- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Industri Batik Negara

Must read

Dalam usaha membawa
industri batik negara ke persada dunia, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan sejak tahun lalu telah memulakan usaha merangka dasar bagi membolehkan
pembangunan industri batik negara terus berdaya maju.

Pembentukan dasar baru itu melibatkan pengkajian semula
dan pengemasan strategi pemasaran batik tempatan yang perlu untuk
pembangunannya.

Pada
tahun lalu, terdapat seramai 320 usahawan yang bergiat aktif dalam pengeluaran
batik, berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Majoriti
usahawan berkenaan beroperasi di Negeri Kelantan dan Terengganu.

Pengeluaran batik
secara komersil di negara ini bermula pada penghujung 1980-an. Pengkomersilannya
bukan sahaja menyediakan pendapatan kepada para pengusaha, bahkan meningkatkan
imej kampung pengusaha kepada para penggemar batik untuk melihat sendiri cara
pembuatannya. Pada tahun lalu, pengeluaran mereka dianggarkan bernilai RM180.6
juta.

Angka tersebut
memberi gambaran kepada kita bahawa perusahaan batik mempunyai potensi besar
untuk dibangunkan sebagai sebuah industri yang berdaya maju di negara ini.

Ia dikukuhkan lagi
dengan Kajian Penerimaan Pengguna yang diadakan pada tahun 2003. Kajian itu
menunjukkan bahawa batik merupakan antara produk yang paling digemari oleh
pembeli individu hampir semua kaum di Malaysia.

Batik juga disukai
oleh pelancong asing dan direkodkan sebagai produk kedua paling diminati oleh
mereka selepas produk kayu kraf. Di kalangan pembeli korporat pula, batik
menduduki tempat ketiga selepas produk pewter
dan kayu kraf.

Umumnya, perusahaan
batik di Malaysia ketika ini boleh dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu
Batik Blok, Batik Tulis, Batik Skrin serta Batik Pewarnaan Asli.

Setiap satunya
mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri serta boleh ditampilkan
sebagai fesyen tradisional dan kontemporari mahupun untuk aksesori tambahan
serta hiasan dalaman.

Kesesuaiannya dalam
dunia fesyen turut disedari oleh Penaung Pergerakan Batik Malaysia, Datin Seri
Endon Mahmood yang juga isteri Perdana Menteri sehingga beliau menggesa supaya
para peragawati meningkatkan penggunaan kain batik dalam persembahan mereka.

Malah Perdana Menteri
juga telah menyarankan supaya kakitangan perkhidmatan awam menggunakan baju
batik setiap hari Sabtu bekerja dalam usaha menyokong industri batik negara
sehingga dalam Persidangan Dewan Negara pada Disember 2004, pihak Jabatan
Perkhidmatan Awam telah memaklumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan
Pekeliling Pemakaian Baju Batik kepada pegawai sektor awam sebagai menyahut
saranan Perdana Menteri itu.

Selain itu, promosi
besar-besaran juga dilaksanakan bagi mempopularkan batik seperti Minggu Batik
Malaysia dengan tema ‘Batik Malaysia – Ciptaan Untuk Dunia’ (2004), Fiesta
Batik Extravaganza dan World Batik
Convention and Exhibition
2005.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) juga telah mengadakan
Konvensyen Inovasi Batik Malaysia pada tahun 2003. Pada tahun yang sama juga
diwujudkan sebuah Pusat Inovasi Batik di Kelantan.

Sebenarnya usaha
telah lama dibuat untuk mempopularkan produk batik sungguhpun penggunaan serta
promosi kain batik hebat diperkatakan kebelakangan ini,

Walau bagaimanapun,
dalam usaha membawa perusahaan batik ke tahap industri memerlukan usaha
berlipat ganda.

Ia kerana kita bukan
sahaja melihat produk batik untuk pasaran negara, malahan untuk pasaran luar
negara.

Sehubungan itu,
Perdana Menteri sendiri telah mendapatkan kerjasama daripada pihak Universiti
Teknologi Mara (UiTM) berkaitan hal pemasaran produk batik negara. Ia
dilaksanakan dengan menggabungkan kumpulan pengeluar batik dengan anak muda
lulusan UiTM yang berkeupayaan membantu aspek pemasarannya melalui program yang
dikenali sebagai ‘Tunas Mekar’.

PKKM juga telah
mengambil beberapa strategi dan tindakan yang terancang, melalui R&D, Program Pembangunan Usahawan,
Program Pembangunan Tenaga Mahir dan Program Pemasaran dan Promosi.

Skim Inkubator di
bawah Program Pembangunan Usahawan dan Skim Pendidikan Kraf anjuran PKKM
Cawangan Sarawak, misalnya, telah membuka ruang bagi perkembangan industri
batik di negeri ini.

Dalam usaha
menghadapi persaingan global, PKKM dengan kerjasama SIRIM telah memantapkan
piawaian batik MS692 yang digunakan sejak tahun 1981. Edisi kedua Standard
Batik Malaysia itu dibangunkan bersama-sama dengan agensi dan usahawan yang
terlibat dalam industri batik.

Dasar baru itu nanti sudah
tentu akan menjadikan perusahaan batik sebagai satu industri yang berdaya maju
serta membawa keuntungan berlipat ganda kepada pengusahanya. Tambahan pula,
kedudukannya sebagai salah satu daripada warisan budaya negara telah
menjelaskan bahawa ia perlu dipertahan dan dibangunkan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article