- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Projek Tanaman Berkelompok

Must read


Hj.
Abdul Rahman bin Alim menunjukkan
buah limau susu yang ditanamnya

Projek tanaman berkelompok yang
diperkenal dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) telah terbukti dapat
memudahkan tugas Jabatan Pertanian serta memberi manfaat besar kepada para
petani.

Begitu juga yang diluahkan oleh
tiga daripada peserta projek tanaman limau berkelompok di Jalan Ulu Segan, Sg.
Tabau Bintulu.

Mereka mempunyai tanah seluas dua
hektar seorang yang mula dibangunkan pada tahun 2000 dengan tanaman limau jenis
madu dan susu.

Kawasan pertanian berkelompok
seperti itu nyata telah memudahkan tugas kakitangan Jabatan Pertanian untuk
membantu para peserta dari segi pengurusan tanaman dan tanah.

Ia termasuk cara
penggunaan baja dan racun di samping memudahkan pemantauan diadakan setiap
bulan untuk melihat perkembangan di ladang limau para peserta.

Salah seorang
daripadanya, Hj. Abdul Rahman bin Alim, 64 tahun, merupakan pesara guru.

Dia telah memilih
untuk bersara awal iaitu ketika berumur 50 tahun kerana beliau telah dapat
melihat potensi yang mampu diraih dari aktiviti pembangunan tanah melalui
tanaman limau. Ketika masih mengajar lagi, dia telah mula berjinak dengan
tanaman limau di samping beberapa jenis tanaman lain.

Menurutnya, sebuah
program yang disertainya dan dikenali sebagai ‘Human Resource Extension Programme’ iaitu untuk melihat kejayaan
program di tempat lain telah banyak membuka mata dan hatinya untuk berkecimpung
dengan kegiatan pertanian seterusnya turut serta dalam kegiatan pertanian
berkelompok.

Antara ladang limau
yang pernah dilawatinya ialah di Sibu, Sarikei dan Kuching.

Pada permulaannya,
dia hanya menanam 190 batang pokok limau. Hari ini dia mempunyai hampir 400
batang pokok.

Pokok limau yang
ditanam kumpulannya mengambil masa kira-kira dua setengah tahun untuk
membuahkan hasil.

Tempoh penghasilan
bunga sehingga buah limau itu dapat dituai pula mengambil masa kira-kira enam
bulan. Sepanjang enam bulan yang berikutnya pula merupakan masa untuk mengutip
hasilnya.

Mereka menjual buah
limau melalui pemborong. Selain itu, ada juga tempahan yang diperoleh secara
terus daripada kenalan dan orang persendirian.

Menurutnya, limau
bagi gred 1 dijual kepada pemborong dengan harga RM1.50 sekilogram (kg). Gred
2, 3 dan 4 masing-masingnya dijual dengan harga RM1.30, RM1.00 dan RM0.50.

En. Hashim Atong, 64
tahun pula mempunyai kira-kira 700 pokok limau. Baginya projek tanaman
berkelompok memudahkan mereka untuk berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan
yang lain.

Di samping itu, pihak
Jabatan Pertanian juga mudah menyalurkan maklumat pada satu-satu masa kepada
semua peserta dalam kumpulan mereka. Antaranya demonstrasi kawalan serangga
perosak terutama lalat buah kepada para peserta di kawasan ladang mereka.

Begitu juga dengan
En. Hassan Uong, 59 tahun, yang ketika ini memiliki 600 pokok limau.

Seperti
rakan-rakannya, dia juga bergantung hidup dengan hasil tanah untuk meneruskan
kehidupannya.

Namun baginya, hasil
daripada berbakti kepada tanah sudah memadai untuknya menyara kehidupan
keluarga. Sehubungan itu, dia bercadang akan meneruskan usahanya dengan tanaman
limau, selain daripada menanam sayur-sayuran dan pokok buah-buahan lain di
sekitar tanah kebunnya.

Sementara itu,
menurut En. Johnny Han, Pembantu Pertanian di Jabatan Pertanian Bintulu, projek
pertanian berkelompok akan diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan
(RMK9) di Bahagian Bintulu.

Dalam pertanian berkelompok,
penggunaan ukuran ‘unit’ telah digantikan dengan ukuran ‘hektar’. Satu unit
ditanam dengan kira-kira 95 pokok limau sementara satu hektar pula mampu
memuatkan kira-kira 300 pokok limau.

Katanya, sebatang
pokok limau yang telah matang mampu menghasilkan dalam 20 hingga 30 kg buah
limau dalam satu musim.

Dua hektar tanaman
limau mampu menghasilkan kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 nilai jualan dalam
masa satu musim kepada pengusahanya.

Pokok limau yang
sihat mempunyai jangka hayat ekonomi di antara 15 hingga 20 tahun.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article