- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pertanian Adalah Perniagaan

Must read

Adakah sektor
pertanian bukan suatu perniagaan yang menguntungkan pada hari ini? Dahulu
mungkin benar pendapat yang mengatakan bahawa sektor pertanian merupakan
aktiviti yang sukar memberikan pulangan lumayan serta kemewahan kepada
pengusahanya.

Mungkin kerana pada
ketika itu ramai yang mengusahakannya sekadar bagi menyara diri ataupun untuk
keperluan keluarga.

Namun, perubahan
teknologi dan keadaan semasa telah menjadikan sektor pertanian pada hari ini
bagaikan ‘lubok emas’ bagi mereka yang menjadikannya satu perniagaan.

Di kawasan Muara
Tuang Samarahan, kepelbagaian rojek pertanian yang diusahakan di situ telah
memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 warga tani. Berdasarkan kajian bagi
kawasan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Samarahan yang dijalankan
oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada tahun 2004, secara purata
pendapatan petani telah meningkat dari RM350 pada tahun 1982 kepada RM1,000
pada tahun 2004.

Jelas bahawa
pertanian bukan sahaja mampu membawa keuntungan, bahkan kemewahan kepada
pengusaha yang menjadikannya sebagai perniagaan.

Sehubungan itu, tema
‘Pertanian Adalah Perniagaan’ sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan
(HPPN) Peringkat Negeri pada tahun ini sungguh bersesuaian dengan situasi
pertanian semasa. Pada tahun lalu ia bertemakan ‘Pertanian Suatu Perniagaan’.

Tema itu dipilih
dengan tujuan agar industri pertanian dan industri asas tani akan dianggap
sebagai satu kerjaya yang menjamin masa depan serta memberi keuntungan yang
lumayan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat pertanian
yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Lubok Emas dalam Sektor Pertanian

Pada tahun lalu,
sebanyak 8.2 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negara
disumbangkan oleh sektor pertanian.

Sementara itu nilai
ditambah bagi sektor pertanian dan industri berasaskan pertanian adalah
sebanyak RM38.5 bilion.

Pada masa yang sama,
pendapatan eksport bagi industri berasaskan pertanian mencapai RM37.4 bilion.

Kerana potensi itu,
kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM11.4 bilion dalam RMK9, iaitu 70
peratus lebih tinggi daripada peruntukan dalam RMK8 dan menjangkakan
sejumlah 128,000 pekerjaan baru secara langsung dapat
diwujudkan dalam sektor ini dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Ketika ini, kira-kira
816,813 individu atau 7.2 peratus daripada jumlah tenaga buruh negara terlibat
dalam sektor pertanian.

Malahan, kerajaan
telah mengenalpasti beberapa sumber pertumbuhan baru seperti ikan hiasan,
rumpai laut, tuna dan florikultur (industri nurseri), landskap serta herba
untuk diberi perhatian khusus kerana potensi yang amat baik untuk pasaran
tempatan dan eksport.

Sepanjang lima tahun
lalu, sejumlah 535 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah
dilaksanakan oleh agensi penyelidikan pertanian.

Namun, hanya 90 telah
dikomersilkan manakala 30 lagi dalam proses pengkomersilan (Sumber: Usul
mengenai RMK9).

Umpamanya, Institut
Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menghasilkan 44
produk makanan dan 200 teknologi pemprosesan bagi membantu aktiviti enterpris
kecil dan sederhana (EKS) di negara ini mengembangkan perniagaan mereka selaras
dengan pasaran semasa.

Bayangkan jika semua
hasil R&D negara dieksploitasi sepenuhnya, sudah tentu ia mampu menjimatkan
banyak kos, menjimatkan proses dan mendapat pasaran lebih luas.

Kerajaan negeri pula
akan memberi penekanan kepada aspek pembangunan manusia dalam RMK9.

Menerusi Pertubuhan
Peladang, kerajaan negeri mensasar untuk melahirkan sekurang-kurangnya 150
usahawan tani serta melaksanakan 30 projek di bawah sistem pertanian
berkelompok.

Program baru yang
dinamakan Pembangunan Usahawan Tani di bawah Jabatan Pertanian juga akan
dilaksanakan. Ia bertujuan melahirkan usahawan dalam industri tanaman, ternakan
dan perikanan.

Program pengembangan
yang memberi pendedahan cara penggunaan teknologi pertanian cara baru dan juga
selok belok cara berniaga akan terus diperkasa.

