Peranan pergerakan koperasi
sebagai sektor ketiga pemangkin pembangunan negara kini semakin penting malah
ianya juga dijangkakan akan terus menjadi penyokong pembangunan negara pada
masa akan datang sebagaimana sektor swasta bertindak memacu pertumbuhan ekonomi
negara ini.
Semasa
kegawatan ekonomi 1997, pergerakan koperasi masih mampu menunjukkan pertumbuhan
positif kecuali sedikit penurunan bagi jumlah keanggotaan koperasi pada tahun
1999.
Definisi,
Konsep dan Falsafah Koperasi
Koperasi adalah satu
organisasi yang dimiliki oleh sekumpulan individu yang bersatu untuk
meningkatkan taraf ekonomi dan perkhidmatan sosial melalui aktiviti-aktiviti
yang dijalankan berdasarkan prinsip-prinsipnya tersendiri.
Pengisytiharan
Deklarasi Manchester sempena Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa
(ICA) di Manchester, England pada tahun 1995 telah mendefinisikan koperasi
sebagai satu pertubuhan autonomi yang menggabungkan individu secara sukarela bertujuan
untuk memenuhi keperluan dan aspirasi ekonomi, sosial dan kebudayaan melalui
satu perusahaan yang dimiliki dan dikawal secara demokratik.
Koperasi
mempunyai falsafahnya yang tersendiri.
Ia tidak mementingkan keuntungan yang maksimum, tetapi lebih
mengutamakan kebajikan anggotanya. Ia
tidak menindas atau melakukan penipuan dalam melaksanakan aktiviti
perniagaannya. Koperasi juga bertujuan
menawarkan perkhidmatan dan barangan dengan harga yang berpatutan. Perkhidmatan yang ditawarkan hendaklah berkualiti
dan menjadi alternatif yang lebih baik kepada masyarakat.
Koperasi
dikawal, ditadbir dan diuruskan oleh anggotanya sendiri sebagai pemilik dan
pelanggan. Keunikan ini memudahkan
koperasi menjalankan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan taraf pendapatan atau
mengurangkan kos sara hidup anggotanya.
Pada masa
yang sama koperasi akan mempunyai jaminan pasaran di kalangan anggotanya bagi
aktiviti atau projek yang dijalankan.
Kerjasama aktif di kalangan koperasi menjadi faktor utama dalam usaha
koperasi mengurangkan kos. Menerusi
kerjasama ini, koperasi berupaya bersaing dengan entiti perniagaan lain.
Prinsip-prinsip
Koperasi
Gerakan koperasi bergerak
berlandaskan tujuh (7) prinsip yang telah dipersetujui dalm ICA dan diterima
pakai oleh koperasi-koperasi di seluruh dunia iaitu :
- Keanggotaan sukarela dan terbuka
- Kawalan demokratik oleh anggota
- Penglibatan ekonomi anggota
- Autonomi dan kebebasan
- Pendidikan, latihan dan maklumat
- Kerjasama antara koperasi
- Prihatin terhadap masyarakat
Perundangan Koperasi
Akta Koperasi
1993 (Akta 502) telah memansuhkan perundangan-perundangan lain yang mengawal
perjalanan koperasi sebelum ini. Akta
ini mengandungi peruntukan bagi penubuhan, pendaftaran, pengawalan dan
pengawalseliaan koperasi-koperasi dan telah digubal untuk menggalakkan
perkembangan koperasi-koperasi,
Koperasi-koperasi juga tertakluk kepada Peraturan-peraturan Koperasi
1995 dan Pekeliling-pekeliling Ketua Pendaftar yang dikeluarkan dari semasa ke
semasa selain daripada Undang-undang Kecil koperasi sendiri.