- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

RMR Bantu Golongan Berpendapatan Rendah

Must read

Kerajaan akan meneruskan usaha melaksanakan pembangunan seimbang yang lebih bersifat mesra rakyat bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir terutamanya golongan berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Usaha tersebut menurut Perdana Menteri termasuklah menyediakan pelbagai kemudahan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah melalui Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR).

Jelas beliau, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap program yang dilaksanakan itu menepati keperluan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Skim Rumah Mesra Rakyat di Taman Mesra Bako lebih kurang 40 km dari Bandar Raya Kuching baru-baru ini.

Berdasarkan kejayaan projek RMR di Semenanjung Malaysia, jelas Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan bersetuju memanjangkan program ini ke Sarawak.

Beliau seterusnya menambah, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan kira-kira 1,000 unit RMR di negeri ini.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis yang sama, Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud turut menyifatkan RMR adalah suatu pendekatan yang praktikal di mana kerajaan memberi subsidi satu pertiga daripada kos setiap rumah tersebut.

Projek RMR Taman Mesra Bako terletak di tapak seluas 32 hektar yang menempatkan sejumlah 165 unit rumah.

Permohonan untuk mendapatkan RMR adalah terbuka kepada individu yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan dan bagi pemohon yang berjaya, mereka hanya perlu membayar ansuran bulanan serendah RM100 untuk jangkamasa selama 32 tahun (jenis rumah atas tanah) dan 35 tahun (jenis rumah bertiang)

Projek ini adalah usahasama antara Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Suruhanjaya Perumahan Sarawak. RMR Taman Mesra Bako ini dijangka dapat menyuraikan kesesakan di Kampung Bako yang kini mempunyai kira-kira 4 ribu buah rumah.

Info Tambahan
Rumah Mesra Rakyat

Pengenalan Skim RMR di Negeri Sarawak adalah berikutan daripada pembentangan Belanjawan 2005 yang telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi pembinaan Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) sejumlah RM100 juta di seluruh negara

Setakat ini, di Sarawak antara tempat-tempat yang telah dikenalpasti untuk RMR ialah di Kampung Petanak (30 unit) dan Kampung Nelayan (20 unit) di Mukah manakala sejumlah 165 unit dibina di Kampung Bako, Kuching.

Di Sarawak, pelaksanaan RMR adalah dengan dua kaedah iaitu di kawasan yang telah dikenalpasti untuk RMR program pembesaran kampung (Kampung Extension Scheme) oleh Jabatan Tanah dan Survei dan Permohonan secara individu.

Skim RMR ini terbuka untuk keluarga miskin yang terdiri daripada nelayan, petani, peladang, orang miskin dan ibu tunggal yang tidak mempunyai rumah ataupun tinggal di rumah yang usang (daif), tetapi mempunyai tanah ataupun mendapat kebenaran berkanun oleh tuan punya tanah yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat (ibubapa, isteri atau adik-beradik.

Syarat Kelayakan Pemohon

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur di antara 18-65 tahun
  • Pemohon yang berumur diantara 45-65 memerlukan pemohon kedua yang berumur di antara 18-30 tahun.
  • Pendapatan kasar seisi rumah tidak melebihi RM1,000 sebulan
  • Berkahwin ataupun ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan.
  • Istilah tanggungan tidak termasuk isteri/suami tetapi termasuk anak,ibu,bapa, mertua,ipar atau saudara-mara yang terdekat yang masih menetap bersama pemohon
  • Tidak mempunyai rumah sendiri ataupun mempunyai rumah yang usang/ tidak sempurna
  • Mempunyai tanah yang bersesuaian yang tiada cagaran ke atasnya
  • Sebagai jaminan, geran asal akan disandarkan untuk gadaian ke atas tanah tersebut sehingga pinjaman dilangsaikan
  • Bagi program pembesaran kampung, jaminan ke atas tanah akan dikemukakan oleh HDC
  • Tapak yang bakal dibangunkan projek tersebut nanti hendaklah tanah miliknya sendiri ataupun saudara-mara yang terdekat
  • Pemohon perlu mendapatkan kebenaran berkanun dari tuan tanah jika bukan milik sendiri

Setiap rumah RMR yang dibina mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi dilengkapi dengan tiga (3) bilik tidur dan dua (2) bilik air .Satu pertiga (1/3) daripada kos pembinaan dibiayai melalui Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan selebihnya pembiayaan tanpa faedah berlandaskan konsep Al-Qardh.

Rumah Mampu Milik (RMM)

Program ini dijalankan melalui 2 (dua) kaedah iaitu dilaksanakan oleh HDC melalui anak syarikatnya, Daya Perumahan Sdn Bhd (DPSB) dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan yang keduanya dilaksanakan sepenuhnya oleh HDC.

Tiga kawasan telah dikenalpasti untuk pelaksanaan projek akan datang ialah di Bahagian Mukah, Betong dan Kuching.

Projek perintis Rumah Mampu Milik (RMM) hasil kerjasama di antara SPNB dan HDC dilaksanakan di Mukah dengan perancangan pembinaan sejumlah 200 unit RMM yang mempunyai reka bentuk yang menarik. Berkeluasan 700 kaki persegi di tapak seluas 20 ekar di Jalan Petanak, Mukah.

Kriteria Pemilikan RMM

  • Hanya warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak sahaja yang layak memohon
  • Umur pemohon tidak melebihi 65 tahun
  • Tidak pernah memiliki mana-mana rumah mampu milik
  • Pendapatan kasar bulanan hendaklah di antara RM650 hingga RM2,500

Program Perumahan Rakyat (PPR)

Program ini merupakan flat sewa di bawah kendalian Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara. Program ini bertujuan membantu rakyat yang berpendapatan rendah yang belum mampu memiliki rumah dengan menyewakannya pada kadar sewa terendah iaitu RM124 sebulan.

Setakat ini, projek pembinaan sebanyak 200 unit di Sri Wangi, Petra Jaya telah pun hampir siap dan 816 unit lagi dalam pembinaan di PPR Batu 5, Jalan Matang. Sementara itu, pembinaan flat yang sama turut dilaksanakan di Batu 15, Jalan Kuching-Serian..

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak 2,000 unit rumah sewa telah dirancang akan dibina dengan keutamaan diberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai jumlah setinggan yang ramai iaitu di Miri, Bintulu dan Kuching.

Kriteria Pemohonan Flat PPR Sewa

  • Pendapatan kasar (suami dan isteri) adalah di antara RM350 hingga RM850 (berbanding rumah kos rendah RM650 hingga RM2500)
  • Tidak memiliki sebarang hartanah
  • Dibuka untuk pemohon yang telah berkahwin sahaja
  • Tidak ada had umur ditetapkan memandangkan flat ini merupakan kediaman sementara
  • Permohonan dibuka bagi warganegara Malaysia bermastautin di Sarawak terutama sekali bagi pemohon-pemohon yang berpindah dari Bahagian lain serta penghuni kawasan setinggan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article