- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Berbakti Kepada Tanah

Must read

Bukan mudah untuk berbakti kepada tanah. Ada yang mempunyai
tanah tetapi kurang minat untuk mengusahakannya kerana mempunyai modal yang
mencukupi.

Ada juga yang berminat tetapi tidak mempunyai tanah, modal
atau tidak tahu di mana untuk mendapatkan ilmu serta khidmat nasihat untuk
memulakan usahanya.

Malah, ada pengusaha yang berminat tetapi tanahnya pula
didapati tidak sesuai dan ada juga tanah yang sesuai tetapi tidak mempunyai
pemilik yang berminat dengan sesuatu jenis tanaman.

Sesungguhnya,
itulah senario dalam sektor pertanian yang perlu dihadapi oleh kakitangan
Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan pembangunan tanah seperti Lembaga
Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA)
dalam usaha mereka menggalakkan masyarakat berbakti kepada tanah.

Cabaran itu perlu dipikul selaras dengan usaha kerajaan
untuk menjadikan negara pengeksport bersih bagi makanan menjelang tahun 2010
selain pengeksport utama hasil produk komoditi seperti kelapa sawit.

Bagi tujuan itu, sebanyak RM11.4 bilion telah diperuntukkan
kepada sektor pertanian negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) iaitu
peningkatan 70 peratus daripada peruntukan dalam RMK8.

Dalam
Bajet 2007 pula, kerajaan menyediakan peruntukan RM3.6 bilion untuk sektor
pertanian bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran hasil
pertanian serta menambah keupayaan pemasaran.

Memberi
keyakinan

Usaha untuk meyakinkan pemilik tanah mengusahakan tanah
mereka bukan perkara mudah. Seringkali persoalan yang ditimbulkan iaitu sama
ada usaha itu nanti akan berbaloi dengan hasil yang akan dinikmati.

Selain daripada kurang keyakinan terhadap keupayaan diri dan
pasaran, mereka juga mungkin berdepan dengan penyakit tanaman, ketiadaan sumber
kepakaran dan tunjuk ajar, ketiadaan bekalan benih berterusan dan banyak
lagi.

Apatah lagi dunia pertanian yang sering dikaitkan dengan
tanah, lumpur dan panas terik selalunya gagal menarik minat masyarakat terutama
generasi baru.

Ditambah pula dengan situasi ketika ini di mana anak-anak
muda semakin ramai mempunyai pendidikan dan beranggapan mereka tidak harus
bekerja di bawah panas matahari.

Namun, itu sebenarnya hanyalah tanggapan kerana sektor
pertanian ketika ini telah menongkah arus seiring dengan kemajuan teknologi.

Realitinya semakin ramai yang bergelar petani moden atau
pengusaha pertanian secara komersil telah membuktikan bahawa sektor pertanian
mampu memberikan pulangan berlipat ganda. Malah, mereka tidak perlu bekerja dari
jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Bantuan kewangan, khidmat nasihat, pemasaran dan sebagainya
datang dari pelbagai agensi, tidak kira kerajaan mahupun badan korporat.

Di sinilah peranan kakitangan jabatan dan agensi terbabit
untuk meyakinkan penduduk bahawa sebidang tanah yang kecil jika diusahakan
mampu menyediakan mereka lubok pendapatan.

Mereka juga diyakinkan bahawa akan ada bantuan segera dari
pelbagai pihak jika mereka memerlukannya.

Untuk tujuan itu mereka turun padang menemui para petani dan
mengadakan seminar serta ceramah dari semasa ke semasa tentang kebaikan
bertani, jenis-jenis bantuan kewangan, khidmat nasihat dan teknikal yang
disediakan oleh kerajaan dan pihak swasta.

Semuanya semata-mata untuk membantu para petani kita yang
majoritinya di luar bandar menikmati kehidupan yang lebih baik.

Usaha itu telah dimulakan sejak negara mencapai kemerdekaan
lagi. Kini semakin ramai yang menyedari usaha ikhlas para pegawai itu serta
mampu melihat potensi cerah sektor pertanian.

Justeru, tidak menghairankan apabila pendekatan pembangunan
pertanian semakin berubah. Dahulu jabatan dan agensi kerajaan berusaha mencari
dan meyakinkan pengusaha tanah yang ada untuk menyalurkan bantuan. Kini keadaan
telah menjadi sebaliknya kerana pengusaha tanah yang berpusu-pusu mendapatkan
bantuan daripada kerajaan.

