- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kerajaan Sedia Dana Besar

Must read

Perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara
khususnya di kawasan luar bandar.

Ia berdasarkan daripada pengalaman negara-negara maju yang menunjukkan
lebih 55 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka disumbangkan
oleh sektor PKS. Malah, sektor itu juga menyediakan lebih daripada dua pertiga
dari jumlah pekerjaan kepada rakyatnya.

Sehubungan itu, penekanan
berterusan diberikan untuk membangunkan sektor itu di negara ini kerana
kerajaan yakin sektor PKS berupaya menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi negara.

Sehingga Disember
2003, daripada sejumlah 20,455 syarikat dalam sektor perkilangan di negara ini,
18,271 atau 89.8 peratus merupakan PKS. Dalam sektor perkhidmatan pula,
daripada sejumlah 192,527 syarikat yang berdaftar, 186,428 syarikat (98.8
peratus) adalah PKS.

Kerana itu kerajaan berterusan menggalakkan
penglibatan usahawan kecil dan sederhana dalam pertumbuhan ekonomi negara
melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan rancangan.

Antaranya peruntukan
dana sebanyak RM1.2 bilion melalui Tabung Ekonomi Kumpulan
Usahawan (TEKUN), Tabung IKS serta Tabung Usahawan Baru dan bantuan sebanyak
RM1 bilion bagi usahawan kecil dalam bentuk pinjaman mikro kredit di bawah
Pakej Perangsang Ekonomi 2003.

Dalam Bajet 2005,
jumlah dana dalam Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2 dan Tabung Usahawan
Baru 2 masing-masing juga telah ditingkatkan sebanyak RM1.5 billion dan RM550
juta kepada RM4.5 bilion dan RM2 bilion.

Sejak dilancarkan
pada Mei 1999 sehingga Jun 2004, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
(KPUn) telah meluluskan permohonan Program Pinjaman TEKUN berjumlah RM432.7
juta kepada 94,408 pemohon di seluruh negara.

Program itu
dilaksanakan kerajaan melalui Yayasan Tekun Nasional (YTN) untuk membantu
usahawan kecil Bumiputera mendapatkan modal tambahan bagi meningkatkan
perniagaan mereka.

Ia menawarkan
pinjaman antara RM1,000 sehingga RM10,000 bagi pinjaman pertama dan sehingga
RM20,000 bagi pinjaman seterusnya bagi mereka yang mempunyai rekod bayaran
balik yang cemerlang.

TEKUN dan banyak lagi
dana yang disebutkan di atas merupakan sebahagian kecil daripada insentif
dan kemudahan untuk membangunkan PKS. Namun, dianggarkan bahawa hanya 20
peratus daripada pengusaha PKS menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut.

Antara penyebabnya
ialah kurang keyakinan untuk membesarkan perniagaan serta ramai di kalangan
pengusaha PKS tidak menepati syarat-syarat dan keperluan yang diperlukan untuk
membuat peminjaman.

Keadaan itu menyebabkan ramai pengusaha masih beroperasi
dalam persekitaran kerja yang kurang kondusif, tidak mengaplikasikan
teknologi baru dan bergantung kepada pekerja tidak mahir. Akibatnya, ramai
yang tidak mampu berjaya di pasaran tempatan, apatah lagi bersaing di pasaran
luar negara.

Setakat ini, kerajaan
mengambil langkah dengan melibatkan sekurang-kurangnya 12 Kementerian dan 40
agensi kerajaan dalam pembangunan PKS (termasuk perusahaan mikro) tempatan bagi
menangani masalah itu serta membangunkan PKS negara.

Sehubungan
itu, para pengusaha PKS itu sendiri perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk
turut sama menjayakan usaha kerajaan serta Pelan Induk Perindustrian Ketiga
(IMP3) yang bakal menyusul (2006-2020) dalam usaha negara kita menuju Wawasan
2020

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article