Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Patinggi
Tan Sri Dr George
Chan Hong Nam
Penggunaan
teknologi berasaskan sumber terbuka di Sarawak khasnya masih berada pada tahap
rendah akibat kurangnya kesedaran dan pendedahan mengenai kemampuan teknologi
berkenaan.
Sikap
terlalu bergantung kepada perisian komersil yang sedia ada turut menyumbang
kepada kurangnya penerimaan pengguna walaupun teknologi ini telah lama
bertapak.
Jika ditinjau dari
aspek lain, teknologi berasaskan sumber terbuka sebenarnya menyediakan satu
lagi pilihan dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan memberikan banyak penjimatan kos.
Melaluinya, setiap pengguna boleh berkongsi kod sumber
yang sama dengan percuma dan menyesuaikannya mengikut citarasa dan kreativiti
masing-masing.
Perkara ini diakui
sendiri Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr George
Chan Hong Nam sewaktu merasmikan pertandingan Open Source 2006 baru-baru ini (22 September 2006).
Beliau yang juga Menteri
Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Perindustrian turut mendedahkan
banyak potensi yang boleh dimanfaat melalui penggunaan teknologi berasaskan
sumber terbuka tersebut.
“Ia
adalah sesuai untuk diguna pakai dalam organisasi termasuk sektor awam terutama
yang mempunyai sumber kewangan terhad”, jelas beliau.
Katanya, apa yang
diperlukan adalah sedikit dorongan dan galakkan kepada pencipta muda untuk
secara kreatif menerokai teknologi berkenaan.
“Banyak hasil ciptaan
golongan muda ini berpotensi diketengahkan, malah boleh melicinkan banyak urusan
di organisasi yang mempraktikkannya”, tambah beliau.
Menurut beliau,
kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan teknologi berasaskan sumber
terbuka ini serta cuba mengaplikasikan dan mengguna pakai teknologi berkenaan.
Semua pihak termasuk
di kalangan institusi pengajian tinggi dan golongan perniagaan diharap bukan
sekadar menjadi pengguna malah berusaha membangun dan mempelbagaikan
kegunaan teknologi berkenaan.
Tambah
beliau lagi, terdapat banyak bidang yang belum diterokai dalam pembangunan aplikasi
sistem menggunakan teknologi berkenaan antaranya seperti bahagian kewangan,
pembangunan sumber manusia, penjagaan kesihatan, pertanian dan sebagainya.
Kerajaan
negeri, jelas beliau akan terus menyokong usaha ke arah itu dan penganjuran
pertandingan berkaitan seperti pertandingan Open
Source 2006 adalah permulaan bagi ramai pencipta muda yang mengkhususkan
pengajian dalam kejuruteraan ICT
menyerlahkan bakat masing-masing.
Terbuka (Open Source)
- Perisian berasaskan
sumber terbuka dapat mengurangkan “kebergantungan” terhadap perisian berbentuk
komersil yang agak mahal di pasaran, - Ia adalah satu
pelaburan ICT yang mudah dan
menjimatkan, di samping aksesnya secara percuma atau didapati dengan harga yang
minimum. - Kod sumber mudah
diperolehi yang pastinya memudahkan usaha menyesuaikan ia mengikut keperluan
masing-masing di samping boleh mengetegrasikan dengan sistem yang sedia ada - Sesiapa sahaja boleh
menyumbang secara online dalam
pembangunan perisian sumber terbuka, selain berkongsi kepakaran dengan mereka
yang mahir dalam bidang tertentu - Menyediakan peluang
kepada mereka yang ingin mencipta produk atau teknologi baru berasaskan perisian sumber terbuka yang sedia ada