- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Produk Homestay Mampu Jana Pendapatan

Must read

Beralih daripada kesesakan
ibu kota dan tarikan pelancongan yang ada di bandar, satu lagi produk
pelancongan yang mula mendapat tempat di kalangan para pelancong tempatan dan
asing adalah produk homestay.

Mungkin ini satu kelebihan bagi
negara kita, produk homestay di luar bandar memberi kesempatan kepada
kita mempromosi “aset” semulajadi, kebudayaan serta keramahan penduduk.

Melalui homestay, ia
adalah salah satu pengalaman yang unik di mana pelancong tinggal bersama dengan
keluarga tuan rumah yang secara tidak langsung dapat mendekati sendiri
kehidupan masyarakat desa.

Homestay juga
turut dikenalpasti digemari oleh kebanyakan golongan pelajar dan pengembara
dari Asia dan Eropah. Pada perspektif mereka, ini adalah pilihan tepat bagi
yang mengemari pengembaraan dan cabaran
yang lain daripada lain.

Peningkatan minat terhadap
produk homestay ini dilihat sebagai peluang masyarakat desa untuk menjana
sumber pendapatan.

Berdasarkan statistik
sehingga tahun lepas (2005), para pengusaha sektor pelancongan di negara ini
telah berjaya menyediakan sebanyak 3,000 rumah sewa di 200 perkampungan
tradisional di seluruh negara yang telah menjana pendapatan kira-kira RM30
juta.

Kebanyakan projek homestay di negara ini dikendalikan
Persatuan Homestay Malaysia (PHM) dengan kerjasama Kementerian
Pelancongan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Menurut Timbalan Menteri
Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi (ketika itu), projek homestay
mampu menjana pendapatan tahunan negara sehingga mencecah RM100 juta dalam
tempoh lima (5) tahun akan datang apabila sejumlah 11,000 rumah dapat disewakan
kepada pelancong asing dan pelancong tempatan.

Projek homestay, jelas beliau akan membabitkan 500
buah kampung tradisional di seluruh negara yang mampu menarik lebih ramai
pelancong dari Jepun, Korea, Australia, Amerika Utara, China dan Eropah.

Kadar bayaran sewa yang minimum antara RM50 ke RM100
turut menjadi antara daya penarik mengapa homestay menjadi pilihan utama
para pelancong asing.

Bagi kebanyakan pelancong
ini, konsep homestay ini menyamai seperti B & B- bed and
breakfast
(inapan dan sarapan) di negara-negara Barat. Di sana, ia amat
popular disebabkan sewanya yang murah jika berbanding mereka tinggal di hotel

Ciri-ciri tersebut turut
dikenalpasti menambahkan lagi jumlah kedatangan pelancong asing yang memilih
menggunakan produk homestay.

Bagi meningkatkan keberkesanan
program ini, tarikan dan pengisian program homestay juga seharusnya
disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat dan sasaran pelancong asing.

Para pengusaha homestay perlu
mengkaji kehendak pelancong serta menyesuaikannya dengan perkhidmatan yang
ditawarkan.

Sebagai contohnya,
kebanyakan pelancong asing dari negara maju terutama Jepun dan Korea, lebih
mengemari keadaan flora dan fauna yang mendamaikan sebaliknya pelancong Jerman
mungkin inginkan lebih banyak cabaran alam semula jadi.

Mengikut perkembangan
terkini, Kementerian Pelancongan telah meminta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli
(JHEOA) meninjau kawasan tradisi masyarakat berkenaan yang berpotensi dimajukan
dengan projek homestay seperti yang telah diusahakan di perkampungan
tradisi masyarakat Siam di Tumpat dan Pasir Mas serta masyarakat tradisi Cina
di Pengkalan Pasir, Kelantan.

Di Sarawak, Kementerian Pelancongan
Bandar dan Pelancongan Sarawak juga turut menyenaraikan lima (5) buah kampung
yang terlibat dalam projek homestay di luar bandar yang sudah menunjukkan
kejayaan. Antaranya ialah Telok Melano, Telok Serabang dan Kampung Pueh, di
Sematan. Selain itu, tiga buah kampung lain ialah di Kampung Panglima Seman
(Kuching), Kampung Mongkos (Serian) dan Rumah Lulut, Sg Tisa, (Kapit).

