- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mutu Pengangkutan Awam Perlu Ditingkat

Must read

Bandar Raya Kuching akan berhadapan dengan masalah kesesakan jalan raya yang serius dalam masa lima tahun akan datang jika tiada langkah jitu diambil bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam di situ.

Jangkaan itu berdasarkan fakta bahawa berlaku peningkatan sebanyak dua peratus dalam pendaftaran kenderaan bagi setiap satu peratus peningkatan populasi penduduk di bandar raya itu.

Demikian menurut Dr. Lawrence Tseu, Ketua Penolong Pengarah di Unit Perancang Negeri dalam ceramahnya yang bertajuk “Pengangkutan Bandar dan Persekitaran Mapan – Platfom Menuju Perubahan: Mengenai Kuching” pada Brown Bag Seminar anjuran Institut Pembangunan Sarawak (SDI) dan Unit Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti Jabatan Ketua Menteri di Kuching pada Jun lalu.

Menurutnya, pada tahun 2003, kira-kira 570,000 orang mendiami Bandar Raya Kuching yang seluas kira-kira 430 kilometer persegi. Sementara itu, bilangan kenderaan persendirian berdaftar pada tahun 2004 pula ialah kira-kira 383,029 buah.

Populasinya juga dijangka mencatat peningkatan sehingga mencapai kira-kira 700,000 orang pada tahun 2020 yang seterusnya turut memberi kesan kepada bilangan kenderaan.

Ketika ini kira-kira 65 peratus penduduk bandar raya bergerak dengan kereta sementara 15 peratus menggunakan motosikal.

Menurut Dr. Lawrence, statistik juga menunjukkan kira-kira 77 peratus isi rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kenderaan.

Keadaan itu telah menyebabkan kesesakan yang semakin kritikal terutama pada waktu puncak sehingga membawa kepada pembinaan jalan-jalan baru, lebuh raya serta melebar jalan sedia ada dan membina jejambat bagi menggantikan peranan lampu isyarat.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tindakan berkenaan telah gagal mengatasi masalah itu, malah telah meningkatkan pergerakan bilangan kenderaan persendirian di bandar.

Selain kekurangan tempat meletak kenderaan, keadaan itu turut menjurus kepada peningkatan masalah kesihatan, sosial dan isu alam sekitar.

Perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas tidak menarik minat orang awam kerana kebanyakan bas yang beroperasi telah berusia, tidak mempunyai pendingin udara serta masa perjalanan yang tidak efisyen menyebabkan orang ramai lebih suka memilih kenderaan persendirian.

Golongan berpendapatan rendah juga tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membeli kenderaan persendirian walaupun tindakan itu mungkin membebankan situasi kewangan mereka.

Justeru katanya, kelemahan dalam penyediaan pengangkutan awam perlu ditangani segera oleh semua agensi dan pihak berkaitan dengan menambahbaik sistem pengangkutan awam bukan sahaja di Kuching, malah di semua bandar utama negeri ini.

Jika ia mampu dilaksanakan, satu sistem pengangkutan awam yang mapan akan dapat disediakan dan seterusnya mungkin mampu mengubah gaya hidup dan cara pergerakan masyarakat di Bandar Raya Kuching dan bandar-bandar lain di negeri ini.

Fakta Ringkas Bandar Raya Kuching

Keluasan : 430 kilometer persegi

Populasi : 570,000 orang (Tahun 2003), 700,000 (Tahun 2020)

Kenderaan persendirian : 383,029 buah (197,882 kereta dan 185,147 motosikal) (Tahun 2004)

Jumlah bas : 1058 (1998), 1075 (2004)

Keseluruhan kenderaan : 1,597 (Tahun 1955) 446,498 buah (Tahun 2004)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article