- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Pembangunan Mapan

Must read

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2002, melalui Resolusi 57/254, telah menetapkan bahawa tempoh selama 10 tahun bermula pada tahun 2005 sehingga 2014 diisytiharkan sebagai “Dekad Untuk Pendidikan Pembangunan Mapan PBB” (UN DESD).

United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) yang diberi peranan sebagai agensi utama untuk mempromosikan dekad itu ke seluruh dunia amat memerlukan sokongan daripada semua kerajaan di dunia.

Apa yang Diharapkan dalam Pembangunan Mapan?

Pembangunan mapan merupakan hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup semua orang dalam aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar, tetapi tidak mengabaikan keperluan generasi pada masa akan datang.

Ini kerana sumber yang ada pada hari ini perlu digunakan dengan sebaik mungkin agar ia dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.

Tetapi umum menyedari bahawa aspek meningkatkan kualiti hidup mungkin berbeza-beza antara negara dan wilayah.

Sehubungan itu tidak ada mana-mana negara, wilayah, kerajaan, institusi mahupun individu dapat menjayakannya seorang diri kerana cabaran terpenting untuk mencapai pembangunan mapan memerlukan kerjasama global, kolektif dan komitmen setiap individu.

Pendidikan dalam Pembangunan Mapan

Sepanjang “Dekad Untuk Pendidikan Pembangunan Mapan PBB”, pendidikan akan dijadikan instrumen utama bagi mempromosikan pembangunan mapan.

“Pendidikan – sebarang bentuk dan pada semua peringkat – bukan sahaja terhad kepada dirinya tetapi merupakan instrumen terpenting bagi membawa perubahan untuk mencapai pembangunan mapan.” (Koichiro Matsuura, Director-General UNESCO).

Sehubungan itu, semua negara di dunia perlu turut sama memainkan peranan bagi menjayakan harapan dalam dekad itu dengan mengintegrasikan strategi pendidikan kebangsaan dengan Pendidikan Pembangunan Mapan (ESD) serta pelan tindakan yang berkaitan.

Bagi mencapai usaha berkenaan, semua kerajaan perlu memfokuskan kepada

  1. mempromosi serta meningkatkan kualiti pendidikan
  2. melihat kembali hala tuju program pendidikan
  3. meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang awam
  4. menyediakan latihan praktikal

Selain daripada memberi kesedaran dan pemahaman orang ramai tentang pembangunan mapan, ESD juga mengharapkan agar orang ramai dapat mengubah sikap, tingkah laku dan tindakan dalam kehidupan seharian yang boleh menjejaskan kepentingan generasi akan datang dan pada masa yang sama mampu menikmati hasil pembangunan.

Kerajaan Malaysia di dalam Bajet 2006 telah menekankan betapa pentingnya usaha meningkatkan kualiti alam sekitar. Sebanyak 1.9 bilion ringgit telah diperuntukkan untuk melaksanakan projek pemuliharaan alam sekitar.

Peruntukan itu semata-mata bagi memastikan bahawa pembangunan fizikal negara akan diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar demi memastikan pembangunan mapan dapat dipertahankan.

Peruntukan yang tinggi serta pelbagai program yang sedang dan akan dilaksanakan, termasuk dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan disaingi dengan usaha memberi pendidikan pembangunan mapan yang sewajarnya kepada segenap lapisan masyarakat.

Hanya dengan usaha itu, orang ramai akan lebih memahami dan seterusnya turut sama memainkan peranan masing-masing untuk mencapai aspirasi manusia di seluruh dunia itu.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article