Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dalam satu siaran medianya (disiarkan
oleh BERNAMA) menyatakan bahawa lebih 800 kanak-kanak cacat penglihatan
menghadiri sekolah biasa tetapi jumlah yang menerima pendidikan
sewajarnya masih kecil.
Presidennya, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, yang cacat penglihatan,
berkata sesetengah ibu bapa keberatan untuk memasukkan anak mereka yang
cacat penglihatan di sekolah biasa sungguhpun sistem pendidikan
Malaysia bagi orang kurang upaya dianggap antara yang terbaik di rantau
ini.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, Kementerian Pelajaran diperuntukkan RM440 juta untuk pendidikan golongan kurang upaya.
Beliau berkata terdapat juga ibu bapa, terutamanya yang kurang
berpendidikan dan tinggal di kawasan luar bandar, tidak tahu tentang
peluang pendidikan sedia ada untuk anak mereka yang cacat penglihatan.
Tahun lepas, perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan 16,302
orang cacat penglihatan berdaftar di Malaysia tetapi Ismail percaya
kebanyakan mereka yang mendaftarkan diri itu adalah golongan dewasa.
Terdapat dua jenis sekolah bagi golongan cacat penglihatan — berasrama penuh dan sekolah biasa yang menggunakan sukatan khas.
Kerajaan memberikan RM25 sebulan kepada kanak-kanak cacat penglihatan
yang bersekolah dan RM300 sebulan kepada pelajar universiti.
Beliau yakin Malaysia dapat mencapai sasaran pendidikan untuk golongan cacat penglihatan sebelum 2015.
Bagaimanapun, beliau berkata mencari pekerjaan selepas menamatkan
pengajian masih merupakan halangan utama kepada golongan cacat
penglihatan.