- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Tingkat Keselesaan Pengguna

Must read

Imej dan mutu
kehidupan di sesebuah negara dan negeri mungkin boleh dikaitkan dengan kualiti
kemudahan atau perkhidmatan udaranya.

Pelancong atau orang
asing yang datang sudah semestinya menjejakkan kaki di lapangan terbang
terlebih dahulu sebelum menuju ke destinasi masing-masing.

Namun adakah kita sudahpun
mempunyai kemudahan bertaraf dunia khasnya dalam usaha kerajaan untuk
melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2007 yang hanya tinggal beberapa bulan
sahaja lagi.

Adakah kita sudah bersedia memberikan imej yang terbaik
bukan sahaja daripada segi kualiti infrastrukturnya, malah kualiti
perkhidmatannya sekali.

Namun, jika sasarannya pelancong atau orang asing sahaja, mungkin
ia kelihatan berat sebelah kerana kita sebagai penduduk negara ini juga sudah
tentu berhak mendapatkan perkhidmatan yang terbaik di tempat sendiri.

Lapangan Terbang

Ketika ini Malaysia mempunyai lima
lapangan terbang bertaraf antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18
landasan terbang (short take off and landing ports – STOL). Kesemua lapangan
terbang dan landasan terbang itu diurus, dioperasikan dan dijaga oleh Malaysia
Airports Sdn. Bhd. (MAHB).

Di Sarawak terdapat
sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa iaitu Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuching (LTAK) serta lima lapangan terbang domestik iaitu Lapangan
Terbang Miri, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu, Lapangan Terbang
Limbang dan Lapangan Terbang Mulu.

Di samping itu,
terdapat 12 buah STOL masing-masingnya di Lawas, Marudi, Mukah, Kapit, Belaga,
Bario, Long Seridan, Long Lellang, Long Semado, Bakelalan, Long Akah dan Long
Banga.

Sebenarnya STOL juga
diwujudkan atas dasar serta tanggungjawab sosial kerajaan serta MAHB bagi
menyediakan alternatif pengangkutan udara terutama untuk menghubungi kawasan
yang sukar dilalui melalui jalan darat.

Sungguhpun demikian,
STOL juga sentiasa dipastikan dapat menyediakan perkhidmatan yang terbaik
khususnya di kawasan luar bandar dan dari semasa ke semasa turut melalui proses
naik taraf.

Peningkatan Berterusan Pengguna

Saban tahun,
perangkaan pengguna perkhidmatan pengangkutan udara kian meningkat. Peningkatan
itu memang menunjukkan petanda yang positif kerana sejajar dengan perkembangan
aktiviti ekonomi serta sosial negeri dan negara keseluruhannya.

Bilangan pengguna
lapangan terbang yang dicatatkan di seluruh Sarawak ialah kira-kira 6.69 juta
pada tahun 2005, meningkat daripada 6.51 juta pada tahun 2004 dan 5.83 juta
pada tahun 2003.

Sejajar dengan
kedudukan negeri ini di Kepulauan Borneo serta penempatan penduduk yang
dipengaruhi faktor masa, jarak dan keadaan jalan raya membuatkan pengangkutan
udara terus menjadi pilihan yang penting.

Angka 6.69 juta yang
dicatatkan pada tahun 2005 merupakan 36 peratus daripada jumlah keseluruhan
pengguna pengangkutan udara yang dicatatkan di seluruh negara.

Daripada segi
pergerakan pesawat, Sarawak mencatatkan sebanyak 131,993 pergerakan pada tahun
2005 berbanding 136,634 pergerakan yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Pergerakan kargo juga
menunjukkan peningkatan setiap tahun iaitu 33.87 juta pada tahun 2003 meningkat
kepada 34.87 juta pada tahun 2004 seterusnya kepada 38.57 juta pada tahun 2005.

Statistik itu
seharusnya telah dapat memberikan
petunjuk kepada kita bahawa trennya akan terus meningkat pada masa hadapan
selaras dengan perkembangan sosioekonomi dan bilangan penduduk di negeri ini.

Pembesaran
LTAK

Projek naik taraf Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuching (LTAK) merupakan projek yang banyak mendapat fokus ketika
ini memandangkan statusnya sebagai pintu masuk ke Negeri Sarawak.

LTAK telah dibina pada tahun 1943 dan
mula beroperasi pada tahun 1950. Pada tahun 1983 ia dipindahkan ke lokasi
berhampiran iaitu yang ada ketika ini, kira-kira 11 km dari pusat bandar raya.

Terminal baru LTAK
dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2006 dan pemanjangan landasan pula
dijadualkan siap pada Mac 2008.

