- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Konsep Zon Pengeluaran

Must read

n. Kadir Jabar, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Mukah

Seluruh tenaga kerja Jabatan Pertanian di Bahagian Mukah kini bersedia untuk melaksanakan konsep zon pengeluaran pertanian seperti yang dikehendaki oleh kerajaan untuk pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Konsep itu amat perlu bagi memajukan sektor pertanian agar ia menjadi satu sektor yang progresif, kompetitif dan dapat menampung keperluan makanan penduduk negara tanpa perlu banyak bergantung kepada produk makanan import.

Ketika ini, pertanian merupakan aktiviti ekonomi utama penduduk di Bahagian Mukah memandangkan kira-kira 67 peratus daripada tenaga kerja di bahagian berkenaan terlibat dalam sektor pertanian.

Menurut En. Kairulnieza Waynie, Penolong Pegawai Perikanan Bahagian Mukah, pelaksanaan sistem zon bagi keluaran pertanian seperti akuakultur, tanaman, ternakan dan integrasi ladang akan memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada pengusaha, malah memudahkan fokus jabatan dari segi penyampaian dan pelaksanaan dalam memberi bantuan serta perkhidmatan di sesebuah kawasan.

Katanya, sistem itu juga akan mewujudkan kakitangan jabatan yang pakar dalam bidang masing-masing kerana penempatan pegawai dan kakitangan pelbagai agensi pertanian adalah berasaskan kepada pengezonan kawasan pengeluaran ataupun produk yang dihasilkan.

Kerajaan negeri turut meletakkan Bahagian Mukah sebagai sasaran pembangunan projek akuakultur di dalam RMK9. Antara produk akuakultur yang akan akan diusahakan ialah ikan siakap, udang galah dan ketam di kawasan tepi laut dan bakau di Tanjung Manis. Seluas kira-kira 500 hektar kawasan untuk pembangunan zon industri akuakultur telah dikenalpasti di situ untuk pelaksanaan pelbagai projek akuakultur.

Untuk tahun ini sahaja, sejumlah RM150 ribu telah diperuntukkan bagi Bahagian Mukah membangunkan projek akuakultur sementara RM50 ribu lagi bagi skim bantuan makanannya.

Sementara itu, En. Kadir Jabar, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Mukah pula beranggapan bahawa sistem zon itu akan memudahkan penggunaan tanah mengikut kesesuaiannya. Bagi Daerah Mukah, sesebuah zon mempunyai kawasan seluas kira-kira 50 hektar.

Misalnya, sebahagian besar dari Bahagian Mukah mempunyai tanah yang diklasifikasikan sebagai organik atau ‘histosols’ dalam istilah taksonomi tanah. Ia amat sesuai untuk tanaman sagu, kelapa sawit dan nenas. Keadaan fizikal tanahnya yang kurang berbukit juga memudahkan usaha berskala besar.

Katanya, Jabatan Pertanian turut mengambilkira faktor kemudahan jalan yang dikatakan amat penting bagi memudahkan limpahan hasil pertanian keluar. Antara yang sedang dalam perancangan ialah projek penanaman tembikai di sepanjang Jalan Mateding sehingga ke Kingwood Hotel.

Jika dilaksanakan kelak, para pengusaha akan lebih mudah menghantar hasil mereka untuk dijual.

Di samping itu katanya, konsep pengezonan itu juga akan memudahkan kemunculan aktiviti industri hiliran seperti pengawetan atau penghasilan produk sampingan daripada keluaran pertanian.

Sebenarnya melalui konsep pengezonan itu pihak industri akan berasa lebih yakin dengan bekalan bahan mentah secara berterusan bagi industri mereka.

Ketika ini, beberapa kawasan di Bahagian Mukah telah dikenalpasti untuk pelaksanaan konsep zon. Tanaman padi sesuai di kawasan Bruit, Daro dan Matu, kelapa pandan di kawasan Sg. Liuk, limau manis di Lubuk Bemban, nanas di Dalat, kelapa sawit di seluruh bahagian, sagu di Mukah dan Dalat, dan akuakultur di Tanjung Manis, Batang Lassa dan Batang Balingian.

Berdasarkan Pelan Strategik Pembangunan Bahagian Mukah (2006-2010), pada penghujung RMK9 Bahagian Mukah dirancang akan mempunyai tanaman kelapa sawit seluas 243,053.57 hektar (79.2 peratus), sagu seluas 53,538 hektar (17.45 peratus), padi seluas 9,158 hektar (2.98 peratus), akuakultur seluas 99.15 hektar (0.04 peratus) dan nanas seluas 1,000 hektar (0.33 peratus).

Jika tercapai bermakna kira-kira 45 peratus daripada keluasan Bahagian Mukah telah diperuntukan untuk pertanian dan perladangan yang menjana serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi penduduknya.

Fakta Insentif Bantuan RMK9

  • Projek pembangunan industri buah-buahan untuk membangunkan dusun yang ada kepada dusun komersil berjumlah RM6,000 sehektar
  • Projek pembangunan kelapa untuk pemulihan semula kawasan kelapa berjumlah RM2,500 satu hektar
  • Projek pembangunan industri sayur-sayuran dan tanaman ladang berjumlah RM6,000 sehektar
  • Ladang organik bagi tanaman sayur organik ialah RM8,000 sehektar
  • Projek pembangunan taman kekal pengeluaran makanan berjumlah RM20,000 sehektar
  • Pembangunan industri komoditi berpotensi seperti rempah ratus, herba dan sebagainya diberi RM5,000 sehektar
  • Industri bunga-bungaan berjumlah RM40,000

(Sumber: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article