Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi dipetik daripada BERNAMA pada 28 September 2006 sebagai berkata kerajaan
belum bersedia menimbang permintaan bagi semakan gaji kakitangan awam kumpulan
sokongan dan anggota polis.
Perdana Menteri berkata sebarang semakan
gaji perlu melibatkan semua kakitangan awam, dan jika ini dilakukan, kerajaan
dijangka menanggung perbelanjaan tambahan sekitar RM6 bilion.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar
selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan
Gaji Pekerja-pekerja Sektor Awam di Putrajaya.
Cuepacs baru-baru ini dilaporkan meminta
gaji pokok RM480 kakitangan awam kumpulan sokongan dan rendah dinaikkan
manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula mencadangkan supaya gaji
pokok anggota polis berpangkat rendah disemak semula.
Beliau turut menyentuh tentang pemberian
elaun bantuan sara hidup (COLA) selain bonus kepada kakitangan awam yang
melibatkan peruntukan RM2.4 bilion.
Katanya sebarang semakan gaji perlu
disusuli oleh semakan pencen.
Bagaimanapun, beliau berkata JPA akan
melihat secara keseluruhan apa yang perlu dilakukan dalam hal berkaitan semakan
gaji itu.
Abdullah juga mengumumkan bahawa bayaran
insentif rawatan kecemasan RM100 sebulan akan diberikan kepada pegawai bomba
yang memberi rawatan kecemasan kepada mangsa bencana sebelum ketibaan pihak
berkuasa kesihatan.