Keberkesanan
penyampaian dan pelaksanaan serta koordinasi yang lebih efektif antara Kerajaan
Negeri dan Kerajaan Pusat akan memastikan kejayaan pelbagai pelaksanaan projek
di negeri ini sepanjang Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).
Tidak
dinafikan, kejayaan pelbagai projek dalam RMK-8 telah banyak mengubah corak
hidup rakyat negeri ini terutama sekali projek-projek jalan yang telah membuka
pekan-pekan kecil dan juga menyediakan ruang untuk perkembangan pelbagai sektor
lain terutama sekali pertanian dan perladangan untuk berkembang.
Begitu
juga dengan kampus tetap Universiti Malaysia Sarawak di Samarahan, kenaikan
taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sibu dan Miri, Lapangan Terbang
Limbang, jambatan Lanang, jambatan Lundu, Oya dan Mukah serta Taman Sahabat
Cina-Malaysia yang menjadi mercu tanda kejayaan RMK-8.
Namun,
ketika pelaksanaan RMK-8 yang lepas, terdapat projek bermasalah yang
dikenalpasti berpunca daripada kelemahan penyampaian dan pelaksanaan serta
koordinasi antara Kerajaan Negeri dan Pusat.
Antaranya
ialah projek pembinaan Penjara Pusat Kuching, empangan mini hidro di Bario dan
Teluk Melanau serta banyak projek pembinaan sekolah dan kemudahan pendidikan
yang lain.
Justeru
ikhtibar perlu diambil bagi memastikan RMK-9 tidak akan menghampakan para
penduduk yang amat menaruh harapan kepada kemudahan-kemudahan yang telah dirancang untuk pelaksanaan.
Demikian
menurut Senator Dato Sri Empiang Jabu ketika berucap membahaskan Usul
Pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan oleh YAB Perdana Menteri semasa
Persidangan Dewan Negara pada Mei lalu.
Menurut
beliau, pembangunan yang telah Sarawak alami selama 42 tahun merdeka di dalam
Malaysia tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa adanya kerjasama yang erat di
antara Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat.
Sehubungan itu,
masalah-masalah yang dihadapi ketika pelaksanaan pelbagai projek pembangunan
boleh diperbaiki melalui saluran koordinasi dan komunikasi agensi Kerajaan
Negeri dan Pusat untuk memperhebat lagi tahap pelaksanaan dan kejayaan RMK-9
untuk manfaat seluruh penduduk di negeri ini.