Homestay secara
tidak langsung, membuka ruang kepada masyarakat tempatan menjana pendapatan
tambahan dengan menyertai peluang-peluang perniagaan berkaitan dalam bidang
pelancongan mengikut kemampuan masing-masing

Dilihat dari perspektif lain pula, beberapa sektor
berkaitan turut menerima kesannya antaranya seperti pembangunan sektor hiliran,
sektor pertanian berasaskan pelancongan (agro-tourism), pelancongan alam
semulajadi (eko-pelancongan) dan
pembangunan industri desa dan kraftangan.

Sudah tiba masanya, pelbagai pihak
berkaitan daripada agensi kerajaan sehinggalah ke Jawatankuasa Keselamatan dan
Kemajuan Kampung (JKKK) mengambil perhatian serius membangunkan produk homestay
ini kerana melalui aktiviti ini, usaha menghapuskan kemiskinan tegar di
luar bandar kepada 0.9 % menjelang tahun 2009 boleh tercapai.

Beberapa usaha, strategi dan
promosi tentang produk homestay perlu digiatkan antaranya melalui
pengedaran risalah di kedutaan tertentu, kempen dalam majalah antarabangsa
disamping berusaha dengan agen pelancongan bagi mempromosi dan memasarkan
produk homestay di negara ini.

Projek homestay ini
memerlukan kesungguhan pelbagai pihak bagi menjamin ia dapat memberi kesan
besar ke atas masyarakat di luar bandar dan menepati perancangan kerajaan di
bawah Pelan Induk Pelancongan Luar
Bandar bagi mengalakkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor
pelancongan.

Info
Tambahan


Homestay TELOK MELANO &
TELOK SERABANG, SEMATAN

  • 90 minit
    perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke daerah kecil
    Sematan. Dari Pekan Sematan tersebut ke kampung, 45 minit perjalanan
    menggunakan bot laju.
  • Kebanyakan
    penduduk adalah berbangsa Melayu dan bekerja sebagai petani dan nelayan.
  • Tempat ini
    sesuai bagi pengemar aktiviti menyelam di
    dasar laut dan memancing ikan.
  • Taman
    Negara Tanjung Datu yang terletak berdekatan turut menawarkan keindahan alam
    semulajadi untuk diterokai.
  • Anda turut
    berkesempatan melihat Pusat Pembiakan Penyu di Pulau Talang-Talang dan
    sekiranya bernasib baik, anda berpeluang melihat ikan lumba-lumba (waktu
    tertentu/ bermusim)

Homestay KAMPUNG PUEH, SEMATAN

  • Terletak
    kira-kira 90 minit perjalanan daripada LTAK.
  • Penduduk
    kampung di sini adalah dari etnik Dayak Selako yang kebanyakannya bekerja
    sebagai petani.
  • Alami
    sendiri pengembaraan alam semulajadi seperti berkayak dan mendaki gunung.
  • Anda turut
    berpeluang untuk menangkap ketam serta
    melihat bagaimana aktiviti
    memproses hasil laut dilakukan. Persembahan kebudayaan kaum bidayuh turut
    diadakan.

Homestay KAMPUNG MONGKOS (SERIAN)

  • Terletak
    90 minit perjalanan dari LTAK. Terletak berhampiran dengan sempadan
    Sarawak/Indonesia.
  • Kebanyakan penduduk bekerja
    sebagai petani.
  • Merasai
    kehidupan di rumah panjang kaum bidayuh yang unik di Sarawak. Anda berpeluang
    untuk mengikuti aktiviti pengembaraan seperti meredah hutan, mendaki gunung dan
    melawat gua baru kapur.
  • Menikmati
    persembahan kebudayaan masyarakat di samping mengikuti rutin harian penduduk
    ini termasuk melawat ke ladang padi / kebun lada. Kawasan ini turut berhampiran
    dengan Ladang Teh(Mayang Tea).

Homestay RUMAH LULUT, SG TISA, KAPIT

  • Dari
    Lapangan Terbang Sibu ke Terminal Bot Ekspres mengambil masa 30 minit
    perjalanan. Menggunakan bot ekspes kira-kira 3 jam perjalanan ke Pekan Kapit.
    Dari Pekan Kapit ke Rumah Lulut menggunakan bot panjang selama 50 minit
    perjalanan.
  • Merasai
    pengalaman kehidupan masyarakat Iban di rumah panjang. Menyaksikan ladang
    ternakan rusa, melihat ikan Empurau,Semah dan Tenggadak (antara spesis ikan
    terlindung) di samping berpeluang untuk melawat ladang padi / kebun lada,
  • Anda juga boleh menikmati pengalaman menaiki
    perahu panjang, berkemah di tepi sungai di samping menyaksikan persembahan
    kebudayaan di rumah panjang.
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article