- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

RANDO Bintulu Lawat Dalat

Must read

Artikel sumbangan Jeffrey Jalong, RANDO Bintulu

Pada 8 dan 9 April 2006 lalu, seramai 20 orang ahli kelab RANDO Bintulu telah mengadakan kunjungan kemasyarakatan dan muhibah ke
Daerah Dalat/Mukah. Selain daripada
untuk mengeratkan kerjasama serta jalinan silaturahim di antara R&DO Dalat
dengan R&DO Bintulu, lawatan muhibah ini juga adalah bertujuan untuk
melihat rancangan dan program-program pembangunan yang berlaku di Daerah Dalat.

Kenangan menghirup udara segar, tenang dan dingin di Daerah Dalat agak
sukar untuk dilupakan. Tambah-tambah lagi rata-rata ahli rombongan yang
menyertai lawatan ini menyatakan bahawa ini adalah pengalaman pertama
masing-masing menjejakkan kaki di Dalat.

Pastinya, Daerah Dalat mempunyai sejarah dan tarikan yang unik dan
tersendiri. Antaranya ialah kampung
seberang yang dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai “Kampung Brunei”.

Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis ialah, tiang “Jerunai”
atau “Liding” dalam bahasa Melanau Dalat.

Menurut sumber dari Pejabat Daerah Dalat, Jerunai yang didirikan di
hadapan Pejabat Daerah Dalat adalah antara yang tertua dan yang terakhir
disimpan dan dijaga oleh Penduduk Dalat.

Asalnya, lokasi Jerunai ini terletak di Kampung Seberang Tengah, namun
ia telah dipindahkan beberapa kali sehinggalah kali yang terakhir iaitu di
hadapan Pejabat Daerah Dalat.

Menurut sumber berkenaan lagi, pada masa hadapan besar kemungkinan
Jerunai tersebut akan dipindahkan ke kawasan Taman Bulatan Dalat yang kini
sedang dalam rancangan pembangunan.

Berdasarkan sumber sejarah, Jerunai adalah tempat persemadian yang
terakhir bagi si mati dari keluarga tertentu.

Kebetulan, semasa tarikh kunjungan dibuat, ahli rombongan kelab RANDO
Bintulu juga berkesempatan merasai kemeriahan Pesta Kaul Oya, Dalat. Pelbagai
aktiviti menarik telah dilangsungkan semasa pesta tersebut dan menurut salah
seorang kakitangan di Pejabat Daerah Dalat, pesta ini merupakan pesta tahunan
yang dianjurkan di Oya yang bertujuan untuk menghidupkan dan memelihara
budaya tradisional Melanau khususnya di kawasan Oya.

Selain itu, pesta ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai
pengunjung dari luar dan dalam negeri untuk menyaksikan acara tradisional yang
unik ini.

Untuk mengeratkan lagi kerjasama dan silaturrahim di antara kakitangan
R&DO Dalat dan R&DO Bintulu, pada sebelah petang 8 April 2006, satu
perlawanan Futsal telah dianjurkan oleh Pejabat Daerah Dalat di Stadium
Perpaduan Dalat.

Bagi memeriahkan lagi kunjungan kelab RANDO dari Bintulu, pihak tuan
rumah RANDO Dalat juga telah mengatur satu program khas “Malam Mesra RANDO”
sempena kunjungan tersebut.

Tempoh masa semalam dua hari di Daerah Dalat merupakan saat dan
kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Kenangan berehat di Rumah Rehat
Dalat, bermain Futsal di Stadium Perpaduan Dalat, berjalan-jalan di sekitar
Pekan Dalat dan kampung-kampung berhampiran dan seterusnya beramah mesra di
Malam Mesra RANDO semuanya akan menjadi kenangan manis buat ahli-ahli kelab
RANDO Bintulu yang berkesempatan berkunjung ke Dalat pada 8 & 9 April 2006
lalu.

Pastinya,
Daerah Dalat sedang membangunkan pelbagai produk pelancongan di daerah ini.
Kepelbagaian produk dari hasil-hasil sagu, keindahan dan ketenangan
kampung-kampungnya, peninggalan warisan seni dan budaya artifak yang tidak
ternilai, kehalusan hasil-hasil kraftangan Melanau Dalat, sejarah dan keunikan
Kampung Brunei, keseronokan membeli-belah di Pasar Minggu Dalat, semuanya akan
meninggalkan kenangan manis buat pengunjung yang berkunjung ke daerah ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article