ini
diperkenalkan sebagai pusat pangkalan data bagi tujuan penyimpanan maklumat dan
rekod di peringkat Jabatan Ketua Menteri Sarawak sahaja.

Namun memandangkan sistem ini amat
berkesan, sistem ini telah dipertingkatkan dengan memasukkan sistem aplikasi
yang membolehkan Pejabat Daerah, Pejabat Residen Bahagian dan Jabatan Ketua
Menteri Sarawak berinteraksi dengan mudah untuk tujuan urusan pentadbiran Ketua
Masyarakat dan Ketua Kaum.

Sistem e-SKM ini akan menyumbang ke arah
penambahbaikan, penyampaian dan kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak.
Selain memudahkan serta mempercepatkan urusan pentadbiran, sistem ini akan
dapat membantu menjimatkan kos perbelanjaan pihak Kerajaan.

Hasilnya, semua pihak akan mendapat
manfaat daripada penggunaan teknologi tanpa kertas ini. Lebih dari itu,
penggunaan teknologi info komunikasi ini juga boleh menjadi penyelesai dan
pemudah cara kepada aktiviti-aktiviti pembangunan.

Kesan dari revolusi digital dan
keupayaan teknologi info komunikasi, segala halangan tradisional seperti
‘jarak’ dan ‘masa’ akan dapat diatasi.

Ini secara tidak langsung akan dapat
memberikan ruang kepada para pentadbir jentera kerajaan untuk melaksanakan
lebih banyak projek atau program pembangunan yang akan memberikan lebih manfaat
kepada masyarakat serta peningkatan tahap kesejahteraan ekonomi dan sosial
mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article