Sesungguhnya, projek naik taraf KLIA
adalah seiring dengan pembesaran lapangan-lapangan terbang utama negara yang lain
ketika ini seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang
Sultan Abdul Halim Kedah, Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu,
Lapangan Terbang Antarabangsa kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Labuan.

LTAK sebelum ini direka bentuk
sedemikian rupa bagi membolehkannya mengendalikan kira-kira 2.7 juta pengguna
pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, LTAK telah mencatatkan bilangan pengguna
seramai kira-kira 2.9 juta pada ketika itu dan terus meningkat kepada 3.3 juta
pada tahun 2005.

Sehubungan itu, rancangan untuk
menaiktaraf LTAK telah dibuat pada Februari 2003 bagi membolehkan pendaratan
pesawat jenis Boeing B747-400.

Kini pembangunan LTAK melibatkan
kawasan seluas kira-kira 1,052 ekar dengan keluasan terminal kira-kira 46,500 kaki
persegi.

Terminalnya juga mampu mengendalikan
seramai 2,200 pengguna pada satu-satu masa (ketibaan dan pelepasan) serta
sekurang-kurangnya 20 pergerakan pesawat sejam.

Pelaksanaannya turut melibatkan
penyediaan sembilan jejantas udara, empat anjung terbuka, masing-masing
sembilan pintu ketibaan dan pelepasan domestik serta antarabangsa, 36 kaunter
bagasi, satu kaunter tanpa bagasi dan 20 kaunter tiket.

Balai berlepas pula mempunyai kapasiti
1,500 tempat duduk. Sebanyak kira-kira 840 lot pula disediakan bagi tujuan
meletak kenderaan yang akan menggunakan sistem kupon.

Sehingga Februari 2006, LTAK mempunyai
kira-kira 1,191 pekerja terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi kerajaan,
penerbangan dan komersil. Mereka ini akan memberi perkhidmatan kepada pengguna
bagi sembilan destinasi penerbangan terus antarabangsa dan lapan destinasi
penerbangan terus domestik.

Perkhidmatan
Berkualiti

Kualiti akan terus
memainkan peranan penting dalam perkhidmatan pengangkutan udara di seluruh
negara.

Peranannya dalam
memuaskan kehendak pengguna serta soal berkaitan keselamatan menjadikannya
perkara penting yang tidak boleh diambil ringan.

Setakat ini, LTAK,
Lapangan Terbang (LT) Miri, LT Sibu dan LT Bintulu telah menerima sijil MS ISO
9001:2000 bagi Pengurusan Lapangan Terbang, Operasi dan Penjagaan Lapangan
Terbang.

Aspek kawalan
kebakaran dan perkhidmatan menyelamat, keselamatan penerbangan, kejuruteraan
dan operasi umum di lapangan-lapangan terbang itu juga tidak ketinggalan.

Jejantas udara
(aerodrome) di LTAK juga telah diiktiraf oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA)
pada tahun 2005 sementara lapangan-lapangan terbang utama yang lain masih dalam
proses.

Pensijilan jejantas udara adalah perlu
sebagai mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Organisasi Penerbangan Awam
Antarabangsa (ICAO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terutamanya di lapangan
terbang yang bertaraf antarabangsa.

Selain itu, aspek keselamatan dan
kawalan di seluruh kawasan lapangan terbang juga dipertingkatkan. Di LTAK
misalnya, keberkesanan sistem kamera litar tertutup (CCTV) akan terus menjadi
tumpuan utama dalam usaha menangani masalah kehilangan beg atau bagasi serta
mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Selain itu, kehadiran pihak polis dan
pengawal keselamatan juga dipertingkat bagi memberikan perasaan selesa kepada
para pengguna dan pengunjung.

Satu sistem kualiti masa juga telah
ditetapkan sebagai panduan semua kakitangan dan agensi yang berkaitan seperti
yang dapat dilihat dalam jadual berikut :

KETIBAAN

  • Pemprosesan ketibaan ( 3
    minit)
  • Pemeriksaan Imigresen ( 75
    saat + 10 minit berbaris)
  • Penghantaran beg pertama (10 minit)
  • Penghantaran beg terakhir (20 minit)
  • Pemeriksaan Kastam (10 minit)

BERLEPAS

  • Pendaftaran berlepas (75
    saat + 10 minit berbaris)
  • Pemeriksaan Imigresen (45
    saat + 10 minit berbaris)
  • Pemeriksaan Sekuriti (10
    minit)

Negeri yang pesat membangun seperti
Sarawak akan terus memerlukan satu sistem kemudahan pengangkutan yang efektif
dan efisien. Mujur dengan adanya alternatif pengguna kepada sistem pengangkutan
udara yang berkualiti, sistematik dan selamat, pergerakan ekonomi akan dapat
dipertingkatkan seterusnya menggalakkan kemasukan pelabur ke negeri ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article