Mungkin ramai yang tidak percaya,
sebuah rekaan atau inovasi tidak semestinya mahal atau setiap bahan yang sedia
dilupuskan tidak semestinya tidak boleh digunakan lagi. Berbekalkan sedikit
idea dan kreativiti, ia mampu ditukar menjadi sebuah ciptaan yang mempunyai
nilai yang besar.
Nilai dan kreativiti inilah yang
dibawa oleh Kumpulan BENAK dalam projek KMK (Kumpulan Meningkat Mutu Kerja)
Sektor Awam pada tahun lepas (2004) melalui Q-Tool ciptaan kumpulan ini.
Penyertaan pertama kumpulan
ini tanpa membawa sebarang harapan bertukar menjadi kenangan manis kepada
kumpulan ini.
Q-Tool, adalah
inovasi yang perlu mendapat perhatian dan dijadikan contoh kerana berjaya meningkatkan
produktiviti kerja-kerja penyelenggaraan di 16 buah skim saliran di Bahagian
Sri Aman dan Betong.
Perkara ini diakui oleh
fasilitator Kumpulan BENAK, Encik Allen Sim Meng Choon yang menyifatkan ia
banyak memberi manfaat kepada Unit Kontrak, Operasi dan Penyelenggaraan Skim,
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sri Aman.
Inovasi ini juga berupaya
meringankan beban kerja pekerja-pekerja am di samping menjimatkan masa
penyelenggaraan skim-skim di kawasan tersebut.
Menurut Allen, Q-Tool
berupaya mengetepikan tanggapan bahawa tidak semua inovasi dan ciptaan itu
perlu melibatkan kos yang besar dan mahal. Jelas beliau, Q-Tool adalah
contoh terbaik di mana ia boleh disediakan dengan kos yang agak minimum.
“Dengan kos serendah
RM4.50 untuk membeli cakera pengasah serta memanfaatkan barang kitar semula
atau terpakai seperti kepingan aluminium dan bahagian mesin yang telah
dilupuskan, sebuah alat ‘baru’ dapat dicipta”, jelas beliau.
Berkongsi perkara yang sama, Ketua
Kumpulan BENAK, Haji Awang Sharbini Gapor berkata Q-Tool telah mengubah
cara bekerja di unitnya.
“Menggunakan kaedah lama, memotong
rumput menggunakan mesin tidak mendatangkan masalah, cuma apabila tiba waktu
untuk mengasah mata pengasah itu yang mendatangkan masalah kerana terpaksa
membawa mesin mengasah dan juga memerlukan bekalan elektrik bagi membolehkan
alat mesin mengasah tersebut berfungsi,” kata Haji Awang Sharbini.
“Ini bererti pekerja perlu membawa
lebih banyak peralatan.”
“Kalau dahulu, mungkin pekerja
terpaksa mencari sumber tenaga untuk menghidupkan mesin pengasah, kini hanya
dengan sedikit pengubahsuaian yang mudah pada mesin pengandar, ia boleh
berfungsi sebagai alat untuk mengasah mata mesin”
“Pekerja boleh membawa dan menggunakan alat ini pada bila-bila
masa,” jelasnya lagi.
Menurut Haji Awang, pihaknya mengkaji dengan teliti
kelemahan yang terdapat pada kaedah manual tadi dan mula mereka-cipta atau
membuat pengubahsuaian sedikit pada mesin pengandar.
Mengikut kaedah baru ini, pekerja
hanya perlu memasukkan Q-Tool ke flange housing untuk mengerakkan
alat ini dan seterusnya kerja mengasah mata mesin dapat dilakukan dengan mudah.
Jelas Haji Awang lagi, sekiranya
alat tersebut tidak dicipta sekarang, besar kemungkinan pihaknya terpaksa menanggung kos operasi iaitu
terpaksa membeli lebih banyak alat pengasah yang baru.