Sesungguhnya ia merupakan suatu petanda bahawa sektor
pertanian negara sedang menuju perubahan.

Pengalaman
Jabatan Pertanian

Sebagai sebuah agensi peneraju pembangunan pertanian, Jabatan Pertanian
sentiasa mempunyai perancangan untuk memastikan sektor itu terus berkembang dan
pada masa yang sama memberi manfaat kepada pengusaha dan pemilik tanah.

Antaranya ialah pengenalan projek pertanian secara
berkelompok yang kini menjadi fokus utama dalam (RMK9).

Menurut En. Johnny Han, Pembantu Pertanian di Jabatan
Pertanian Bintulu, pihaknya pada suatu ketika dahulu berhadapan dengan
kesukaran untuk meyakinkan para petani terhadap konsep pertanian berkelompok.

Ini kerana terdapat banyak masalah berkaitan hak milik
tanah, kerjasama, permuafakatan dan persefahaman para penduduk terhadap konsep
pertanian itu.

Malahan pihak Jabatan Pertanian telah biasa dengan projek
pertanian secara individu yang mana ia kelihatan lebih fokus dan mudah untuk
diuruskan.

Walau bagaimanapun, ternyata sistem baru itu juga lebih
mudah daripada jangkaan.

Contohnya, tanaman cempedak berkelompok di Rh. Bana Bintulu.
Projek yang melibatkan kawasan seluas 40 hektar yang serta 40 peserta rumah
panjang itu kini telah menjadi model pertanian berkelompok di Bahagian Bintulu
dan juga di Sarawak.

Ia bukan sahaja memudahkan pelbagai jenis bantuan disalurkan
kepada kumpulan malah mampu memberikan identiti tersendiri berbanding pengusaha
persendirian.

Sehubungan itu katanya, para pembeli, pemborong dan jabatan
lebih yakin dengan bekalan berterusan dari kumpulan itu. Kerana itu ia telah
banyak membantu pihak jabatan untuk merancang pelan jangka panjang iaitu untuk
mewujudkan industri hiliran pada masa akan datang.

Pengalaman
SALCRA

Menurut En. Henry Daris, Penolong Pembangunan Masyarakat di
Ibu Pejabat SALCRA, projek
pembangunan tanah SALCRA telah
dimulakan sejak 1976 dan dipergiat sekitar 1980-an.

Ketika itu banyak salah faham dan kekeliruan wujud di
kalangan pemilik tanah tentang konsep pembangunan tanah oleh SALCRA.

Namun, masa terus berlalu sehingga hasrat dan rancangan
kerajaan melalui pembangunan tanah SALCRA
kian menampakkan hasil.

Objektif tanggungjawab sosial iaitu membantu meningkatkan
taraf hidup masyarakat di luar bandar yang digembar-gemburkan telah menjadi
realiti.

Tahun
demi tahun para peserta menerima bonus dan dividen sehingga membuka mata dan
hati kumpulan yang dahulunya mengambil sikap berkecuali.

Katanya,
kini semakin banyak permohonan pembangunan tanah baru diterima oleh pihak SALCRA sehingga mereka tidak dapat
meluluskannya kerana kekurangan peruntukan dan tenaga manusia.

Sementara
itu, menurut En. Sanusi Sargini, Pengurus Estet Mongkos, perubahan ketara turut
ditunjukkan pada cara bekerja para pemilik tanah. Mereka kini mempunyai
disiplin pergi kerja seawal jam 6 pagi dan
balik kerja pada pukul 3 petang.

Sebelum
ini mereka pergi ke ladang mengikut kemahuan yang sering berubah-ubah setiap
hari.

Katanya,
semenjak mereka memahami bonus dan dividen tahunan dipengaruhi oleh kuantiti
hasil ladang, mereka bekerja keras untuk mencapai matlamat yang
disasarkan.

Estet Mongkos yang mempunyai kira-kira 1,437 orang peserta
telah menghasilkan pengeluaran berjumlah 29 juta tan metrik pada tahun 2005.

Jumlah itu menjadikan estet berkenaan penerima dividen
terbesar pada tahun 2006 iaitu melebihi RM1 juta. Tahun ini mereka telah
meletakkan sasaran kepada 39 juta tan metrik.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article