- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Usaha yang Ikhlas ke Arah Kesempurnaan

Must read

Dalam melaksanakan sebarang pekerjaan
kita dituntut agar mengendalikannya dengan penuh amanah atau kejujuran.

Amanah ialah hak kepunyaan suatu pihak
berada pada pihak yang lain. Tuan yang punya hak tidak mempunyai sebarang bukti
untuk menuntutnya kecuali sifat kejujuran yang ada pada pihak pertama, yang
akan mengakui bahawa sesuatu yang ada padanya itu adalah hak kepunyaan orang
lain.

Amanah adalah perjanjian kepercayaan yang
terletak di atas bahu kita atau yang kita letakkan ke atas orang lain.

Dalam hal ini tiada sebarang saksi untuk
mengawal perjanjian tersebut selain daripada rasa tanggungjawab rohani.

Rasa kebertanggungjawaban itulah yang
menjadi pengukur sama ada seseorang itu beramanah atau tidak untuk menjalankan
sesuatu tugas dengan baik seperti yang ditetapkan.

Orang yang amanah sentiasa berusaha
bersungguh-sungguh melaksanakan setiap kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke
atasnya.

Dia akan menggunakan segala daya
usahanya untuk mempertingkatkan kesungguhannya dalam melaksanakan tugas itu
sehingga ke tahap yang dia termampu dilakukannya.

Sifat ini menjadikan seseorang pekerja
itu begitu ikhlas terhadap tugasnya serta mengambil berat untuk terus
memperbaiki mutu kerjanya.

Ini sebenarnya adalah jelmaan ke atas
usaha untuk membudayakan kecemerlangan dalam pekerjaan atau organisasi kita.

Dalam usaha untuk membentuk budaya kerja
cemerlang dalam organisasi, orientasi pekerja atau kakitangan haruslah bergerak
di atas landasan yang betul iaitu mesti ada komitmen, mempunyai kesedaran
kualiti, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk cemerlang.

Kerja yang hendak dilaksanakan perlu
dilakukan dengan sepenuh hati atas kehendak organisasi dengan mengetepikan segala
kepentingan lain.

Penting bagi sesebuah organisasi
mewujudkan mind-set yang berorientasikan kecemerlangan supaya pekerja
atau kakitangan lebih komited kepada matlamat utama jabatan.

Seseorang pekerja tidak diharuskan
menggunakan jawatannya untuk mendapatkan sebarang keuntungan peribadi atau kaum
kerabatnya.

Di dalam hadis Rasulullah SAW yang
diriwayatkan oleh Abu Daud Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Seseorang
yang kita telah lantik untuk menjalankan sesuatu tugas dan kita telah tentukan upahnya
sekali, sekiranya dia mengambil sebarang keuntungan selepas itu, maka dia
adalah penipu.”

Pekerja itu dikatakan menipu kerana dia
telah memperdayakan pihak yang telah memberikan pekerjaan dan upah dengan
mencuri masa untuk melakukan kerja yang di luar perjanjian. Dia telah melakukan
penyelewengan terhadap tugasnya.

Setiap orang daripada kita
berkuasa. Mungkin kuasa ini
terhad. Mungkin cuma berkenaan dengan perbelanjaan wang,
penguatkuasaan aturan atau undang-undang atau arahan atau lain-lain lagi
yang diamanahkan kepada kita. Jika kita tidak beramanah sudah tentu segala kerja tidak akan
sempurna dan matlamat tidak akan tercapai.

Akibat
tidak ada amanah amatlah buruk kepada diri kita, sistem pentadbiran kita
dan juga masyarakat.

Sebagaimana yang kita tahu dalam
sebarang pekerjaan atau usaha, kita tidak dapat melaksanakannya seorang
diri. Kita memerlukan penglibatan
orang lain bersama untuk
menjayakannya.

Maka kerana itu sifat amanah dalam
pekerjaan amat penting kerana bagaimanakah dapat kita membuat sesuatu perkara
itu dengan baik jika kita tidak
boleh yakin dan
percaya kepada orang
lain yang terlibat membantu?

Jika kita dikenali sebagai individu yang
kurang beramanah, maka sudah pastinya akan menyebabkan kepercayaan orang
lain kepada kita berkurangan atau mungkin tiada
langsung!

Perkara ini jika berlaku, ianya akan
menjejaskan keseluruhan sistem hidup kita sebagai individu, masyarakat dan
negara.

Orang tidak amanah tidak ubah seperti
parasit dalam organisasi dan masyarakat.
Mereka hidup menempel pada kita
dan menyedut segala zat, nikmat, faedah dan keuntungan yang kita usahakan untuk
memastikan dirinya terus hidup dan dalam masa yang sama memudaratkan kita
dengan memperkudakan kita serta melemahkan dan akhirnya membunuh kita.

Sebagai sebuah organisasi seperti
Perkhidmatan Awam, setiap individu yang menganggotainya mesti menjaga serta
mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kita
dianggap sebagai pecah amanah seperti menyalahguna kuasa atau mengambil
rasuah.

Hal ini harus diingati dan
dibudayakan. Ini kerana kedudukan kita
dalam Perkhidmatan Awam sama ada kita sebagai ketua jabatan mahupun hanya
sebagai seorang pemandu, sebenarnya adalah peluang dan amanah yang diserahkan
ke atas kita oleh masyarakat yang mana masyarakat mengharapkan kita membantu
mereka mendapat peluang yang sama rata dalam menikmati dan meneruskan kehidupan
ini.

Tidak ada manusia yang tidak cacat. Yang penting bagi manusia bukan kesempurnaan 100 peratus, tetapi usaha yang ikhlas ke arah kesempurnaan. Cuma Tuhan sahaja yang sempurna.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article