Menceritakan dengan terperinci
alat Q Tool tersebut, jelasnya ia mengandungi lapan (8) komponen utama
iaitu shaft, flange, housing assy, pemantul percikan api (spark deflector), cakera pengasah (sharpening device), skru pengetat,
pemegang mata mesin (safety blade holder)
dan mata mesin.
Konsep inovasi ini
beliau sifatkan menyamai dengan pengasah elektrik.
Yang
menariknya, ia mudah dibawa dan digunakan bila-bila masa dengan hanya perlu menyambung ke mesin galas dan sedia untuk digunakannya.
Hassan Suhaili, salah seorang ahli kumpulan yang telah
beberapa kali membuat uji-cuba ke atas inovasi ini turut berpendapat inovasi
ini berupaya mengantikan penggunaan kikir dan batu pengasah.
Ketika ditanya mengenai faedah projek
ini secara tidak langsung, Ketua Fasilitator, Allen berkata projek ini memberi
peluang kepada pekerja JPS Sri Aman untuk berinovasi, di samping memberi ruang
kepada perkongsian idea di peringkat pekerja bawahan sehinggalah ke pihak
pengurusan.
Jelas beliau, antara kelebihan Q-Tool
ini, alat ini boleh digunakan tanpa memerlukan sebarang prosedur yang rumit.
Sasaran memotong rumput akan tercapai dan hasil kerja memuaskan seterusnya
pelanggan berpuashati.
Malah dengan menggunakan Q-Tool,
ia berjaya mengurang masa bagi aktiviti mengasah iaitu sebanyak 12 minit
berbanding 26 minit mengikut cara lama (manual). Selain itu, sejumlah, 1,232 minit dapat dijimatkan iaitu hanya
sebanyak 1,058 minit dengan menggunakan Q-Tool berbanding 2,238 minit
dengan tidak menggunakan Q-Tool atau peralatan lain.
Mengimbas kembali bagaimana idea
ini timbul, jelas Allen, ianya datang dari beberapa perbincangan kumpulan serta
proses mengenalpasti masalah. Projek KMK jelasnya telah merealisasikan idea dan
konsep asalnya yang telah dikemukakan pada tahun 2002.
Penubuhan Kumpulan BENAK pada
Januari 2003, selain bertanding untuk Konvensyen KMK ianya juga adalah
untuk memberi fokus sepenuhnya ke atas merealisasikan projek ini.
Setelah mengambil masa 6 bulan
untuk disiapkan, Kumpulan KMK BENAK telah mencuba Q-Tool di Skim
Sebrang, Sri Aman dan terbukti berjaya, jelas Allen.
“Kini, pihak kami memahami kenapa
projek KMK begitu penting dan cuba mengerakkan lebih banyak lagi projek yang
mampu memanfaatkan JPS Sri Aman selepas
ini,” kata Allen.
Malah jelas Allen, projek tersebut
secara tidak langsung menaikkan imej JPS Sri Aman yang dahulunya sering
menerima rungutan daripada orang ramai akibat kerja penyelenggaraan yang kurang
berkesan.
Walaupun pertama kali menyertai
KMK peringkat negeri, kejayaan mendapat tempat ketiga dalam Konvensyen KMK 2004
(Kategori Teknikal ) adalah pencapaian terbaik JPS Sri Aman. Pada Konvensyen
KMK 2005, KMK Benak telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori teknikal.
Projek tersebut bukan sahaja
menjadi kebanggaan dan perhatian JPS Ibupejabat malah mendapat perhatian
daripada agensi kerajaan lain seperti Majlis Daerah Sri Aman dan Jabatan Kerja
Raya, yang turut ingin mempelajari mengenai inovasi tersebut.
Kini, JPS Sri Aman dalam
usaha memperluaskan penggunaan inovasi tersebut di JPS seluruh Sarawak.
Malah kemudahan yang terhad
bukanlah menjadi penghalang tetapi mampu melahirkan satu inovasi yang unik dan kumpulan BENAK telah membuktikannya!