- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Zon Industri Tani

Must read

Cadangan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (KPIAT) telah
mengetengahkan idea untuk mewujudkan zon industri tani di setiap negeri
memberikan petanda baik
kepada sektor pertanian dan sektor pengeluaran makanan negara.

Zon industri tani adalah satu kawasan yang akan dibangunkan dengan
aktiviti-aktiviti pertanian berdaya maju dan berskala besar dengan fokus lebih
terarah kepada pembangunan aktiviti pertanian dalam lingkungan zon tersebut.
Konsep ini menyamai konsep seperti pengwujudan zon-zon perindustrian yang ada
kini dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap.

Konsep zon industri pertanian itu nanti merangkumi bukan sahaja aktiviti
pertanian malah perikanan (akuakultur) dan penternakan. Selain memudahkan
aktiviti pemantauan dijalankan, ia turut meningkatkan tumpuan ke atas aspek
pemasaran, pengeluaran dan inovasi dan
infrastruktur sokongan.

Malah, para pengusaha boleh meningkatkan hasil pertanian
dengan disokong
keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tersebut,
di samping kerajaan menumpukan khidmat sokongan di kawasan terbabit.

Apabila kita berbicara tentang sektor pertanian luar
negara, akan terbayang di fikiran kita
tanah yang luas, penggunaan jentera, infrastruktur ladang yang teratur serta
rangkaian dari pengeluaran sehinggalah penjualan hasil ladang tersusun rapi.

Keadaan sedemikian yang ingin diwujudkan di negara
kita yang kemudiannya akan mengubah persepsi kita terhadap sektor pertanian
yang sebelum ini disifatkan tidak berdaya maju dan kurang menguntungkan.

Mungkin cadangan tersebut nampak menarik di atas kertas,
namun setakat mana ia mampu dilaksanakan menjadi persoalan kepada kita kerana
kejayaan sektor pertanian ini turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Beberapa pendekatan yang menyeluruh perlu diambil dan
kesepakatan perlu dicapai terlebih dahulu. Sebagai contoh sektor pertanian masih berhadapan dengan
masalah mendapatkan tapak kerana terpaksa “memberi laluan” kepada pelbagai
sektor lain yang dilihat lebih menguntungkan seperti sektor perindustrian dan
sektor pembinaan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pernah menegur
kerajaan negeri berhubung penyediaan tapak bagi zon industri pertanian di
setiap negeri, yang beliau harap dapat dipermudahkan lagi prosesnya.

Jelas beliau, kejayaan projek ini sangat bergantung
kepada kelulusan kerajaan negeri (terutama pengambilan tanah untuk projek
pertanian) dan syarat-syarat lain yang akan dikenakan kepada
pengusaha-pengusaha yang akan memaju projek tersebut. Di pihak kementeriannya,
menurut beliau, sudah dikenalpasti
beberapa kawasan di beberapa negeri untuk dibangunkan.

Beliau percaya sekiranya projek itu dibangunkan
sebagaimana kesungguhan ditunjukkan kerajaan negeri membangunkan sektor
perindustrian berserta dengan kemudahan asasnya, sektor pertanian akan mampu
pergi lebih jauh.

Namun dalam masa yang sama,
beberapa perkara perlu diteliti bagi menjamin usaha tersebut mencapai
objektifnya seperti mengembalikan keyakinan di kalangan pihak swasta untuk melabur
dalam sektor pertanian.

Keadaan ini berasaskan kepada
sambutan dingin dari pihak swasta walaupun kerajaan telah memperkenalkan
beberapa insentif sejak 2001 lagi antaranya seperti potongan
100 peratus ke atas perbelanjaan modal, Taraf Perintis atau Elaun Cukai
Pelaburan selama 5 tahun dan Elaun Pelaburan Semula selama 15 tahun
,
namun para pelabur kurang yakin kepada
potensi mendapat keuntungan daripada pelaburan dalam industri sektor makanan
.

Di samping itu, masalah seperti tenaga kerja juga
perlu diambil kira, ini disebabkan pembukaan sesebuah kawasan baru atau zon baru memerlukan pekerja di sektor
berkenaan. Kita tidak mahu kesannya akan berakhir dengan pengambilan lebih
banyak pekerja asing dari luar negara akibat ketiadaan tenaga kerja tempatan.

Perancangan teliti mengenai kesesuaian tapak, tanah dan aspek alam
sekitar perlu diambil kira kerana kita tidak mahu pengujudan zon tersebut
mengundang pelbagai masalah antaranya pencemaran.

Selain itu, penggunaan teknologi pertanian dan
penyelidikan yang belum meluas di negara kita masih perlu diatasi terlebih
dahulu. Seperti yang pernah disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Haji Ahmad Badawi sewaktu “Persidangan Halatuju Sektor Pertanian Dan
Industri Asas Tani” pada 12-13 Ogos 2004, beliau melihat banyak hasil penyelidikan dan teknologi belum “dibawa” ke kolam dan ladang sepenuhnya.

