- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek Sosio Ekonomi Pertama Negeri

Must read

Kampung Penipah yang
mempunyai seramai kira-kira 1,081 orang penduduk dan terletak di Pulau Bruit,
Daro telah dipilih sebagai lokasi percubaan projek sosio-ekonomi yang pertama
di negeri ini.

Projek itu yang
dikenali sebagai ‘Prospering Kampung
Penipah Programme’
dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti
hidup penduduk di situ. Ketika ini kira-kira 66 peratus daripada penduduk
kampung itu bekerja sebagai petani dan 15 peratus sebagai nelayan.

Fokus utama program itu
secara khususnya ialah untuk menangani masalah kekurangan zat makanan di
kalangan kanak-kanak dan kemiskinan penduduk secara amnya.

Perkara itu
dinyatakan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Sumber Manusia dan
Latihan), Datin Fatimah Abdullah ketika berucap pada majlis taklimat kepada
ahli jawatan kuasa ‘Sejahtera Task Force’
di Sarikei, awal tahun 2005.

Objektif penubuhan jawatan
kuasa itu ialah untuk merangka dan melaksanakan Pelan Tindakan secara integrasi
dan holistik melalui pelbagai agensi seiring dengan masa bagi menangani isu
sosio-ekonomi di Kampung Penipah.

Usaha ke arah itu
adalah berikutan daripada pemerhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad semasa lawatan beliau ke Pulau Bruit pada tahun 2000.

Melalui lawatan itu, beliau
mendapati saiz badan kanak-kanak di kawasan berkenaan kelihatan kecil
berbanding umur yang sebenar dan mengandaikan ia berpunca daripada kekurangan
zat.

Sehubungan itu, satu
tinjauan sosio-ekonomi dan tahap malnutrisi
isirumah di kawasan Lembah Rajang telah dilakukan oleh Sarawak Development Institute (SDI)
bagi pihak Unit Perancangan Negeri (SPU).
Ia melibatkan kawasan Lembah Rajang (Belawai, Paloh, Meradong, Matu, Daro serta
Pulau Bruit).

Hasilnya menunjukkan
bahawa kemiskinan penduduk telah mempengaruhi tahap pengambilan makanan berzat
di kalangan kanak-kanak sehingga membantutkan perkembangan intelektual dan
fizikal mereka.

Pelaksanaan projek
itu di Kampung Penipah melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan
Kesihatan, Pertanian, Pelajaran, Unit Pengurusan Sumber Manusia, Yayasan
Kemajuan Insan (YAKIN) dan Pejabat Daerah Daro.

Fokus utamanya ialah
20 keluarga termiskin yang akan memakan masa selama 10 bulan.

Jabatan Kesihatan
melaksanakan Program Bantuan Bakul
Makanan untuk kanak-kanak berumur di bawah tujuh tahun bagi keluarga terlibat.

Setiap kanak-kanak dibekalkan dengan bahan makanan yang
terdiri daripada beras, tepung gandum, ikan bilis, kacang hijau, minyak masak,
biskut dan multivitamin setiap bulan.

Jabatan Pelajaran
pula melaksanakan Bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk pelajar SK
Penipah yang seramai kira-kira 200 orang. Bantuan diberikan kepada pelajar
ketika waktu rehat sesi persekolahan.

Sementara itu, pihak
Jabatan Pertanian melalui Unit Pembangunan Ekonomi Wanita (WEDA) menjalankan
program untuk menggalakkan kaum wanita di kampung itu berdikari menambah
pendapatan keluarga.

YAKIN pula
melaksanakan program motivasi bagi para pelajar dan ibu bapa dalam usaha
meningkatkan kesedaran mereka berkaitan kepentingan pendidikan.

Sepanjang 10 bulan
itu, Jabatan Kesihatan dan Pejabat Daerah Daro akan memantau perkembangan yang
berlaku di kampung itu.

Jika usaha yang
melibatkan peranan pelbagai agensi itu berjaya, ia akan dikembangkan ke kampung-kampung
lain yang mempunyai masalah yang sama di negeri ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article