Dengan segala
kemudahan yang telah disediakan, sektor pertanian negeri dan negara keseluruhannya,
sebenarnya telah menyediakan ruang bagi sumber kekayaan yang tidak ternilai
kepada mereka yang berani mencubanya dan mampu melihat pertanian adalah
perniagaan yang amat menguntungkan.

Perniagaan Pertanian yang Menguntungkan

Ketika ini, konsep serta
strategi yang lazim digunapakai dalam perniagaan telah sebati dalam ke dalam
sektor pertanian. Konsep pengurusan berkesan, pemasaran, pembungkusan,
penjenamaan, pinjaman kewangan serta skim akreditasi dan piawai bukan lagi
perkara asing bagi seorang petani moden.

Umpamanya, ramai
petani dan pengusaha berusaha mendapatkan skim akreditasi ladang dan piawai
keluaran yang mematuhi piawai keselamatan makanan negara dan antarabangsa
kerana ia merupakan tiket asas untuk meluaskan pasaran dan mendapatkan keyakinan
pengguna terhadap produk mereka.

Pembungkusan dan
penjenamaan pula amat perlu bagi menarik perhatian pembeli mendapatkan barangan
mereka.

Kaedah perdagangan
elektronik melalui portal ‘FAMAXchange’ dan ‘Agribazaar’, di samping ‘Ikan
Online’, ‘SIRIP’ dan ‘Padi Net’ pula telah membuka peluang pemasaran yang lebih
besar kerana ia menjadi tumpuan para pemborong, pasar raya, hotel dan tempat
peranginan mendapatkan produk pertanian yang berkualiti dan kompetitif dari
segi harga serta tawaran lain.

Sehubungan itu,
kira-kira 170 buah kemudahan Medan Info Desa (MID) yang sedang dilaksana dan
masih giat diperluas oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)
ke kawasan luar bandar seluruh negara sudah tentu akan meningkatkan akses
penduduk luar bandar kepada portal yang disebutkan.

Di Sarawak pula,
kira-kira 28 buah Pertubuhan Peladang akan dilengkapi kemudahan internet khas
bagi kegunaan ahli-ahlinya.

Bagi petani yang
terlibat dengan hasil komoditi yang selalunya dijual secara pukal seperti
getah, lada dan koko, masa yang paling sesuai untuk menjualnya kepada pemborong
atau pembeli juga memainkan peranan penting.

Sepertimana kegiatan
jual beli saham berlangsung, para petani di luar bandar juga semakin menyedari
peri pentingnya masa yang sesuai untuk menjual komoditi atau hasil pertanian
mereka. Masa yang dianggap sesuai ialah ketika harganya meningkat disebabkan
permintaan yang tinggi.

Harga pasaran getah
umpamanya diramal akan terus meningkat kerana peningkatan dari segi kos bagi
pembuatan barangan plastik tiruan daripada hasil petroleum. Pihak industri kini
lebih berminat menggunakan getah tulen untuk menghasilkan produk mereka kerana
harganya yang jauh lebih kompetitif.

Kesannya telah
membawa kepada pembukaan ladang dan penanaman semula pokok-pokok getah. Ramai
petani yang mengusahakan tanaman komoditi lain seperti koko dan lada juga mula
beralih arah kepada tanaman getah.

Sehubungan itu,
peranan daripada sektor swasta amat diperlukan bagi mempercepat perkembangan
yang sedang berlaku dalam sektor pertanian negara.

Selain contoh tanaman
getah di atas, pengenalan dan penekanan kerajaan kepada konsep ‘agropolis’ bagi
memudahkan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan pertanian umpamanya harus
disambut segera.

‘Agropolis’ merupakan
satu usaha untuk menggalakkan sektor swasta melabur dalam kegiatan pertanian
komersil dan perusahaan makanan di negeri ini oleh sektor swasta.

Jika sektor swasta
mampu mengambil peranan lebih besar dalam sektor pertanian negara, sudah tentu
taraf kehidupan masyarakat kita di luar bandar juga akan dapat dikeluarkan
daripada arus kemiskinan selaras dengan misi nasional.

Pendapat lama yang
mengatakan sektor pertanian kurang penting dan tidak mampu memberi kekayaan
juga lambat laun akan terhakis daripada minda masyarakat kita kerana sektor
pertanian juga sebenarnya telah melalui proses pemodenan dan pembangunan yang
amat pesat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article