Bukanlah keluasan
saiz tanah yang menjadi ukuran, tetapi hasil pertanian yang diperolehi dan
disinilah pentingnya teknologi dan penyelidikan diaplikasikan. Mungkin kita
perlu mencontohi Amerika Syarikat yang hanya 5 peratus penduduk terlibat dalam
sektor pertanian tetapi berupaya mengeluarkan hasil pertanian untuk 270 juta
orang.

Perlu difikirkan juga walaupun sebaik mana rancangan
kerajaan untuk menjayakan sektor pertanian, namun pada akhirnya, semua itu
bergantung kepada para petani, penternak dan nelayan sendiri yang akan
mengerakkannya dan memastikan ianya berjaya atau berdaya maju.

Dalam masa yang
sama usaha untuk menarik minat golongan muda berkecimpung dalam sektor ini
harus digiatkan. Ini termasuklah mengubah sikap dan minda mereka untuk
mengambil inisiatif membangunkan tanah terbiar serta menceburkan diri dalam
bidang pertanian moden.

Kita berharap zon
tani ini tidak akan mengalami nasib yang sama dengan lain-lain program yang
“kurang berdaya maju”. Jadi perlu wujudnya kerjasama semua pihak termasuk
agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak pelabur (swasta).

Kita tidak mempunyai pilihan, tetapi terpaksa
membangunkan sektor pertanian. Sampai bila kita harus bergantung kepada import
makanan, yang diramal mungkin mencecah
RM22 billion tahun ini berbanding RM13 billion tahun lepas.

Malah persaingan sengit akibat pengenalan AFTA
(Kawasan Perdagangan Bebas Asia) dan WTO
(Pertubuhan Perdagangan Dunia) diramal turut mengakibatkan kesukaran produk
pertanian menembusi pasaran dunia sekiranya kita tidak kompetitif.

Sektor pertanian negara tidaklah jauh ketinggalan, kerana terdapat beberapa kejayaan
petani yang boleh dicontohi antaranya penanam-penanam padi di Sekinchan yang
secara puratanya, berupaya menghasilkan 10 tan padi sehektar dan ada di antara
mereka yang berupaya menghasilkan sehingga 12-13 tan sehektar dan ini melebihi
dan mengatasi purata penghasilan negara iaitu antara 4-5 tan sehektar.

Program Ladang Pertanian Moden di Johor, sebagai
projek Pertanian Moden Bersekala Besar yang pertama di Malaysia yang
dilancarkan awal tahun lepas perlu dilihat sebagai contoh terbaik setakat ini apabila berjaya menyatukan
sebanyak 21 syarikat dengan perbelanjaan hampir satu bilion ringgit dalam
pelbagai projek yang mencakupi huluan
dan juga hiliran.

Malah
beberapa buah negeri seperti Johor telah pun memberi tumpuan kepada sektor ini
yang sehingga tahun lepas (2004), telah menambah zon-zon
tanaman pengeluaran makanan seluas
kira-kira 15,000 ekar, zon ternakan seluas 7,000 ekar dan ternakan ikan
akuakultur seluas 25,000 ekar sebagai tambahan kepada kawasan-kawasan yang
sedia ada. Kini ramai peserta projek yang berpendapatan bulanan bersih melebihi
RM 5,000.

Negeri Sarawak juga telah menunjukkan kesungguhan
membangunkan zon pengeluaran makanannya. Sehingga kini, kerajaan Negeri Sarawak
melalui Kementerian Industri Makanan dan Kerajaan Tempatan telah mengenalpasti
empat zon makanan tetap iaitu di Samarahan, Sarikei dan Suai serta Bekenu di Miri untuk dibangunkan.

Selain itu, kerajaan Negeri Sarawak juga sedang merangka program khusus untuk membuka kira-kira
sejuta hektar ladang sawit, yang turut membabitkan tanah berstatus Hak Milik
Adat (NCR) menjelang 2010.
Projek mega lain yang sedang dalam perancangan dan akan diberi tumpuan
dalam Rancangan Malaysia ke-9 adalah kegiatan perikanan laut dalam di Tanjung
Manis, Mukah dan membangunkan Miri sebagai pusat pendaratan ikan tuna di
Malaysia Timur.

Jika
bidang pertanian kita diurus secara professional, kita mampu berjaya seperti
negara maju yang lain. Kerajaan sudah memiliki program, bantuan dan kemudahan,
jadi kini terpulang kepada kita semua. Peruntukan yang besar sejumlah RM1.5
billion seperti yang diperuntukan dalam Bajet 2005 serta insentif sektor pertanian dalam Bajet
2001 dilanjutkan selama 5 tahun lagi sudah cukup membuktikan kerajaan ingin melihat sektor pertanian ini
terus dimajukan.

Hanya dengan pelbagai pendekatan yang menyeluruh
sahaja, akan dapat mencapai objektif negara tersebut. Perdana Menteri pernah
berkata, kerajaan akan memberikan “profil baru” kepada sektor pertanian yang menjadi enjin
pertumbuhan ketiga penting negara ketika ini.

Satu gerakan bersepadu pelbagai pihak termasuk
kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu digerakkan bagi
merealisasikan harapan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk tidak lagi
mengimport makanan menjelang 2010.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article