Kementerian Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah (KKLW) akan menggiatkan usaha merapatkan jurang pendapatan
antara masyarakat bandar dan luar bandar melalui penglibatan pelbagai agensi
kerajaan dan pihak swasta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Antara
usaha yang sedang dilaksanakan oleh KKLW ialah mengenal pasti kelompok-kelompok
masyarakat miskin dan miskin tegar serta mengenal pasti aktiviti-aktiviti
ekonomi sedia ada yang boleh meningkatkan pendapatan golongan ini.
Demikian menurut Timbalan Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Dr. Tiki anak Lafe pada persidangan
Dewan Negara serta persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Katanya, bagi meningkatkan prestasi pelaksanaan semua
program di kawasan luar bandar, KKLW akan mengoptimumkan penglibatan
agensi-agensi di bawahnya seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan
Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta agensi-agensi
kerajaan negeri untuk mengenalpasti kawasan yang mempunyai masyarakat miskin
dan miskin tegar serta kekurangan prasarana kemudahan asas.
KKLW
telah mengenalpasti bahawa tumpuan akan diberikan kepada peningkatan aktiviti
ekonomi luar bandar khasnya pendapatan daripada hasil pertanian.
Ia
dilaksanakan melalui aktiviti tanam semula, khasnya tanaman getah dan kelapa
sawit, pembekalan benih tanaman, baja, latihan pengembangan dan kegiatan
ekonomi tambahan yang meliputi tanaman kontan, ternakan, perikanan, perniagaan
dan industri kecil dan sederhana.
Turut
diberi perhatian ialah pembangunan tanah berkelompok, estet mini, ladang rakyat
dan Projek Ternakan Integrasi serta khidmat sokongan lain seperti kemudahan
pemasaran hasil pertanian, bantuan kredit, latihan kemahiran, kemudahan
prasarana serta kemudahan teknologi pertanian.
Kegiatan
ekonomi bukan perniagaan seperti industri desa dan pelancongan desa juga amat
berpotensi bagi pelaksanaan melalui penglibatan agensi kementerian iaitu
FELCRA.
Minda Kelas Pertama
Pembangunan
pendidikan yang menjadi tunjang pembangunan masyarakat tidak dipandang ringan.
KKLW berkeyakinan bahawa usaha membina minda kelas pertama di kawasan luar
bandar juga harus bermula pada peringkat awal.
Dalam RMK9, sejumlah
RM744 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf bangunan dan kemudahan di
kelas-kelas Tabika.
Di samping itu, tahap
profesionalisme guru-guru Tabika juga akan dipertingkat melalui dua pendekatan.
Pertama, melalui kursus dalam cuti dan kedua, Kursus Diploma Perguruan Malaysia
bagi kemasukan ke dalam perjawatan perguruan KEMAS.
Ketika ini KEMAS
mengendalikan kira-kira 8,307 buah kelas Tabika dengan sejumlah 195,314
kanak-kanak dan 271 buah kelas Taska dengan seramai 3,472 kanak-kanak di
seluruh negara.
Melalui aktiviti
pengajaran dan pembelajaran, amalan nilai-nilai murni, kemahiran berfikir dan
menyelesaikan masalah, daya kreativiti dan estetika serta kecerdasan fizikal
diterapkan kepada kanak-kanak secara holistik dan bersepadu.
Antara aktivitinya
ialah hari potensi kanak-kanak Tabika, hari sukan, kelas Fardu Ain, kelas
Bahasa Inggeris dan seni mempertahankan diri.
KEMAS juga
mengendalikan sebanyak 287 buah kelas pusat sumber yang mempunyai peserta
seramai 52,140 orang dan kebanyakannya adalah murid-murid sekolah rendah dan
menengah yang menjalankan aktiviti kokurikulum seperti pertandingan membaca,
pidato, teater dan bercerita.